Opinion

Adaptasi ilmu memancing sebagai panduan tambat hati rakyat

Apakah anda memancing? Mereka yang tidak gemar memancing biasanya memikirkan hobi itu malas atau bosan, tetapi ia adalah sebaliknya, sebenarnya.

Ketika memancing, ratusan keputusan kecil yang perlu dibuat, pemboleh ubah yang perlu dipertimbangkan.

Dan anda tidak boleh pasti – keputusan mahupun pemboleh ubah yang menyebabkan kelainan pada hasil memancing.

Apakah joran anda dibaling terlalu tinggi atau terlalu ke kiri?

Apakah anda terlalu lambat menarik kembali tali joran atau terlalu cepat?

Apakah umpan anda terlalu menjolok mata atau langsung tidak menarik perhatian?

Apakah anda patut kekal di posisi ini atau pergi ke sebelah lain untuk memancing?

Anda tahu ia bukan nasib, tapi anda tidak tahu anda tersasar berapa jauh daripada sasaran.

Oleh itu, kepada yang suka memancing, mereka melihat ini sebagai cabaran, sebagai ilmu kehidupan.

Mereka tidak akan dikecewakan kerana situasi keadaan kerana setiap keputusan dan pemboleh ubah boleh memberikan harapan baharu.

Mereka terus berharapan, meskipun dalam kegagalan, kerana dalam aktiviti memancing, apa sahaja boleh terjadi.

Sebenarnya ilmu memancing ikan hampir sama dengan ilmu politik memancing undi.

Memancing hati manusia memerlukan seni, seperti juga mengail ikan.

Bagi kebanyakan ahli politik, mereka merasakan manusia pada dasarnya mudah dijangka – mereka tidak suka berubah dan membosankan.

Mereka suka menggunakan “bahasa badan” yang sama, memberikan alasan yang sama dan melakukan kesilapan yang sama.

Manusia boleh dikail dengan pelbagai cara. Tiga deria utama – mata, telinga dan mulut – menjadikan apa yang ditulis, didengar dan dikata – sebagai umpan utama.

Namun, tiada siapa yang pasti yang mana umpan akan mengena. Kadangkala maklumat yang diberi betul, tetapi kerana kata-kata penyampaian yang terlalu kasar, umpan tidak mengena.

Ada kalanya ada maklumat yang didengari betul, jadi ia disampaikan dengan cara menghina, umpan itu tidak mengena.

Ada kalanya apa yang dibaca itu betul, tapi kerana tindakannya tidak mengena, maka umpan tidak dimakan.

Dalam seni memancing, ada juga pihak yang suka mengambil sampel untuk memastikan apa jenis ikan yang ada di kolam sebagai pengetahuan kepada kaki pancing sebelum memancing. Seperti juga dengan politik, kajian populariti kini diadakan sepanjang masa.

Namun, kajian ialah kajian, sama seperti keadaan kolam pada satu-satu masa. Situasinya boleh berubah dengan sekelip mata – umpamanya banjir besar, musim kemarau mahupun pencemaran manusia.

Ada kalanya cara yang dirasakan akan membuahkan hasil tidak terjadi. Ada pula masanya cara yang dirasakan pelik pula membuahkan hasil.

Pemancing akan terus mencuba – kalau ada tanda-tanda kolam masih ada ikan di mana umpan di mata kail sering kehilangan ketika joran ditarik kembali.

Pemancing akan henti mencuba dan beralih ke kolam lain jika umpan yang diberi langsung tidak disentuh.

Begitu juga dengan dunia politik. Rakyat mesti memahami proses demokrasi ialah proses 2 hala. Ahli politik perlu merasakan mereka mempunyai peluang untuk menawan hati rakyat, atau mana-mana komuniti.

Pendek kata, rakyat atau mana-mana komuniti memerlukan ahli politik merasakan peluang masih terbuka untuk menambat hati mereka.

Jika tidak, ahli politik tidak akan mengendahkan dan akan meninggalkan mereka. Ahli politik akan terlepas tali untuk melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.

Ahli politik akan menjadi lali kepada rintihan. Bagi mereka, buat pun sama, tak buat pun sama. Rakyat bising pun sama, tak bising pun sama.

Ketika itu, polisi dibuat hanya untuk memenuhi nafsu dan kepentingan diri dan akhirnya rakyat yang rugi.

Lihatlah sahaja insiden kenaikan tol dan juga pengumuman Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dikurangkan jika kenaikan tol tidak dilakukan sebagai bukti kepada apa yang sedang berlaku.

Diharap anda sudah boleh membacanya? Jika tidak, apa kata cubalah memancing? Kepada kaki pancing politik di PAS, selamat menyambut hari ulang tahun penubuhan ke-68. – 19 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments