Opinion

Silterra, Mukhriz dan teguran Mahathir berkait?

Umum mengetahui, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah lama tidak berpuas hati dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Dr Mahathir juga pernah menegur secara sinis apabila Najib melakukan sesuatu yang pada pendapat beliau, merugikan Umno dan negara.

Contohnya, Dr Mahathir pernah menegur pemberian BR1M, pemansuhan akta ISA, sikap Najib yang berjinak dengan TPPA dan juga tindakan Khazanah mengambilalih MAS 100%.

Ramai yang membuat analisis mengapa Dr Mahathir tidak gembira. Meskipun tidak gembira selama ini, Dr Mahathir tidaklah meletup sehingga sanggup menulis di blog beliau kini menarik kembali sokongan daripada Najib.

Letupan Dr Mahathir ini dikira amat besar. Ramai terus membayangkan apakah Najib akan menjadi Pak Lah yang seterusnya.

Namun, apakah punca peletupan itu?

Pada 13 Ogos 2014, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, anak kesayangan Dr Mahathir membuat rayuan terbuka kepada Khazanah agar tidak menjual syarikat Silterra Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat fabrikasi wafer tempatan yang beroperasi di Kulim Hi-Tech Park yang menjadi nadi penting kepada industri semikonduktor di dunia.

Menurut sumber dalaman, ramai yang sudah memujuk Khazanah untuk memikirkan keputusan mereka untuk menjual Silterra, meskipun syarikat ini mencatat kerugian sebanyak RM1.7 billion sejak 2011.

Mengapa Silterra penting bagi Kedah dan juga Malaysia?

Di dunia hari ini, syarikat fabrikasi wafer majoritinya rugi kecuali TSMC di Taiwan.

Tetapi semua negara yang inginkan industri semikonduktor ini berkembang akan terus memastikan syarikat fabrikasi wafernya hidup dengan pelaburan berterusan kerana ia membawa faktor ekonomi yang lain.

Lihatlah Kulim High-Tech park yang kini dihuni oleh syarikat-syarikat gergasi seperti Infineon Technologies dan Intel.

Malaysia sudah lama berperanan di dalam bidang semikonduktor, tetapi hanya bergiat cergas di bahagian manufacturing (pembuatan), yang membawa keuntungannya rendah.

Di dalam ‘value chain’, selama ini Malaysia duduk di lurah ‘smiling curve’ di dalam industri semikonduktor.

Untuk menjadi maju dan negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu bergerak ke arah R&D (penyelidikan dan pembangunan), branding (penjenamaan) dan juga design (merekacipta).

Korea dan Amerika Syarikat mendapat keuntungan lumayan daripada pelaburan Samsung dan Apple di dalam R&D, Branding dan Design yang membolehkan produk-produk mereka dijual pada harga premium.

Syarikat-syarikat di China yang dilantik Samsung dan Apple (contohnya seperti Foxconn) untuk membuat produk mereka (manufacturing) hanya mendapat margin keuntungan yang minima.

Perbezaan ketara ini boleh dilihat daripada gaji yang dibayar kepada jurutera-jurutera Samsung dan Apple dan mereka yang dibayar gaji technicians bertaraf jurutera di Foxconn.

Berlatarbelakangkan itu, kelahiran Silterra di Malaysia sebenarnya sangat membantu dalam memangkin industri semikonduktor untuk beralih fokus kepada bahagian R&D dan design (merekacipta).

Ia merupakan salah satu langkah kritikal ke arah penjanaan sumber pendapatan tinggi kepada rakyat Malaysia.

Bagi negeri Kedah, Silterra menjadi nadi dan pemacu kepada ekonomi. Kulim High-Tech Park hidup kerana adanya Silterra. Duit yang dilaburkan di Silterra tidak sia-sia meskipun di atas akaun ia menampakkan kerugian.

Kalau sebelum itu, banyak syarikat elektronik membuka kilang di Penang, kini ramai yang sanggup memilih Kulim, meskipun lapangan terbang antarabangsa terdekat berada di Pulau Pinang.

Apa nasib Silterra selepas dijual?

Oleh itu, bagi kerajaan Kedah, Silterra perlu kekal di bawah pegangan Malaysia, yang dimiliki 97% oleh Khazanah.

Ketika Mukhriz membuat rayuan terbuka, dilaporkan bahawa Silterra bakal dijual kepada pemain semikonduktor dari China.

Jika perjualan ini terjadi, teknologi Silterra akan dibina selama ini menggunakan duit rakyat Malaysia akan menjadi milik orang lain.

Soalan yang lebih penting ialah, apakah Silterra akan bertukar fungsinya daripada sebuah syarikat wafer yang mengkaji dan mencipta teknologi baru sendiri sebagaimana sekarang kepada satu kilang wafer yang tugasnya hanya mengeluarkan wafer mengikut teknologi yang dibina di China?

Sanggupkah pemain semikonduktor yang baru itu untuk terus melabur dalam aktiviti R&D di Silterra atau aktiviti R&D di Silterra dihentikan kerana dia sudahpun melabur dalam aktiviti R&D di China?

Sebenarnya, perkara ini harus menjadi titik pertimbangan utama Khazanah sebelum menjual Silterra selain daripada menilainya hanya dari segi untung-rugi syarikat.

Jangan pula Khazanah membuat keputusan yang membawa Malaysia kembali ke lurah ‘smiling curve’.

Barangkali itulah yang diminta Mukhriz dalam membuat rayuan terbukanya kepada Khazanah pada 13 Ogos lalu.

Yang menariknya, lima hari selepas rayuan terbuka Mukhriz, bapanya pula mengeluarkan kenyataan menarik sokongan kepada Najib.

Apakah semua ini berkait? Sangat mungkin kerana siapa lagi yang boleh mendapatkan perhatian Najib kalau bukan Dr Mahathir daripada tegurannya? – 25 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments