Opinion

Dua senario panas krisis MB Selangor

Apakah krisis menteri besar Selangor akan tamat minggu ini? Tarikh tutup menyerahkan lebih daripada dua nama calon menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah Rabu ini.

Setakat ini, PKR dan DAP bertegas dengan keputusan menghantar satu nama: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PAS pula memilih untuk akur dengan titah istana untuk menghantar lebih nama Adun PKR untuk Sultan Selangor memilih dan menyerahkan kepada kebijaksanaan baginda membuat keputusan.

Berikut ialah dua senario panas yang mungkin berlaku, tetapi kita tidak tahu apa yang akan terjadi selepasnya.

Senario 1

Ramai antara kita pernah menyertai peraduan yang menetapkan pelbagai syarat seperti mengepilkan dua keping resit, memenuhi slogan tidak lebih daripada 10 patah kata dan sebagainya.

Umum mengetahui jika ia slogan melebihi 10 patah kata atau kita terlupa menyertakan dua keping resit, borang penyertaan kita akan dimasukkan ke tong sampah serta-merta meskipun slogan yang kita letakkan yang terbaik.

Menggunakan analogi tersebut, apakah yang akan terjadi dengan surat jawapan pencalonan menteri besar Selangor yang tidak mengikut syarat yang ditetapkan?

Apakah surat jawapan tersebut akan menerima nasib yang sama seperti borang penyertaan yang tidak mengikut terma yang dituntut penganjur pertandingan?

Istana Selangor meminta PAS, PKR dan DAP menghantar lebih dua nama calon Melayu beragama Islam dikemukakan kepada Sultan Selangor secara berasingan.

Namun begitu, istana Selangor tidak menyatakan apa yang akan berlaku kepada surat jawapan yang tidak memenuhi syarat lebih daripada dua nama.

Ini yang menjadikan penantian 3 September menarik kerana tiada siapa tahu apakah reaksi istana Selangor apabila menerima surat jawapan yang tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

Apakah pula kebarangkalian ketiga-tiga surat jawapan ditolak kerana tidak memenuhi kriteria lebih daripada dua nama calon? Inilah senario 1 yang tidak diketahui bagaimana kesudahannya.

Senario 2

Selepas mendapat sokongan Shaari Sungib dan Hasnul, PKR dan DAP sering berhujah bahawa hanya Dr Wan Azizah seorang sahaja mendapat sokongan majoriti di DUN Selangor.

Malah, sokongan kepada Wan Azizah ini dizahirkan melalui 30 surat akuan berkanun.

Oleh kerana PAS dan DAP berulangkali menegaskan bahawa kerusi menteri besar Selangor milik PKR – maka, orang yang boleh merampas kerusi ini daripada Dr Wan Azizah hanyalah dari kalangan Adun PKR Selangor sendiri.

Dan menariknya, ini hanya boleh berlaku sekiranya ada Adun PKR yang sanggup ingkar arahan parti sendiri dan surat akuan bersumpah yang ditandatangani mereka apabila berdepan dengan percalonan bagi mereka menjadi menteri besar Selangor baru daripada rakan parti lain, mahupun istana Selangor.

Bersediakah setiap Adun PKR Selangor akur kepada keputusan parti sekali lagi sekiranya nama mereka dipilih istana Selangor untuk menduduki jawatan tersebut seperti yang terjadi kepada pencalonan Azmin Ali oleh PAS:

Kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (17 Ogos 2014)

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menghargai keputusan PAS untuk kekal dalam Pakatan Rakyat dan keperluan menggantikan YAB Menteri Besar Selangor.

Majlis Pimpinan juga mengambil maklum dan menghargai pencalonan YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan YB Mohamed Azmin Ali untuk jawatan Menteri Besar.

Bagaimanapun YB Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa beliau kekal menyokong keputusan parti KeADILan untuk menamakan YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon YAB Menteri Besar baru Selangor.

Maka dengan ini Pakatan Rakyat akan meneruskan proses untuk menyembahkan keputusan ini kepada ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor."

Kenyataan di atas menyatakan bahawa ia akan meneruskan proses untuk menyembahkan keputusan "ini" ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor.

Keputusan "ini" merujuk kepada apa? Tidak lain tidak bukan dua keputusan: satu ialah menghormati keputusan PAS mencalonkan dua nama iaitu Dr Wan Azizah dan Azmin, dan kedua menghormati keputusan Azmin akur dengan keputusan PKR untuk menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor yang baru.

Begitulah keputusannya, bermakna dakwaan terhadap PAS akur dengan keputusan hanya mencalonkan Dr Wan Azizah sahaja tidak benar.

Justeru mereka yang memaki-hamun PAS kerana akur permintaan istana untuk menghantar lebih nama perlu menilai semula kritikan mereka.

Ini kerana PAS hanya mengulangi apa yang dibuatnya pada 17 Ogos, iaitu mencalonkan Dr Wan Azizah dan Azmin untuk menggantikan Khalid yang disambut baik pelbagai pihak ketika itu.

Jika pendirian tegas DAP menolak hudud atas faktor politik dihormati, hak PAS untuk tidak dilihat bertembung dengan istana atas faktor politik juga perlu dihormati.

Keputusan PAS pada 17 Ogos tidak dapat menghalang PKR untuk mengekalkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal kerana Azmin bertegas untuk mentaati keputusan parti untuk hanya menamakan presidennya sebagai calon menteri besar Selangor di peringkat Pakatan Rakyat.

Maka, secara lojiknya, sudah hampir pasti keputusan yang sama ini di peringkat istana juga tidak akan membawa kesan apa-apa kepada PKR, sekiranya parti itu dapat memastikan semua Adun Selangornya bersikap seperti Nik Nazmi yang menolak pencalonan daripada Pemuda PAS.

Apakah PKR sudah terhidu ada Adun PKR yang akan ingkar arahan parti dan surat akuan bersumpah; dan sebab itu PKR dan Anwar terus mendesak dan memberikan tekanan kepada PAS untuk terus serta tidak mengikut syarat yang ditetapkan istana Selangor?

Ini membawa kita kepada persoalan yang sebenar – betapa kuat sebenarnya 30 surat akuan berkanun yang menyokong Dr Wan Azizah ini?

Sejauh manakah surat akuan bersumpah ini dapat menghalang pembelotan Adun PKR Selangor dan membantu hasrat Anwar untuk isteri beliau menggantikan Khalid?

Ini senario 2 yang masih tidak diketahui jawapannya lagi. – 1 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments