Opinion

7 realiti

Realiti 1 – Pilihan pengundi

Rakyat boleh terus mengikuti drama siapa sokong siapa, siapa tak sokong siapa, siapa bermusuh siapa mahupun siapa yang sedang mengkhianati siapa. Realiti semasa untuk para pengundi Malaysia ialah memilih sama ada mengundi Barisan Nasional (BN) atau parti lain di semua kerusi yang bakal dipertandingkan di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mereka hanya boleh pilih satu – sama ada BN atau parti lain – tak kiralah pengundi Melayu, Cina , India, Iban, Dayak atau beragama, sekulardan sebagainya melainkan mereka hendakkan undi rosak.

Yang pasti hari ini, di setiap kerusi yang dipertandingkan hanya ada satu calon BN. Yang tidak pasti hari ini ialah berapakah calon parti lain yang akan berebut dengan seorang calon BN di mana-mana satu kerusi. Itu realiti bagi pengundi di Malaysia, tak kiralah apa yang cuba didakyahkan oleh ahli-ahli politik, terutamanya pembangkang.

Realiti 2 – Pengundi yang tidak mahu mengundi BN

Inilah golongan yang akan memilih pembangkang. Persoalan hari ini, apakah pembangkang dapat memasukkan semua pengundi dalam sebuah bakul yang sama, ataupun golongan ini dipisahkan dalam pelbagai bakul yang berlainan?

Itu cabaran terbesar hari ini ekoran terpisahnya DAP dan PAS, dan juga kemunculan parti serpihan PAS.

Jika pembangkang meletakkan lebih daripada satu bakul di mana-mana kerusi yang dipertandingkan BN, undi pengundi yang tidak mahu mengundi BN akan terpecah 2, 3 mahupun 4.

Masalahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya membandingkan bakul undi secara individu. Meskipun pengundi yang tidak mengundi BN ramai, tapi oleh kerana BN mampu mengumpul lebih ramai pengundi di dalam satu bakul walaupun pembangkang dapat pengundi lebih di dalam 2 bakul, yang menang tetap ialah BN. Itu realiti bukan fantasi.

Realiti 3 – Kawasan undi banyak dengan kawasan undi sedikit

Kawasan undi banyak kebanyakan dimenangi pembangkang pada PRU13, manakala kawasan undi sedikit di kawasan pedalaman masih selamat di tangan BN.

Namun, pembangkang kini bertelagah di kawasan Pantai Barat yang dikuasai pembangkang. Kemunculan parti baharu merumitkan lagi kerja memasukkan semua undi yang tidak menyokong BN dalam satu bakul.

Kerusi yang dimenangi PAS dahulu, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mahupun ahli Parlimennya melompat ke tak, tetap akan ditandingi PAS. Begitu juga kerusi-kerusi yang dimenangi PKR dan DAP.

Bagaimana pula dengan kerusi yang kalah? Kalau 1 lawan 1 pun tewas, mana mungkin kemungkinan kemunculan parti baharu akan menambahkan peluang pembangkang?

Pada PRU14, dijangkan tiada parti yang akan menyerah mahupun meminjam kerusi, meskipun ia kerusi yang tewas, kepada parti lain. Pengalaman lalu mengajar PAS, PKR mahupun DAP, di dalam politik tiada kerusi pinjam – apabila dah dipinjam, tetiba ia akan dijadikan hak milik parti yang meminjam untuk PRU lain akan datang.

Realiti 4 – DAP dan PAS

DAP tidak pernah mahu bekerjasama dengan PAS. Di PRU12, DAP bermati-mati membuat deklarasi tidak mahu bekerjasama dengan PAS sehingga saat undi dibuang. Oleh kerana kerusi DAP dan PAS adalah bersifat eksklusif antara satu sama lain, maka ketiadaan kerjasama ini tidak merosakkan.

Situasi hari ini sebenarnya hampir sama dengan situasi pada 2008 – DAP tidak bekerjasama dengan PAS, adanya PKR sebagai orang tengah dan pembangkang sedang dibantu melalui serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Umno.

Tidak berlebihan jika dikatakan  apa yang ada hari ini lebih baik kerana kontroversi negatif yang menyelebungi Datuk Seri Najib Razak jauh lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah. Yang berbeza ialah kemunculan parti pembangkang yang baharu yang menyukarkan kerja memasukkan undi bukan BN ke dalam bakul yang sama.

Realiti 5 – Apakah ada pengundi pembangkang yang lebih menyukai Umno-BN?

Apakah ada pengundi pembangkang yang lebih rela mengundi Umno-BN daripada parti pembangkang yang lain kerana politik kebencian yang disemai hari ke hari?

Sudah tentu ada, kalau tidak, mengapa perbalahan pembangkang sentiasa disensasikan? BN, terutamanya Umno sudah tentunya akan berterima kasih dengan undi-undi percuma sedemikian jika ahli politik pembangkang terus meneruskan agenda mengajak penyokong mereka membenci antara satu sama lain.

Realiti 6 – Mengapa DAP tidak melenting pada PKR?

Ramai yang menuduh PAS lebih mementingkan tuntutan agama dan tidak mementingkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai punca retaknya PR.

Bukankah DAP juga sama – di mana ia lebih rela PR berpecah daripada memberi kelonggaran kepada PAS untuk melaksanakan tuntutan agamanya di Kelantan? Namun, yang lepas sudahpun berlepas.

Hakikatnya pada hari ini, bukan sahaja PAS kehilangan DAP, DAP juga kehilangan PAS – dan DAP dan PAS kini sama-sama hanya mempunyai seorang kawan – iaitu PKR.

Jika DAP melenting pada PKR dan tidak menahan nafsu mereka untuk menyerang Menteri Besar Selangor Azmin Ali seperti serangan mereka pada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – DAP akan ditinggalkan keseorangan bersama parti baharu yang digalakkan penubuhannya oleh mereka. Oleh sebab itu, DAP tidak akan berbuat begitu demi keuntungan politik.

Namun begitu, apa yang menarik ialah berapa lama DAP boleh menyimpan apinya jika PKR terus tidak menyokong agendanya? Bukan prinsip parti lebih penting daripada segalanya termasuk keuntungan politik bagi DAP

Realiti 7

Itulah realiti politik di Malaysia. Ia tidak pernah konsisten. Yang ada hanyalah drama politik tidak berhenti dan rakyat Malaysia hanya mengikuti drama dengan penuh emosi tanpa mengingati apa yang pernah berlaku atau disebut para ahli politik. – 14 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments