Opinion

PRK Permatang Pauh: Siapa penentu majoriti

Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh jauh lebih menarik daripada PRK Rompin. Kerana di sini, DAP, PKR, PAS dan Umno masing-masing mempunyai kepentingan yang saling berlawan antara satu sama lain.

Bagi Umno, mengurangkan majoriti atau kejayaan menawan kerusi ini menandakan terselamatnya Datuk Seri Najib Razak daripada serangan Tun Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir selama ini mendakwa Najib akan menyebabkan Umno-Barisan Nasional (BN) tewas di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Sekiranya Umno dapat mengurangkan majoriti atau menawan kerusi ini, maka terbuktilah apa yang didakwa Dr Mahathir hanya khayalan semata-mata. Ini juga membuktikan masalah di Pakatan Rakyat (PR) jauh mengatasi masalah yang sedang dihadapi Najib dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Untuk PKR, sifirnya mudah, asalkan kemenangan dikekalkan di Permatang Pauh. Majoriti tidak sebegitu penting bagi PKR, kerana kerusi ini menjadi inspirasi kepada perjuangan PKR dan juga lambang kesinambungan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR akan parah hanya jika mereka kehilangan kerusi ini. Kekalahan di sini menandakan tamatnya PKR dan PR dan DAP juga boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kerajaan Pulau Pinang di PRU 14.

Berbeza dengan DAP, jika kemenangan di Permatang Pauh dicatat dengan majoriti menurun, DAP perlu berdepan dengan persepsi kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng kehilangan sokongan di kawasan yang mempunyai hampir 70% pengundi Melayu, dan ini boleh membawa impak kepada DAP di Penang di PRU14.

Di dalam parlimen Permatang Pauh, terdapat satu kubu kuat PAS iaitu Permatang Pasir yang mempunyai 22,000 pengundi. Kerusi ini sudah dimenangi PAS sejak 1999, sebelum PR mahupun Barisan Alternatif diwujudkan. Di PRU13, Salleh Man menang di kerusi ini dengan majoriti 6, 826 undi.

Di PRU13, Anwar memenangi kerusi Permatang Pauh yang mempunyai hampir 72,000 pengundi dengan majoriti 11,721 undi.

Mengambil sifir mudah, ketika itu, majoriti yang dicatat oleh Salleh Man juga menyumbang kepada majoriti yang dicapai Anwar. Maka sukar untuk mana-mana pihak memandang rendah pentingnya sokongan PAS kepada PKR dalam PRK di Permatang Pauh ini.

Oleh itu, solidariti yang ditunjukkan PAS, PKR dan DAP ketika hari penamaan calon kelmarin sangat mustahak bagi menjamin kemenangan masih berpihak kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kemenangan besar PKR di Permatang Pauh bakal juga membuktikan isu Enakmen Jenayah Shariah II di Kelantan tidak menjejaskan sokongan kepada PR.

Jika kemenangan dicatat dengan majoriti menurun dengan banyak, maka PAS kena bersedia dengan serangan media yang menjadikan parti itu sebagai kambing hitam dari pelbagai sudut berserta Enakmen Jenayah Shariah II sebagai punca.

Majoriti di Permatang Pauh juga akan dirumitkan dengan faktor pengundi luar yang enggan kembali mengundi kerana faktor kos.

Namun, faktor terbesar di Permatang Pauh bukanlah antara mereka yang bertanding. Faktor penentu majoriti terbesar ialah Dr Mahathir.

Jika Umno-BN berjaya merampas Permatang Pauh, maka habislah perjuangan Dr Mahathir dan roadshownya. Kedudukan Najib akan kembali kukuh dan sekukuhnya.

Kedudukan Najib hanya akan goyah kalau Umno kalah lebih teruk di Permatang Pauh. Manakala, Najib akan habis kalau Umno kehilangan Rompin.

Sudah tentu Dr Mahathir tahu Umno tidak akan kehilangan kerajaan meskipun tewas di kedua-dua PRK ini – Umno cuma akan kehilangan seorang pemimpin.

Oleh itu, apakah yang bakal dilakukan oleh Dr Mahathir di kedua-dua PRK ini? Apakah beliau akan membiarkan kedua-dua PRK membukti tuduhan beliau terhadap Najib adalah satu kesilapan dan seterusnya menyebabkan serangan beliau terhenti? Elemen menarik dalam semua ini ialah peranan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasakan Dr Mahathir tidak keseorangan sebagai pengarah PRK bagi pihak BN di kedua-dua PRK ini.

Apa jua keputusan kedua-dua PRK ini, sudah pasti ia akan mengubah landskap politik negara untuk PRU14 dalam dua-tiga tahun akan datang. – 27 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments