Opinion

Adenan padamkan Taib Mahmud

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem melalui tindakannya memberikan rakyat negeri Sarawak jawapan mengapa mereka perlu menyokong beliau.

Adenan sudah tentu menyedari kelemahan Barisan Nasional (BN) di Sarawak ialah SUPP, yang menyumbang 13 daripada 19 kerusi yang ditandinginya kepada pembangkang di pilihan raya negeri 2011. Bukan itu sahaja, 12 daripada 13 kerusi SUPP itu disumbangkan ke DAP, dan 1 ke tangan PKR.

Untuk mengatasi kelemahan ini, dan menyedari kempen pembangkang, terutamanya DAP yang sudah menguar-uarkan satu undi untuk Adenan bererti satu undi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Adenan mengambil sikap menjadi pembangkang tidak rasmi di dalam BN terhadap Putrajaya.

Adenan menembak Putrajaya di sidang DUN Bajet 2016 dari segi peruntukan kepada Sarawak. Beliau juga mengambil posisi berlainan daripada Putrajaya di dalam kepentingan menguasai Bahasa Inggeris. Malah, Adenan melangkah lebih jauh apabila memutuskan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berkuat kuasa serta merta.

Untuk menghentikan elemen agama dipolitikkan sejurus selepas PKR menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri mengapa Islam dinyatakan sebagai agama rasmi dalam laman web negeri, laman tersebut membuang ayat Islam sebagai agama rasmi di Sarawak secara diam-diam ketika perhimpunan agung Umno sedang berlangsung.

Sekiranya pembangkang membesarkan isu ini lagi, ia akan menjejaskan undi pembangkang di Semenanjung manakala Adenan terus mengukuhkan kedudukannya di Sarawak.

Keberanian Adenan mengambil sikap tidak berdolak-dalik dalam isu sensitif kepada kaum bukan Islam, terutamanya Cina amat mengagumkan. Adenan menunjukkan beliau lain daripada ahli politik BN yang lain.  Adenan menunjukkan beliau bebas, tidak kow-tow (tunduk) dan berdikari daripada Putrajaya. Dan ini menjadi tarikan utama beliau dalam menawan hati rakyat Sarawak.

Bukan itu sahaja, Adenan juga berjaya menawan pengkritiknya. Sarawak Report yang dulu terkenal dengan pendedahan pembalakan haram dan kes “rogol” hutan di Sarawak kini tidak lagi melaporkan sebarang isu mengenainya sebaliknya menumpukan perhatian kepada isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Cynthia Gabriel, pengarah C4, yang dilarang masuk ke Sarawak diberikan lampu hijau berjumpa Adenan di Sarawak. Di perjumpaan itu, Adenan berjanji akan menyemak semula larangan-larangan terhadap ahli politik Semenanjung Malaysia ke negeri tersebut mengikut kes masing-masing.

Siapa ketua menteri Sarawak? Di minda rakyat Sarawak kini cuma ada nama Adenan. Tiada lagi  Tun Abdul Taib Mahmud. Tiada Najib di mana-mana bayangan tepi Adenan.

Adenan is his own man. – 14 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments