Opinion

Kelemahan Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai satu masalah. Masalah ini berlarutan sehingga hari ini dan beliau masih cuba mengatasinya.

Beliau mempunyai masalah memilih pemimpin yang mengemudi Umno.

Ia bermula daripada Tun Abdullah Badawi. Pada mulanya, Mr Clean ini kelihatan pengganti yang tepat kepada Dr Mahathir. Rakyat memberikan lebih 90% kerusi di Parlimen kepada BN sejurus Pak Lah menjadi perdana menteri.

Namun selepas 3 tahun, realiti yang berlaku adalah sebaliknya.

Dengan kemunculan artikel-artikel "The Chronicle of Khairy Jamaluddin:, cara duit rakyat digunakan di negeri Terengganu, keberanian Pak Lah menaikkan harga minyak ke RM2.70 dan bagaimana media perdana menyisihkan Dr Mahathir, Pak Lah mula diserang hebat oleh Dr Mahathir.

Kesungguhan Dr Mahathir mengeluarkan Pak Lah daripada kerusi presiden Umno dan perdana menteri boleh dilihat daripada kesanggupannya meninggalkan Umno.

Beliau menyertainya semula selepas Pak Lah berjaya digantikan dengan pilihannya iaitu Datuk Seri Najib Razak.

Kejayaan menjadikan Najib presiden Umno boleh dilihat sebagai cara Dr Mahathir memperbetulkan kesilapannya di 2003 untuk memilih Pak Lah.

Serangan bertalu-talu Dr Mahathir pada Najib kini menimbulkan persoalan apakah beliau terasa lagi bahawa beliau tersilap memilih pemimpin buat kali kedua?

Kenyataan sinisnya terhadap perlantikan CEO MAS yang baharu, perhimpunan Umno yang bisu terhadap 1MDB dan TPPA jelas menunjukkan bahawa Dr Mahathir tidak gembira dengan cara Najib mentadbir negara.

Apakah Dr Mahathir akan "go all-out" untuk menggantikan Najib sebagaimana beliau melancarkan gerakannya terhadap Pak Lah?

Dengan usianya yang makin lanjut, apakah Dr Mahathir akan melanjutkan tempoh “pemerhatian” untuk Najib memperbaiki kesilapannya, sebagaimana U-turn terhadap keputusan memansuhkan Akta Hasutan?

Beza nasib Najib dengan Pak Lah ialah Dr Mahathir tiada pengganti yang sesuai untuk menggantikan Najib dan isterinya pada waktu ini.

Barisan pimpinan Umno yang berkaliber menggantikan Najib setakat ini cumalah Khairy, ataupun anak Dr Mahathir yang menjawat menteri besar Kedah, Mukhriz.

Masalahnya, kedua-dua tokoh ini masih jauh di belakang tangga kuasa Umno.

Mungkin pembaca kurang setuju pada nama Khairy, tapi cara ketua Pemuda Umno yang sebunyi dengan Dr Mahathir dalam membidas Naib Presiden AS, Joe Biden yang mengkritik Najib mengekalkan Akta Hasutan itu jangan dipandang ringan.

Apapun, percayalah Dr Mahathir bakal mengubah arah Umno sekali lagi untuk memperbetulkan kelemahannya dalam memilih pemimpin.

Cuma kadang-kala terfikir, apakah ini masalah kelemahan Dr Mahathir memilih pengganti ataupun ini masalah yang lahir kerana kerajaan yang ditinggalkan Dr Mahathir kepada penggantinya penuh dengan masalah yang sukar diubat? – 9 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments