Opinion

Habislah Najib? – Bahagian 3

Sidang parlimen sudah pun tamat dengan kegagalan pembangkang membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bukan itu saja, Bajet 2016 yang dikatakan Bajet Najib diluluskan.

Najib berjaya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen BN meskipun kakinya masih terselit dalam isu derma dana RM2.6 bilion dan juga 1MDB. Ahli Parlimen BN yang dikatakan menyokong pembangkang langsung tidak kelihatan.

Ahli Parlimen BN yang paling disyaki sebagai penyokong pembangkang iaitu Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah kini dilihat menjadi penyokong Najib. Ku Li bukan saja menyokong Bajet 2016 malah tidak merasakan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (2015) sebagai sesuatu yang menggugat demokrasi.

Pencabar Najib yang paling bahaya iaitu Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin langsung tidak dapat mendapat sebarang sokongan untuk membantutkan apa-apa usaha Najib setakat ini.

Malah sehingga hari ini, beliau bersama Tun Dr Mahathir Mohamad langsung tidak dapat menunjukkan Najib kehilangan sokongan dalam BN, mahupun Umno.

Selesainya Parlimen, Najib kini melangkah berdepan dengan ujian terakhir minggu ini di mana bakal berlangsungnya perhimpunan agong Umno.

Musuh ketat Najib, Dr Mahathir dan Muhyiddin dijangka hadir bersama Datuk Seri Shafie Apdal.

Kongres PKR baru-baru ini memberi satu pengajaran berguna pada Umno. Lihat bagaimana PKR menghantar mesej kepada DAP dan Amanah dengan memberikan sorakan gemuruh kepada wakil PAS yang hadir di kongres tersebut.

Barangkali, tahun ini adalah tahun pertama Dr Mahathir akan diboo manakala Tun Abdullah Badawi yang tidak banyak mencampuri urusan kerajaan akan diberi sorakan ketika melangkah masuk ke perhimpunan agung Umno. Dengan ini, Najib boleh mengisytiharkan apa yang berlaku ialah suara akar umbi sebenar Umno dan bukannya sebagaimana yang dipersepsi blog chedet.cc milik Dr Mahathir.

Najib sebenarnya banyak belajar dan mengaplikasikan strategi yang digunakan musuh politiknya.

Contohnya, Najib menyaman mereka yang memfitnahnya pada nilai berjuta-juta ringgit. Ini hampir sama dengan cara Lim Guan Eng mengendalikan kritiknya.

Musuh Najib juga mendapati ruang dan hak bersuara mereka semakin sempit – bukankah situasi ini mirip dengan situasi di zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Najib sengaja bertahan dan tidak melayan dan menjawab isu berkaitan dengan RM2.6 bilion dan 1MDB sehingga rakyat berasa letih mengejar isu ini. Bukankah ini mirip cara Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau dituduh dengan pelbagai kelakuan tidak senonoh.

Bukan itu saja, Najib kini tidak perlu lagi risau dengan 1MDB. Ini kerana Arul Kanda sudah bersedia dengan segala jawapan terhadap segala kemungkinan soalan yang boleh ditanya. Pada mulanya, Arul nampak goyah, tapi kini sebarang kritikan terhadap 1MDB dijawab serta merta kurang daripada 24 jam supaya apa-apa yang dibangkitkan musuh Najib dapat dimatikan segera. Arul juga menghadap PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara).

Di samping itu, Najib juga memberi keterangan kepada SPRM dalam isu SRC International dan juga RM2.6 bilion. Mereka yang hilang satu ketika dulu kini semua dapat dihubungi SPRM untuk diberi keterangan. Pendek kata, tiada apa lagi yang perlu dirisaukan.

Imej Najib mungkin sudah rosak. Namun ia masih boleh dibaiki. Tempoh 2 tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 ialah satu tempoh yang panjang. Segala kemungkinan boleh berlaku. Namun yang pasti, serangan terhadap beliau bakal menjadi semakin tumpul dan hilang bisa. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan serangan terhadap Najib kini di tahap ‘overkill’, sepertimana yang dialami Anwar satu ketika dulu.

Oleh itu, Najib tak habis lagi, melainkan beliau… ikuti bahagian 4 pada tahun depan untuk sambungan kepada siri ini. ­­­­­– 7 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Habislah Najib?

Habislah Najib? – Bahagian 2

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments