Opinion

Samakah tangkap Dr Mahathir dengan tangkap Anwar

Dua tahun lagi, genap 2 dekad Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap buat kali pertama ketika berada di puncak kuasa dengan memasang impian menduduki Putrajaya serta bergelar perdana menteri dan mahu tidak mahu, penangkapan Anwar itu membawa kepada perubahan landskap politik negara sehingga ke era ini.

Hari ini, Anwar berada dalam penjara Sungai Buloh dan bekas parti politik yang diwakilinya hingga berjaya meraih kuasa sebagai timbalan presiden dan timbalan perdana menteri, terus berkuasa walaupun ketika ini ramai yang melihat atau merasakan parti terbesar orang Melayu itu sedang berdepan krisis keyakinan di kalangan rakyat.

Apa tidaknya, individu yang menyingkirkan Anwar kini menjadi pengkritik terbesar Umno malah penentang utama kepada Presiden dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tiada sebarang indikasi, beliau iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad akan berundur atau berhenti daripada usaha menyingkirkan Najib.

Dr Mahathir begitu fokus dalam misi atau visinya untuk menyingkirkan Najib dengan cara beliau apabila berterusan menggunakan isu yang sehingga kini gagal ditangani dengan baik Putrajaya dan Umno berkisar kepada "hantu" ciptaan Najib sendiri iaitu derma peribadi RM2.6 bilion serta 1MDB.

Malah Dr Mahathir langsung tidak menulis dalam blog popularnya mengenai perasaan beliau apabila anak bongsunya, Datuk Seri Mukhriz disingkir daripada kerusi menteri besar Kedah. Beliau sedar ia hanya perangkap maut yang menunggunya untuk dibelasah kerana perdana menteri paling lama berkhidmat itu pernah membuat perkara sama ketika di tampuk kuasa.

Apa yang dilakukan Dr Mahathir ialah mengkritik Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang membuat keputusan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap Najib berhubung kes derma peribadi dan SRC International sekali gus mendorong pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Dr Mahathir di bawah Akta Hasutan.

Bukan hendak memuji Dr Mahathir tetapi strategi politiknya perlu diakui amat licik dan hebat dengan setiap tindak tanduknya sentiasa mendahului apa yang akan dan sedang dirangka atau difikirkan Putrajaya dan Umno bagi mendiamkan pemimpin berusia lebih 90 tahun ini.

Lihat saja apabila Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa mengeluarkan kenyataan tulisan Dr Mahathir pada hari Mukhriz disingkirkan daripada Sri Mentaloon adalah berbentuk hasutan dan perlu disiasat polis.

Selang beberapa hari kemudian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan, polis akan membuka kertas siasatan terhadap negarawan itu selepas beberapa laporan polis dibuat terhadap artikel blog di chedet.cc itu.

Dr Mahathir tidak menunggu lama untuk bertindak balas dan beliau membalas dengan cara paling halus apabila tidak menyalahkan polis untuk menyiasatnya sebaliknya menyatakan kenyataan Annuar adalah petunjuk beliau akan disiasat dan ditahan atas kritikannya terhadap Apandi secara tidak langsung terhadap Najib.

Jika ditakdirkan Putrajaya dan Umno membuat keputusan menyingkirkan Dr Mahathir sama seperti Anwar disingkirkan iaitu dengan ditangkap, disiasat, didakwa dan kemudian dipenjarakan... persoalan paling besar yang akan disaksikan adalah bagaimana rakyat bertindak balas.

Lapan belas tahun lalu, penangkapan Anwar membawa kepada demonstrasi jalanan besar-besaran, berpecahnya Umno, lahirnya PKR sehingga 10 tahun kemudian pada 2008, Barisan Nasional (BN) buat pertama kali hilang majoriti dua per tiga. Lima tahun kemudian dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (2013), BN hilang pula undi popular kepada pembangkang.

Mahu tidak mahu boleh disimpulkan itulah rentetan sejarah dihadapi Umno dan BN apabila Anwar disingkirkan. Bagaimana pula teori domino yang akan berlaku kepada parti pemerintah ini, jika Dr Mahathir menerima nasib sama seperti bekas anak didiknya yang kini terus meringkuk di Sungai Buloh.

Inilah perkiraan paling sukar yang harus dilakukan Najib, lebih susah dan besar daripada apa yang dihadapinya dalam isu derma peribadi dan 1MDB, pada saat Umno dan kerajaan BN bukan pada prestasi terbaik ditambah pula dengan himpitan ekonomi yang ditanggung rakyat.

Ketika ini, pendekatan Najib ialah diam diri, mungkin mengambil iktibar daripada pepatah Inggeris "silence is golden" tetapi lama kelamaan ia akan mendatangkan keburukan kepada imejnya, Umno dan BN apabila segala kritikan berkenaan dilihat sebagai sesuatu yang benar apatah lagi ia datang daripada Dr Mahathir.

Malah, jika PRU di Malaysia diadakan atas talian, sudah pasti Najib dan Umno akan kecundang awal jika dilihat daripada komen diterimanya di media sosial, medium yang terus gagal ditawan Putrajaya dalam mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti pemerintah ini.

Agaknya, apa resipi terbaru Datuk Ahmad Maslan sebagai pengerusi Biro IT Umno dalam soal ini, sudah pasti tiada lagi nasi goreng GST kerana tulisan blogger yang anti-Najib dan Putrajaya begitu besar seperti barah yang terus tidak mempunyai jawapan kepada penawarnya.

Putrajaya harus dan sewajibnya sedar segala kritikan Dr Mahathir itu perlu ditangkis dan ditangani dengan sebaik-baiknya, ibarat "menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak" sekiranya, mahu terus mendapat mandat rakyat dalam PRU14 nanti.

Harapnya, Najib dan Umno tidak lupa pada sejarah dan jangan terlalu bongkak serta sombong kepada rakyat dengan mengeluarkan kenyataan seolah-olah rakyat di Malaysia ini, mudah lupa pada sejarah... lihat saja apa yang berlaku pada 1998, kesannya terus dirasai sehingga kini. – 17 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments