Opinion

Betullah petua Dr M

Ahli politik dunia sering terdedah dengan kecaman, kritikan, tuntutan dan fitnah.

Bagaimana rakyat dapat membezakan yang mana satu kecaman, kritikan, tuntutan dan fitnah?

Sebenarnya rakyat tidak dapat membezakannya dengan jelas. Kategori di mana satu-satu kenyataan jatuh ke dalam ruang “kecaman”, “kritikan”, “tuntutan” dan “fitnah” sangat bergantung pada persepsi politik rakyat dan juga kesukaan pada pemimpin politik itu sendiri.

Pada 2011, Dr Mahathir Mohamad pernah menulis satu petua berkesan untuk ahli politik mempertahankan diri daripada pihak menggunakan saman fitnah.

Beliau berkata saman fitnah ini hanya menguntungkan pihak yang menfailkan saman itu. Jika tewas, mereka yang menyaman hanya perlu membayar kos guaman kepada pihak yang disaman.

“Jika dibandingkan dengan beratus juta yang dia kena saman, pampasan kepada mereka yang kena saman ini adalah sangat sikit. Daripada itu, dia kena bayar para peguam. Untuk defenden, tiada keuntungan, yang pasti dia akan kehilangan sesuatu…

Dengan prospek ini, manusia boleh menyaman dengan sewenang-wenangnya. Tiada apa-apa kerugian, hanya keuntungan. Dan bagi ahli politik, mereka akan mendapat bonus di mana mereka boleh menutup mulut pihak lawan secara berkesan untuk bertahun lamanya.” – Translasi tulisan Dr Mahathir di chedet.cc pada 11 April 2011.

Baru-baru ini terdapat dua saman politik yang menarik perhatian.

Yang pertama ialah keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan saman untuk menghentikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada terus membuat kenyataan merosakkan imej Najib di dalam isu 1MDB.

Tindakan Najib menyaman Pua tidak salah dari sudut demokrasi dan hak asasi kerana Najib berhak mempertahankan dirinya daripada apa yang dirasakannya fitnah yang merosakkan peribadi.

Jika Najib tidak melakukan sesuatu, rakyat akan beranggapan segala yang ditiup Pua terhadap 1MDB  adalah betul sehingga Najib tidak berani menjawabnya di Parlimen mahupun cara lain, iaitu saman.

Bagi yang sukakan Najib, mereka melihat apa dibuat oleh beliau adalah betul.

Bagi yang tidak sukakan Najib dan menyokong Pua, mereka akan terfikir ada benda ingin disembunyikan kerana Pua memukul tepat pada perkara yang sensitif.

Jika Pua berundur dengan akur pada tuntutan saman Najib untuk menarik balik kenyataannya, maka Najib dikira di pihak benar.

Itulah bagaimana rakyat jelata akan melihat kes ini daripada fakta-fakta yang dikemukakan mengenai 1MDB, dan mereka terpaksa menunggu berbulan atau bertahun lamanya untuk melihat siapa yang “benar” melalui sudut siapa bakal muncul pemenang di dalam kes saman ini.

Bayangkan kalau 1MDB ini ialah projek terowong bawah laut Pulau Pinang dan yang memberikan segala kecaman terhadap projek tersebut ialah orang Umno, apakah kesudahannya?

Sudah hampir situasi sama bakal berlaku, di mana ia akan dibawa ke mahkamah seperti sedang dihadapi Ahli Parlimen PAS Temerloh Nasrudin Hassan.

Kedua-dua kes di atas mempunyai elemen sama iaitu ahli politik menyaman ahli politik yang lain. Tujuannya. Bolehlah tafsirlah sendiri dengan merujuk pada apa yang ditulis Dr Mahathir.

Kes saman kedua yang menarik pula ialah tindakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyaman akhbar parti sendiri Utusan Malaysia.

Kes ini sedikit menarik kerana Adnan dan Utusan adalah daripada pihak yang sama.

Dengan track record buruk di mahkamah, apakah tindakan menyaman akhbar parti sendiri akan memberikan kelebihan dalam persepsi rakyat terhadap Adnan di luar dan dalam Umno?

Siapa yang lebih diyakini ahli Umno, mereka yang berada di belakang Utusan atau Adnan? Siapa yang mempunyai persepsi lebih positif di kalangan ahli Umno? Apakah ini tindak balas Adnan kepada Utusan yang menyerang keangkuhannya tempoh hari dan menggesanya untuk ‘Don't’ overstay your welcome’?

Begitulah menariknya saman fitnah di dunia politik.

Betullah kata Dr Mahathir – saman fitnah ini menjadi bonus kepada ahli-ahli politik menunda soalan-soalan yang malas menjawab, enggan dijawab, susah dijawab dan tidak boleh dijawab kepada satu masa yang rakyat sudah tidak lagi berminat terhadap isu tersebut. Tiada apa yang rugi apabila ia berada di pihak yang menyaman.

Yang pasti, di akhir waktu, rakyat tetap tidak mendapat jawapan kepada apa yang ditimbulkan hari ini. – 24 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments