Opinion

Apakah Khalid akan bubar DUN Selangor?

Tengah malam semalam, saya menerima satu pesanan whatsapp yang berbunyi Tan Sri Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor hari ini untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri besar Selangor.

Ketika bertanya pada sumber itu di mana maklumat ini datang, ia berkata sumber dalaman parti (pandai-pandailah agak parti mana).

Tidak lama selepas itu, sumber ini menghantar mesej kata Pejabat Menteri Besar membuat penafian.

Saya melihat orang yang menyebarkan maklumat ini sengaja berbuat demikian, seolah-olah memberi isyarat PAS bersetuju dengan penukaran Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Orang ini sedar PAS bermesyuarat semalam (seperti yang dilaporkan media) dan dia mengambil kesempatan itu untuk menguatkan persepsi PAS juga bersetuju menukarkan Khalid untuk menguatkan tekanan pada Khalid, meskipun dia tahu PAS tidak mengumumkan apa-apa selepas mesyuarat semalam.

Sebelum ini, Ketua AMK Shamsul Iskandar membuat dakwaan dengan menyatakan Pakatan Rakyat mencapai konsensus untuk menukar Khalid.

Ini diikuti dengan satu laporan Free Malaysia Today yang mempergunakan peristiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim ziarah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di IJN baru-baru ini untuk mengesahkan Khalid akan ditukarkan selepas Aidilfitri.

Taktik ini walaupun lapuk, tapi ada keberkesanannya kerana rakyat Malaysia sememangnya sukakan khabar angin dan spekulasi. Di Malaysia, perkara palsu yang diulang-ulang boleh menjadi satu kebenaran.

Dan taktik ini sedang cuba digunakan di dalam spekulasi hangat mengenai kedudukan Khalid sebagai MB Selangor ini.

Mereka yang sedang mendesak Khalid untuk meletakkan jawatan kini meletakkan Khalid untuk diadili media.

Persepsi negatif terhadap Khalid dikuatkan hari ke hari melalui media. Dan di kebanyakan ruangan komen media alternatif, Khalid disabit kesalahan.

Hebat taktik mereka ini. Bukan mereka mahu gunakan media, tetapi Khalid yang disangkakan tidak pandai berpolitik itu rupa-rupanya mempunyai ilmu politik yang lebih hebat daripada mereka.

Mana tidak hebatnya Khalid ini, silat Azmin Ali padanya berjaya ditepis berkali-kali.

Langkah Kajang untuk menukarnya menjadi lawak politik Rafizi Ramli dan Anwar.

Kekalahan di pemilihan PKR gagal mengugatnya kerana sememangnya tewas pada pemilihan yang sebegitu bermasalah dan kontroversi tidak menjejaskan sesiapa. Rakyat Selangor masih menyukainya. Sokongan istana pada beliau masih tidak pudar.

Tidak hairanlah mengapa Khalid makin berani mengeluarkan kenyataan beliau tidak akan undur sebagai MB Selangor. Kalau lawan sudah guna taktik kotor dan tidak menghormatinya, mengapa pula Khalid perlu main cara berhemah dan gentleman.

Situasi di Selangor kini semakin meruncing, sehingga timbul kemungkinan Khalid menekan butang reset sebelum pergi bersara.

Butang reset yang dimaksudkan ialah membubarkan DUN Selangor dan mengadakan pilihan raya negeri semula.

Barangkali itu jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut kedudukan Khalid sebagai MB Selangor bagi Khalid, tapi keadaan itu sangat tidak memihak kepada Pakatan Rakyat kerana mereka sudah pasti akan kehilangan beberapa kerusi kepada BN.

Namun apakan daya, bukan saja Pakatan Rakyat tidak boleh sepakat sama ada Khalid perlu kekal mahupun tidak, bahkan mereka tidak dapat mencapai kata sepakat siapa pengganti Khalid.

Kalau begitu, biarlah rakyat Selangor yang menentukannya.

Di PRU13, majoriti pengundi Pakatan Rakyat di PRU13 atas keinginan untuk Khalid terus menjadi MB mereka.

Sekiranya Khalid memilih untuk membubarkan DUN Selangor sebagai jalan keluar, mereka akan memilih siapa? Jika BN mempunyai calon yang baik, kedudukan Pakatan Rakyat akan lagi terancam.

Risiko menukar Khalid ini tinggi. Tetapi jika Pakatan Rakyat benar-benar merasakan ia satu tindakan yang perlu, maka PAS, PKR dan DAP kena bersama menghadapi risikonya. Jika tidak, kemungkinan itulah titik nokhtah kepada Pakatan Rakyat yang pernah membawa harapan kepada semua rakyat Malaysia. – 7 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments