Opinion

Mengapa perlu pecahkan kawan?

Saya memerintah sebuah negeri yang mempunyai 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Untuk menjadi ketua, saya memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 21 Adun.

Malangnya, parti saya hanya mempunyai 19 orang Adun sahaja. Saya perlu bergantung pada rakan lain untuk sekurang-kurangnya 2 Adun lagi.

Ada seorang sahabat saya dulu,  ia hanya mempunyai seorang Adun. Sahabat ini saya tak kisah sangat. Kalau saya perlu bergaduh dengan dia, saya pun tak risau.

Kalau saya perlu menuduh dia untuk menjaga politik saya, saya tidak akan berlembut tangan mahupun mulut, kerana dia tidak dapat menggugat saya secara langsung.

Seorang sahabat saya lagi mempunyai 10 Adun. Dengan sokongannya, kedudukan saya sangat kukuh walaupun saya kini bermusuh dengan sahabat satu lagi yang hanya mempunyai seorang Adun.

Namun, saya mula risau apabila ada sekumpulan Adun dipunyai sahabat saya mula berani melawan saya.

Mereka berani tidak sependapat dengan saya. Mereka tidak takut menyatakan saya ada silap.

Ada sekali, golongan ini tidak mengundi membantah usul yang dibawa musuh saya. Bagi saya, ini satu pengkhianatan walaupun usul itu ada benarnya.

Saya bimbang 10 Adun sahabat saya ini akan bersatu menentang saya. Ini tidak boleh berlaku kerana saya masih memerlukan sekurang-kurangnya dua orang Adun daripada sahabat saya ini untuk kekal sebagai pemerintah.

Pendek kata, mereka tidak boleh bersatu. Kedudukan saya boleh tergugat jika mereka bersatu kerana saya hanya mempunyai 19 Adun.

Bagi menjaga kedudukan saya, saya mula melancarkan serangan bertubi-tubi pada mereka yang tidak mengundi untuk membantah usul musuh. Saya melabelkan mereka sebagai penyokong musuh.

Saya mahukan rakyat jelata saya mempercayai bahawa saya betul dan mereka salah. Saya juga memastikan ada sebahagian Adun daripada sahabat saya ini turut mencemuh tindakan Adun mereka sendiri yang menyokong musuh.

Matematik saya mudah. Asalkan 10 Adun saya berpecah kepada 2 kumpulan dalam nisbah sekurang-kurangnya 2:8, saya boleh mengekalkan kuasa. Asalkan mereka berterabur dan bergaduh sesama sendiri di mana sebahagian masih menyokong saya, saya akan selamat.

Saya pernah pecahkan kumpulan bekas sahabat saya yang mempunyai seorang Adun. Saya mengisytiharkan memutuskan hubungan dengan presiden tapi bukan timbalannya. Ya, timbalannya tetap kalah, tapi sekurang-kurangnya kumpulan bekas sahabat ini dapat dipecahkan.

Kini, saya mengambil langkah drastik membuang 2 dari 10 Adun sahabat saya ini daripada beberapa jawatan lantikan.

Sudah pasti, ada Adun antara mereka yang membantah, tapi saya yakin mereka yang bekerja dengan saya tidak akan berani melawan.

Orang yang saya tidak suka di kalangan sahabat saya ini sudah pasti akan melawan, namun inilah permulaan perpecahan di kalangan mereka kerana ada orang mereka bersama saya.

Asalkan mereka tidak bersatu, saya akan selamat. Maaf, ini ialah politik. Musuh kepada musuh saya ialah kawan. Kawan yang lawan saya ialah musuh. Saya ini bukan manusia, saya ini binatang politik.

Saya terbangun daripada mimpi ngeri ini. Nasib baik, saya masih seorang manusia dan bukan pemerintah yang bersifat binatang politik yang sanggup memecahkan kawan demi kepentingan diri sendiri dalam mimpi saya.

Saya yakin mimpi saya ini cuba mengajar saya sesuatu. Apakah saudara dapat mentafsirnya? – 22 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments