Opinion

Ada banyak kunci kepada mangga krisis MB Selangor

Menyelesaikan krisis menteri besar Selangor ini ada banyak cara. Semua yang terlibat boleh memainkan peranan.

Peranan yang boleh dimainkan PKR

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang jawatan MB Selangor tanpa sebarang kuasa di dalam parti selama ini.

Kalau niat parti ialah untuk membuang Khalid daripada kerusi MB Selangor, kedegilan PKR untuk hanya mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menyebabkan Khalid memegang jawatan itu lebih lama meskipun beliau kini seorang Adun bebas.

Kemelut ini boleh selesai kalau PKR berganjak menghantar lebih 2 nama untuk diperkenan Tuanku Sultan Selangor. Takkan sehingga sekarang tidak boleh faham isi tersirat Istana Selangor yang meminta lebih 2 nama.

PAS bukan kunci untuk Istana Selangor menerima Dr Wan Azizah. Oleh itu, tindakan menekan PAS yang keberatan mencalonkan Dr Wan Azizah dari awal sehingga kini hanya memburukkan keadaan.

Sebagaimana DAP tidak boleh melanggar akar umbinya yang menolak hudud, PKR juga harus sedar PAS juga tidak boleh melanggar akar umbinya yang mementingkan adab politik Melayu dijaga sepanjang masa.

Kunci kepada penyelesaian kemelut MB Selangor berada pada kerelaan PKR, terutamanya kerelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya pada isterinya yang juga presiden Parti, untuk akur kepada permintaan istana untuk menghantar lebih 2 nama.

Kalau kedegilan ini dapat dikurangkan, kemelut isu MB Selangor sudah pun selesai dengan cara yang baik.

Peranan yang boleh dimainkan DAP

Apabila sahabat mereka, PKR dan PAS, sedang bergaduh, DAP sepatutnya memainkan peranan sebagai pendamai.

Malangnya, DAP mengambil sikap untuk memihak dan bekerjasama kepada satu belah untuk menekan sahabat yang satu lagi.

Permainan selalu menuduh MCA ‘kowtow’ kepada Umno yang membantu DAP meraih sokongan majoriti bukan Melayu seolah-olah terbawa-bawa ke peringkat Pakatan Rakyat.

Apakah ini yang menjadi punca kepada DAP sanggup dilihat mengikut telunjuk PKR dalam kemelut isu MB Selangor daripada bersama PAS?

DAP dengan 15 kerusi DUN Selangor sebenarnya adalah kingmaker dalam menyelesaikan krisis MB Selangor.

Kelebihan itu sepatutnya digunakan DAP untuk memujuk PKR memberikan alternatif kepada Dr Wan Azizah. Pada masa sama, DAP turut boleh memujuk PAS untuk turut sama mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai satu calon potensi MB Selangor.

Alangkah baiknya kalau DAP boleh menjadi agen pendamai ketika 17 Ogos yang lalu apabila PAS berundur dengan mencadangkan nama Dr Wan Azizah bersama timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

 

Sekiranya DAP dapat memainkan peranan sebagai pengimbang dalam menghormati keputusan PAS ketika itu dan memaksa PKR untuk tidak berdegil dengan pencalonan Dr Wan Azizah saja, apa yang terjadi hari ini pasti tidak akan berlaku. Malah, matahari terbit yang baru akan terbit bagi Pakatan Rakyat.

Jika DAP mengambil sikap neutral sejak awal, barangkali kemelut MB Selangor sudah selesai pada 17 Ogos yang lalu.

Peranan PAS

Pada 17 Ogos lalu, PAS memberikan laluan keluar kepada kemelut MB Selangor dengan mencadangkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin.

Oleh kerana ego dan tamak pihak tertentu yang tidak erti menghargai langkah undur ini, maka terjadilah apa yang terjadi hari ini setelah maklumat dalaman mesyuarat AJK PAS Pusat dibocor oleh AJK PAS Pusat sendiri di laman media yang menyebabkan imej Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tercalar teruk.

Banyak yang berlaku di PAS adalah kerana provokasi dalaman dan juga luaran. Tindakan PAS adalah satu reaksi kepada tekanan yang diterima daripada pelbagai arah dan pihak, termasuklah istana.

Sudah pasti ada ramai yang terkejut dengan tindakan Majlis Syura PAS mengambil alih tugas menamakan calon MB Selangor.

Bagi penulis, yang lebih mengejutkan ialah perkara ini tidak terbocor ke media sehingga segalanya selesai. Ini menunjukkan tiada kebocoran di bahagian tertinggi PAS. Ada hikmah yang hendak ditunjukkan di sini.

Apa pun, PAS sudah menghantar 3 nama. Tugas PAS sudah selesai. PAS sudah tidak perlu masuk campur dalam permainan politik PKR dan DAP dengan istana selepas ini.

Pada waktu ini, PAS tidak perlu melakukan apa-apa lagi. Cuma perlu kurangkan kenyataan media. Pendirian PAS sudah buat, sama ada betul atau tidak betul, terpulanglah pada ahli PAS sendiri menilainya. Setiap pendirian ada harganya yang hanya akan diketahui pada masa depan.

Ingatlah, untung rugi dan reaksi rakyat hari ini hanyalah persepsi sementara. Siapa yang dapat sangka Pak Lah yang meraih kejayaan membolot 90% kerusi parlimen di 2004 menjadi orang yang membuka jalan kepada BN kehilangan 2/3 majoriti di parlimen pada 2008 sehingga kini.

Siapalah yang dapat sangka kalau peristiwa hari ini yang dilihat amat merugikan PAS berubah menjadi perkara yang paling menguntungkan 5 tahun akan datang?

Peranan yang boleh dimainkan istana

Ini saja yang diminta – ambillah masa secukupnya untuk memastikan rakyat Selangor mendapat pemimpin terbaik, yang boleh membawa kepada kestabilan politik, kesinambungan ekonomi dan peningkatan kebajikan kepada rakyat.

Semoga semua dapat belajar daripada kesilapan sepanjang kemelut isu MB Selangor. – 8 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments