Opinion

Lawan punya musuh

Minggu lalu, kedengaran sebuah parti yang menggelar dirinya berprinsip mengumumkan mereka sedia bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin demi Malaysia baharu.

Siapa Dr Mahathir? Menurut Mat Sabu pada 1 Mei, 2015 yang lalu, Dr Mahathir ialah ‘kepala perompak’. Oleh itu, Dr Mahathir tahu apabila anak-anak buahnya menipu.

Siapa pula Muhyiddin? Ini bekas timbalan perdana menteri yang dibalun habis-habisan ketika beliau menggelar dirinya ‘Malay first’, membuat deklarasi negara memberikan infrastruktur pendidikan yang terbaik dan memberikan amaran peristiwa 13 Mei mungkin berulang.

Namun kini, semua dilupakan dan dibersihkan. Kepala perompak pun kepala perompaklah. ‘Malay first’ bukan ‘Malaysian first’ pun tak apalah. Asalkan mereka ialah lawan punya musuh dalam isu 1MDB, then we are best friend. Yang lain hanya ikut sama mengangguk terima walaupun ia terpaksa menelan kahak sendiri.

Masih ingat bagaimana SPRM sebelum ini dilanyak atas isu kematian Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbani, kegagalan mendakwa Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dalam kontroversi RM40 juta melibatkan Michael Chia dan trak rekod buruk suruhanjaya itu untuk menangkap jerung besar.

Namun minggu lepas, pembangkang muncul menyokong SPRM setelah beberapa pegawai mereka disoa lsiat polis dan juga ditukarkan jabatan. Tindakan pembangkang memberikan gambaran mereka kini merasakan isu sebesar 1MDB ini mampu dibongkar SPRM dan pendakwaan boleh dilakukan.

Betulkah pembangkang kini sokong dan yakin dengan kemampuan SPRM? Semua tahu jawapannya. Namun begitu, asalkan SPRM ialah lawan punya musuh dalam isu 1MDB, sokong pun tidak apa asalkan dapat memukul lawan dan ada publisiti murahan untuk menonjolkan diri kononnya sedang melakukan sesuatu untuk melindungi negara.

Situasi yang sama juga berlaku terhadap Tan Sri Abdul Gani Patail. Beliau kini dilihat berprinsip ekoran ura-ura kononnya pendakwaan bakal dilakukan terhadap Najib, walaupun beliau pernah digelar Kit Siang sebagai punca keyakinan terhadap sistem keadilan negara merosot pada 2014.

Siapa pembangkang yang teringat lagi kes lebam mata, kontroversi Pedra Branca/Pulau Batu Puteh dan kritikan terhadap dwi-standard dalam pendakwaan di bawah Akta Hasutan yang pernah dihalakan terhadap Gani? Semua ini sudah tidak relevan dan diambil kisah pembangkang kerana beliau kini ialah lawan punya musuh.

Orang yang suka menggunakan strategi 'lawan punya musuh ialah kawan' tanpa sebarang batas dan kompas, bukanlah ahli politik yang diperlukan negara. Mereka hanyalah oportunis yang perlu rakyat berhati-hati dan sentiasa berwaspada.

Oportunis yang paling teruk islah mereka yang mempergunakan emosi dan mempermainkan fikiran untuk mengalahkan musuh.

Mereka membuat kamu melihat sifat holier-than-thou pada orang lain sehingga membutakan kamu daripada sifat holier-than-thou yang ada pada mereka sendiri.

Mereka mengambil untung politik tanpa prinsip dan membutakan kamu kononnya langkah itu diperlukan untuk kebaikan yang lebih besar.

Mereka memerangkap minda kamu dengan persepsi dan membutakan kamu daripada kebenaran.

Mereka menutup penipuan dan pemutaran mereka dengan mengalihkan pandangan kamu melalui kebencian yang dijana terhadap musuh mereka.

Negara sudah cukup banyak oportunis. Menukarkan satu oportunis dengan satu oportunis yang lain tidak akan menyelesaikan masalah.

Rakyat perlu berhenti menjadi buah catur oportunis di atas papan catur. Rakyat sepatutnya menjadi pengadil agar tiada pihak yang melakukan langkah sumbang. Namun peranan ini dilupakan kerana rakyat ditarik emosinya ke dalam pertarungan atas catur.

Sokonglah putih mahupun hitam. Namun jangan sesekali menghalalkan segala langkah sumbang yang diambil pihak yang disokong semata-mata kamu ingin melihat pihak yang tidak disokong kamu tumbang.

Rakyat perlu kekal menjadi pengadil, dan sentiasa menyebelahi kepentingan negara dan kebenaran, dan bukannya oportunis.

Rakyat juga perlu memastikan politik ini biar berkompas, bukan sekadar mengikut acuan ‘lawan punya musuh ialah kawan’.

Ada yang berhujah adalah satu tindakan tidak berakal untuk bermusuh dengan lawan punya musuh. Saya jawab tak salah, asalkan rujuk kompas. Tiada kompas, berakal pun macam tak berakal. Kepada oportunis, jangan cipta bohong yang kamu tidak boleh mengingatinya. Ini kerana sesawang ada rekod, dan rakyat kini kian teringat. – 10 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments