Opinion

Perbaiki sistem pendidikan pra sekolah perlu jadi matlamat utama

Minggu pertama persekolahan 2016, menyaksikan 800,000 murid Tahun 1 dan pelajar Tingkatan 1 memasuki lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dan ia memberi isyarat jelas betapa kesedaran ibu bapa menghantar anak mendapatkan pendidikan semakin tinggi.

Dengan kadar celik huruf Malaysia berada pada paras sifar tahun lalu, berbanding 96% pada 2012, ia menjadi kayu pengukur terbaik betapa sistem pendidikan negara mengalami perubahan progresif, sejak merdeka sehingga kini, jumlah rakyat yang menerima akses terhadap sekolah rendah bertambah dengan jayanya.

Pada awal kemerdekaan, purata rakyat Malaysia yang menerima akses pendidikan peringkat rendah hanya sekitar 5% dan jumlahnya semakin bertambah. Menjelang 2012, jumlah rakyat Malaysia menerima pendidikan rendah 96%.

Kadar kemasukan ke peringkat sekolah menengah rendah (tingkatan 1-3) meningkat sehingga 87% dan sekolah menengah tinggi (tingkatan 4-5) pada 1980-an sekitar 45% kepada 78% pada 2011.

Dengan peruntukan lebih 16% daripada bajet dalam sektor pendidikan membolehkan kadar pertumbuhan pendidikan merebak dengan cepat sekali gus merapatkan jurang perbezaan taraf pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar.

Kadar kemasukan pelajar ke sekolah swasta juga bertambah 96% peringkat rendah, 91% (menengah rendah), 82% (menengah tinggi). Kadar celik huruf di kalangan remaja bertambah 88% pada 1980 kepada 99% pada 2011 manakala buta huruf di kalangan dewasa daripada 60% pada 1950-an menurun 10% tahun yang sama. Lantas, sistem pendidikan Malaysia secara umumnya menjalani beberapa transformasi berkesan.

Namun di sebalik semua kejayaan dan pencapaian hasil peruntukan kewangan yang besar sejak 59 tahun lalu, sistem pendidikan negara yang terbahagi kepada sekolah vernakular dan kebangsaan sering dijadikan sebab punca perpaduan antara kaum semakin melebar.

Sememangnya, sistem pendidikan negara sesuatu yang suci serta begitu sensitif dan tidak ramai ahli politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang berani bersuara bagi memperjuangkan sistem persekolahan satu aliran disebabkan perkara berkenaan sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Apa tidaknya, parti politik serta ahli politik masih terpisah dengan perjuangan berasaskan kaum dan sudah pasti perjuangan sistem persekolahan berasaskan kaum terus akan mewarnai arena politik negara walaupun Wawasan 2020 hanya tinggal 4 tahun lagi.

Kekalutan sistem pendidikan negara ditambah lagi dengan asas pra sekolah yang bercelaru, tidak tahu siapa hendak dipersalahkan tetapi jika diteliti, tiada satu kementerian yang benar-benar bertanggungjawab terhadap sistem pra sekolah dengan banyak kementerian boleh dituding jika dikaitkan dengan pendidikan peringkat paling asas itu.

Tabika Kemas di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, pra sekolah di sekolah kebangsaan (Kementerian Pendidikan), Permata (Jabatan Perdana Menteri). Ini tidak ditambah pula dengan tadika swasta yang menawarkan pendidikan berorientasikan pendidikan Barat seperti Oxford serta montessori dan trend terbaru ialah tadika Islam dengan pendidikan Islamik ala montessori.

Melihat kepada kecelaruan sistem pendidikan awal ini, kita tidak boleh menyalahkan sekolah atas kebolehan murid apabila memasuki alam persekolahan Tahun 1 kerana setiap kanak-kanak mempunyai latar belakang awal pra sekolah berbeza dan di sinilah, berlakunya jurang kebolehan antara murid.

Ada murid seawal Tahun 1, sudah boleh membaca serta mengira dengan lancar kerana ibu bapa mampu menghantar mereka ke tadika swasta lengkap pelbagai kemudahan dengan yuran boleh mencecah 4 angka sebulan, manakala ada yang kurang mampu, hanya dapat hantar ke tabika Kemas beryuran minima.

Timbul persoalan mengapa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan tidak menyediakan sukatan pelajaran lengkap yang harus diikuti semua institusi yang menawarkan perkhidmatan pendidikan pra sekolah.

Dengan cara ini, sekurang-kurangnya setiap murid yang menjejak kaki ke Tahun 1 mempunyai asas pendidikan sama dengan boleh menguasai kemahiran membaca, menulis serta mengira.

Ia juga boleh mengurangkan beban guru sekolah yang boleh memberikan tumpuan terus kepada murid untuk belajar subjek ditetapkan, bukan terpaksa membantu murid kurang menguasai kemahiran membaca, menulis serta mengira.

Dan ini juga dapat menyediakan peluang sama rata kepada semua murid untuk mendapat akses kepada soal pembelajaran ditetapkan dalam sukatan pelajaran.

Penggubalan sukatan pelajaran pra sekolah standard seperti dilakukan untuk sekolah kebangsaan melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KKSR) pada 2011, seharusnya menjadi tumpuan utama dan ia dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bagi memastikan setiap murid mendapat pendedahan pendidikan pra sekolah asas sama rata.

Tidak dinafikan ada Kurikulum Standard Pra Sekolah yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan berkuat kuasa 1 Januari 2010, tetapi timbul persoalan sama ada setiap tadika di negara ini mengguna pakai kurikulum itu. Jika ia benar-benar dilaksanakan, seharusnya ada kajian diumumkan atas keberkesanan penggunaan kurikulum ini.

Jika kerajaan masih gagal melihat betapa pentingnya pendidikan pra sekolah diterapkan secara standard kepada diri setiap anak yang menjalani pendidikan awal sekolah seawal usia 4 tahun, masalah keciciran murid sekolah dengan ada antaranya gagal menguasai kemahiran membaca, menulis serta mengira akan terus berlaku.

Sekurang-kurangnya, melalui penggubalan dan penguatkuasaan kurikulum pendidikan pra sekolah standard, ia boleh dijadikan asas kepada perjuangan sekolah satu aliran yang sebenarnya, menjadi impian rakyat negara ini, tanpa membelakangkan bahasa serta budaya kaum masing-masing. – 6 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments