Opinion

Khalid berkempen dalam ‘serangan’ di DUN

Sidang DUN Selangor yang berakhir Jumaat lalu mungkin adalah sidang yang terpanas bagi Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bukan sahaja beliau diajukan soalan-soalan pedas daripada pembangkang, Khalid terpaksa berdepan dengan pelbagai soalan-soalan berbentuk serangan daripada rakan-rakannya di Pakatan Rakyat.

Soalan-soalan yang terpaksa didepani Khalid adalah pelbagai ragam – dari isu catuan air, perjanjian MoU air, lebuhraya KIDEX, isu Bible sehinggalah isu pembantu tajaan kerajaan negeri untuk isterinya juga dibangkitkan.

Kalau DUN Selangor dikawal oleh Umno-Barisan Nasional, sudah tentu larangan untuk menyoal menteri besar sudahpun dikeluarkan secara diam-diam.

Tapi ini adalah Khalid. Beliau tidak lari. Beliau menghadapi setiap satu soalan yang diajukan dengan jawapan. Susah dibayangkan ketua menteri Pulau Pinang mahupun menteri besar Kelantan boleh menghadapi situasi sebegini seperti beliau.

Seperti biasa, ada jawapan Khalid yang OK dan ada yang kurang disenangi rakan mahupun lawan. Media pula memilih untuk melaporkan jawapan beliau bernada positif mahupun negatif.

Bukan itu sahaja, sebelum sidang DUN bermula, Khalid diheret berdepan dengan Selcat Selangor dan ditanya mengenai isu-isu yang melanda PKNS dan status Azmin Ali sebagai pengarah PKNS yang disiarkan secara langsung di media maya.

Ketika disoalsiasat, Khalid tidak menunjukkan sebarang sifat seperti menteri-menteri Umno yang akan gagap apabila ditanya soalan secara terus.

Dan lebih hebat lagi ialah hakikat bahawa ini berlaku selepas Khalid mengumumkan hasratnya untuk bertanding di kerusi timbalan presiden PKR.

Sebenarnya ramai yang tidak sedar bahawa faktor utama Khalid menjadi popular di kalangan rakyat selama ini adalah hasil serangan daripada partinya sendiri.

Serangan terhadap Khalid sebagai MB kedekut yang tidak “mahu” memberikan duit kepada parti oleh para pemimpin PKR sendiri (terutamanya daripada para pemimpin tertinggi PKR Selangor) diiringi dengan pengumuman-pengumuman peningkatan pendapatan daripada pasir dan rizab Selangor yang berkala dibandingkan dengan prestasi kerajaan Selangor di bawah BN, telah melahirkan situasi di mana makin Khalid diserang kedekut, makin beliau disayangi rakyat bawahan.

Kerana inilah MB yang mereka mahupun! Kedekut, bukan seperti MB dulu-dulu dari Umno yang sungguh bermurah hati untuk mengkayakan diri, parti dan kalangan mereka sendiri.

Cara Khalid menghadapi Selcat dan sidang DUN telah memberi nafas baru pada rakyat jelata untuk melihat ciri-ciri seorang menteri besar yang serba tahu mengenai segala yang berlaku di bawah pentadbirannya dan serba mahir mengurus.

Ini juga telah membuktikan bahawa kata-kata Khalid adalah benar bahawa beliau mampu menjalankan tugasnya sebagai MB Selangor tanpa dipengaruhi bos partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga penasihat ekonomi Selangor.

Sedar mahupun tidak, sikap professional Khalid di sidang DUN Selangor kali ini telah menjadi  kempen langsungnya untuk pemilihan timbalan presiden PKR, di mana beliau akan berentap dengan Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution dan penyandang jawatan tersebut Azmin.

“Saya telah menunjukkan bahawa saya mempunyai ciri-ciri untuk melakukan perkara yang betul dan bukan perkara yang salah. Saya juga mempunyai pengalaman untuk mentadbir sebuah kerajaan dan bekerjasama dengan semua orang” – petikan Khalid ketika berucap di Sunway Carnival Mall, 14 April 2014.

Apakah ia cukup untuk membawa sambutan yang sama kepadanya di kalangan ahli PKR sebagaimana beliau disanjung oleh rakyat jelata Selangor? – 21 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments