Opinion

Usah abai soal perpaduan dalam usaha jadi negara maju

Tidak dapat dinafikan Malaysia sebuah negara yang unik dengan mempunyai rakyat daripada berbilang kaum dan agama, kaya dengan pelbagai budaya dan perayaan sehingga menjadi model terbaik untuk mana-mana negara bagi mengamalkan toleransi masyarakat majmuk.

Sekali lagi, contoh terbaik ditunjukkan rakyat Malaysia ketika perayaan Thaipusam Ahad lalu, kerana apabila ketika dunia sedang bergelut memerangi keganasan dan fahaman ekstremisme akibat Isis, yang dikaitkan dengan ajaran Islam, masyarakat bukan Islam di negara ini langsung tidak prejudis terhadap kaum Melayu.

Sifat toleransi antara kaum di negara ini bukan hanya terhad kepada rakyat marhaen semata-mata malah menjadi amalan Istana apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim mencemar duli bersama-sama dengan penganut Hindu di Simpang Renggam menyambut Thaipusam sekali gus membuktikan semangat toleransi antara kaum turut kukuh.

Namun sesuatu yang menyedihkan apabila ada segelintir rakyat menjadikan perayaan kaum lain sebagai cemuhan dengan pelbagai cacian dapat dilihat dan dibaca di media sosial dan ia sememangnya amat bertentangan dengan semangat toleransi yang selama ini menjadi asas kepada pembentukan negara Malaysia.

Sikap seperti inilah, sekiranya tidak dikawal akan membawa kepada retaknya asas perpaduan yang selama ini menjadi sumber kekuatan Malaysia dalam menghadapi pelbagai cabaran serta dugaan bukan saja ketika kegawatan ekonomi, tetapi semasa tragedi hitam pada 1969.

Cermin kepada sikap segelintir rakyat ini sememangnya mempunyai kaitan rapat dengan situasi politik negara kerana di sebalik kesungguhan menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama, isu perkauman dan agama terus dimainkan semua parti politik semata-mata bagi menarik sokongan pengundi.

Penggunaan media sosial dalam mengutuk dan mencaci kaum lain digunakan secara meluas sehingga menimbulkan kegusaran betapa perbezaan ini akan memberi kesan kepada generasi masa depan yang sememangnya terdedah dengan media sosial.

Krisis keyakinan dan kepercayaan kepada pimpinan negara juga antara penyumbang masalah toleransi antara kaum yang semakin menipis memandangkan sikap hormat kepada pemimpin negara berkurangan sehingga mengheret isu kaum dan agama digunakan bagi menyerang serta mempertahankan pemimpin.

Memang tidak dapat dinafikan hakikat untuk pemimpin bukan Melayu menjadi perdana menteri sesuatu yang mustahil memandangkan populasi bukan Melayu terutama sekali kaum Cina terus menurun berbanding Melayu. Namun, perlu diingatkan semua pihak pembentukan Malaysia berdasarkan perkongsian semua kaum tanpa mengabaikan kepentingan atau agenda Bumiputera/Melayu.

Dengan kenaikan kos sara hidup semakin menghimpit rakyat, isu kaum dan agama boleh diibaratkan sebagai api dalam sekam kepada negara ini, dan penggunaan undang-undang bagi mengekangnya seperti Akta Hasutan bukan penyelesaian jangka masa panjang untuk Malaysia yang memerlukan suntikan baharu bagi memastikan rakyat berbilang kaum dan agama dapat terus bersatu padu.

Pimpinan negara perlu sedar segala impian untuk menjadi negara maju atau negara berpendapatan tinggi dengan angan-angan menjadi negara anggota Perjanjian Perkongsian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA) hanya akan menjadi lipatan sejarah jika jurang toleransi perkauman dan agama tidak dirapatkan seperti yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.

Ketika ini, pimpinan negara dilihat begitu sibuk mempertahankan diri dengan skandal yang dicipta sendiri daripada derma peribadi RM2.6 bilion hinggalah isu syarikat 1MDB yang sebenarnya, tidak diperlukan langsung rakyat negara ini bagi meneruskan kehidupan harian mereka kerana hambatan ekonomi semakin mendesak.

Sehubungan itu, rakyat marhaen tidak boleh disalahkan dengan isu dan skandal dihadapi pimpinan negara kerana segalanya kesalahan mereka mencipta raksasa sendiri sehingga menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap percaturan yang dibuat pemimpin negara dalam bidang ekonomi dan pentadbiran.

Ia kemudian menjadi kekecewaan kepada rakyat yang tidak mempunyai pilihan lain selain meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan pimpinan negara, yang sedikit demi sedikit bertukar kepada isu perkauman dan agama memandangkan majoriti ahli Kabinet terdiri daripada kalangan orang Melayu Bumiputera.

Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Razak perlu sedar beliau tidak boleh terlalu menumpukan kepada sasaran menjadikan negara berpendapatan tinggi atau negara maju sedangkan rakyat terus terbahagi dengan jurang perkauman serta agama yang terus meluas.

Sehinggakan lama kelamaan ia menjadi barah dan mampu merosakkan apa yang dibina selama ini. – 28 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments