Opinion

1MDB: Antara Ahmad Maslan dan Husam Musa

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus membisu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meskipun dikritik hebat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga para ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

Sejauh manakah Najib boleh terus membisu? Tidak cukupkah damage yang dilakukan timbalan beliau di Kementerian Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ketika menjawab pertanyaan mengenai 1MDB?

Isu 1MDB ini kompleks untuk difahami rakyat biasa. Ia bukan isu lembu NFC yang lebih mudah dihadam dan dijadikan isu oleh pembangkang.

1MDB ini satu badan yang ditubuhkan di zaman Najib. Kalau sudah ada nama 1Malaysia, sudah tentulah ditubuhkan di zaman Najib – masa Pak Lah tidak ada, masa Dr Mahathir pun tidak wujud.

1MDB sekarang ini berusia hampir 4 tahun. Walaupun belum mencapai umur akil baligh, badan ini dikatakan mempunyai hutang sebanyak RM40, 000, 000, 000 atau RM40 bilion secara mudahnya. Ya, 10 angka kosong di belakang menyebabkan susah rakyat biasa untuk membayangkan betapa besarnya hutang itu.

Persoalan teka-teki terbesar pada 1MDB ialah apakah hutang badan ini dijamin kerajaan?

Kerajaan berkata 1MDB berhutang sendiri. Kerajaan tidak jamin hutang ini. Tapi tiba-tiba pemimpin PR mengeluarkan satu surat sokongan kerajaan kepada hutang 1MDB pada ASD$3 billion, terlintang-pukang Ahmad menjawabnya.

Ahmad menjelaskan surat sokongan bukan surat jaminan. Surat sokongan itu membawa maksud sekiranya 1MDB tidak mampu membayar pinjaman berjumlah AS$3 billion itu, maka 1MDB perlu menstruktur semula asetnya berjumlah RM51 bilion bagi membayar hutang berkenaan, kata beliau.

"Dalam hal ini, 1MDB akan menggunakan semua asetnya sehingga habis yang berjumlah RM51 billion itu untuk membayar hutang bernilai AS$3 billion," tambah Ahmad.

Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak perlu bimbang kerana jumlah aset 1MDB RM51 bilion melebihi jumlah hutangnya RM42 bilion. Jadi kalau 1MDB tidak mampu membayar hutang pun, juallah saja aset 1MDB untuk cover, dalam kata ringkasnya.

Kalau dengar penjelasan Ahmad nampaknya rakyat memang tidak perlu risau mengenai 1MDB.

Tapi, menurut Datuk Husam Musa, Dr Mahathir kalau menembak, beliau tidak cakap kosong.

 “Kalau setakat buat isu, Najib terus diam dan make don’t know … Tun Dr Mahathir tak ada taringlah. Saya berharap Tun Dr Mahathir, kalau beliau rasa ini satu skandal yang besar, Datuk Najib tak nak jawab, timbalan menteri berbohong di Parlimen dan ketelusan tidak ada, dan (1MDB) terus rugi, maka saya harap Tun Dr Mahathir ambil tindakan melucutkan Najib daripada jawatan perdana menteri,” ujar Husam lagi ketika berucap di satu ceramah di Temerloh pada Sabtu lalu.

Cuma beliau hairan, mengapa Dr Mahathir tidak pukul Najib sampai habis kalau betul merasakan ada penyelewengan pada RM40 bilion ini? Itu tugas Dr Mahathir. Bagi Husam, Pakatan Rakyat tidak mampu berbuat demikian buat masa ini. Orang yang mampu mendapat perhatian Najib ketika ini ialah Dr Mahathir.

Selepas mendengar kata-kata Husam, terasa hujah beliau betul juga – takkan Dr Mahathir hendak memalukan diri tembak benda tanpa asas. Nampaknya rakyat memang perlu mengambil berat pada 1MDB ini sebagaimana mereka tahu mengenai NFC.

Antara Ahmad dan Husam, rakyat lebih mempercayai hujah siapa tatkala ini mengenai 1MDB? Yang lebih penting, apakah Dr Mahathir sedang mendengar dan apakah Najib akan terus membisu? – 17 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments