Opinion

PRK Rompin: Siapa risau apa?

Dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung pada bulan Mei ini mempunyai implikasi berbeza kepada PAS, PKR, DAP, Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir. Elemen ini menyebabkan dua PRK yang pada asalnya bosan menjadi kian menarik.

Di siri pertama ini, kita melihat senario di PRK Rompin.

Untuk mematahkan serangan Dr Mahathir, Najib memerlukan kemenangan dengan majoriti meningkat. Kemenangan yang lebih besar berbanding PRU13 akan membolehkan Najib mencanangkan kepada dunia bahawa serangan Dr Mahathir kepadanya tiada kesan kepada Umno mahupun penyokongnya dan juga rakyat.

Selain itu, ini juga memberikan lesen kepada Najib untuk tidak mengendahkan serangan Dr Mahathir lagi selepas itu seperti yang disarankan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Sentimen mengekalkan Najib sebagai perdana menteri sangat kuat di Pahang atas faktor kenegerian, dan itu memberikan kelebihan kepada beliau.

Namun begitu, peluang Umno untuk melebarkan majoriti kemungkinan besar akan terbantut oleh isu harga naik, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan juga sentimen orang Melayu yang terasa tersentuh dengan istiqamah PAS dalam memperjuangkan Enakmen Jenayah Syariah (EJS) di Kelantan.

Kenaikan harga barangan – terutamanya makanan asas seperti sayur dan ikan – tidak boleh ditutup lagi. Contohnya harga ikan kembung, harga sudah melambung ke RM16 sekilo meskipun tidak dikenakan GST, begitu juga dengan harga pelbagai sayur-sayuran.

Jika kempen PAS disasarkan bertubi-tubi kepada isu yang terkena dengan kehidupan harian rakyat marhaen, undi Umno akan tergugat. Umno perlu sedar mereka tidak boleh lagi beriya-iya dengan kata-kata utopia bahawa ramai rakyat kampung tidak terkena GST, tapi mereka terkena tempias kenaikan harga barang yang mendadak akibat GST.

Selain itu, Umno juga berdepan dengan isu Felda, terutamanya saham Felda Global Ventures (FGV) yang rendah dan tidak memulangkan hasil sebagaimana yang dijangkakan.

Manakala, isu EJS pula dijangka memberi kelebihan kepada PAS di kalangan pengundi Melayu yang berkeinginan melihat dasar yang lebih Islamik daripada pemimpin mereka. Umno juga akan didesak memberikan pendirian mereka setelah sekian lama bermain silap mata.

Bukan itu sahaja, Umno juga berdepan dengan kerumitan untuk menjawab apa yang ditimbulkan PAS kerana dijangkakan Dr Mahathir akan meneruskan serangannya terhadap Najib ketika kempen PRK ini berlangsung. Media akan mengeksploitasi setiap sidang media yang diadakan oleh Umno untuk bertanya tentang serangan Dr Mahathir yang bakal menenggelamkan mesej-mesej kempen yang cuba dibawa Umno.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, Umno juga berdepan dengan masalah keengganan pengundi luar untuk pulang mengundi, dan ini bakal mempunyai kesan kepada majoriti yang diperoleh Umno. Di Rompin, kita menanti Umno membuat kejutan sendiri. – 20 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments