Opinion

Dr Mahathir dan rungutannya

Rakyat Malaysia mempunyai tanggapan pelbagai terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad. Namun, jauh di dalam sanubari rakyat, sebenarnya Dr Mahathir ialah seorang watak politik negara yang dicintai dan dibenci pada waktu yang sama oleh rakyat Malaysia.

Meskipun sudah menghampiri umur 90 tahun, Dr Mahathir masih menjadi newsmaker yang paling mengancam. Segala kenyataannya bernilai untuk dilaporkan. Sindirannya menyengat. Jawapan politiknya terlalu tajam. Telahannya mudah difahami.

Saya percaya tiada rakyat Malaysia yang akan menafikan bahawa Dr Mahathir adalah seorang negarawan yang berani, dan amat sayang pada bangsa, agama dan negara menggunakan cara dan berdasarkan persepsinya yang tersendiri.

Di dalam politik negara, Dr Mahathir menjadi watak politik yang licik yang membawa pelbagai rasa kepada rakyat Malaysia.

Selari dengan motto Umno – demi bangsa, agama dan negara, kebelakangan ini Dr Mahathir melancarkan beberapa siri teguran terhadap pemimpin Umno, Umno Selangor dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada masa ini, teguran Dr Mahathir masih di kategori “teguran” dan bukan serangan kerana beliau belum melakukan gerakan meminta Najib digantikan secara terbuka sebagaimana cara beliau menegur di zaman Tun Abdullah Badawi.

Teguran Dr Mahathir terhadap Umno dan pemimpinnya sebenarnya datang daripada rasa sayang pada negara.

Beliau tahu Malaysia tidak akan ke mana kalau para pemimpin Umno yang ada sekarang terus meneruskan sikap mereka.

Bagi beliau, pemimpin Umno yang ada sekarang hidup dalam keadaan terlalu mewah. Pada masa yang sama, fiscal defisit negara pula kesakitan.

Kekayaan negara habis digunakan. Ini semua menyumbang ke arah menguatkan persepsi rakyat terhadap Umno sebagai parti rasuah.

Teguran Dr Mahathir terhadap Umno sebenarnya adalah untuk menyelamatkan negara. Kalau Umno berubah, harapan Malaysia mencapai Wawasan 2020 akan cerah kembali.

Ini menyebabkan rakyat Malaysia terasa cinta dan benci pada Dr Mahathir.

Cinta rakyat Malaysia pada Dr Mahathir kerana cinta beliau terhadap negara dan keberanian menegur partinya sendiri.

Demi menyelamatkan negara daripada kehancuran ditadbir Pak Lah, Dr Mahathir sanggup meninggalkan Umno untuk memastikan Umno menarik sokongan daripada Pak Lah.

Kesabaran beliau pada Najib ada batasnya. Buat masa ini, ia belum meletup tapi wap air mendidih sudah kelihatan di dalam isu 1MDB dan juga pelan ekonomi Najib yang dirasakan tidak masuk akal.

Benci rakyat Malaysia pada Dr Mahathir pula kerana kepercayaan beliau bahawa hanya Umno sahaja dapat memerintah negara meskipun rakyat Malaysia sudah dapat menilai bagaimana negeri Selangor dapat ditadbir jauh lebih baik oleh Pakatan Rakyat berbanding BN.

Persoalannya, apakah rakyat Malaysia masih memerlukan Dr Mahathir? Ya.

Tanpanya, Pak Lah akan menang senang di 2008 dan tiadalah Pakatan Rakyat.

Tanpanya hari ini, siapa yang masih ingat tugas menegur Umno tatkala Pakatan Rakyat sedang sibuk berbalah sesama sendiri? – 11 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments