Opinion

Mara Digital Mall v Low Yat, agenda Melayu atau Umno?

Persoalan sama ada tindakan kerajaan menubuhkan Mara Digital Mall sebagai benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan agenda Bumiputera atau mengambil kesempatan berpolitik dengan insiden Plaza Low Yat terus menjadi polemik di kalangan orang Melayu.

Tidak salah jika kerajaan melalui Mara mahu menubuhkan Mara Digital Mall, sebuah kompleks perniagaan atau ruang khusus untuk orang Melayu berniaga alat elektronik.

Itu juga sebenarnya roh penubuhan Mara yang diasaskan daripada Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (Rida) hasil idea presiden pertama Umno, Datuk Onn Jaafar pada 1950.

Pada 1 Mac, 1966 kerajaan menukar nama Rida kepada Majlis Amanah Rakyat atau ringkasnya, Mara untuk melaksanakan mandat, mengangkat martabat dan maruah bangsa Melayu melalui pelbagai bidang ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan dan sehingga ke hari ini, matlamat serta amanat tersebut masih digalas dengan menggunakan duit pembayar cukai.

Tahun depan, Mara akan menyambut jubli emasnya, ulang tahun ke-50 dan selama penubuhannya, agensi ini tidak dapat dipisahkan dengan institusi pendidikan yang menjadi keramat kepada lahir golongan menengah Melayu besar ketika ini, iaitu Universiti Teknologi Mara atau dulu dikenali sebagai Institut Teknologi Mara dengan ratusan ribu orang Melayu mendapat pendidikan di peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Masyarakat bukan Melayu tidak mempertikaikan penubuhan atau fungsi Mara walaupun jelas agensi ini beroperasi dengan menggunakan wang pembayar cukai dan hasil negara yang seharusnya dibahagikan sama rata dan ia sebenarnya semangat dipersetujui pemimpin terdahulu daripada pelbagai kaum yang membentuk Malaysia serta digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Dan selama inilah, Mara giat melaksanakan agenda Bumiputera bagi membantu orang Melayu serta Bumiputera dalam bidang pendidikan dan keusahawanan dengan berpandukan apa dimahukan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang majoriti ahli Kabinet adalah orang Melayu.

Bukan satu perkara baharu Mara digunakan sebagai “vehicle” bagi mengembangkan perniagaan orang Melayu dan ia boleh dilihat dengan lambakan arked atau bangunan Mara berserakan di serata negara termasuk ruang peniagaan yang majoriti boleh diibaratkan seperti “hidup segan, mati tidak mahu”.

Di sinilah, wujud persoalan sama ada Mara Digital Mall atau sebelumnya dikenali sebagai “Low Yat 2” yang ditubuhkan tidak sampai sebulan selepas insiden di Plaza Low Yat,kononnya akibat berlaku penindasan terhadap pelanggan Melayu oleh peniaga Cina akan benar-benar membantu golongan muda Melayu berniaga alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer.

Benar kata menteri yang bertanggungjawab atas penubuhan Mara Digital Mall, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak adil mengukur pencapaian Mara Digital Mall dalam tempoh tidak sampai sebulan penubuhannya atau membandingkannya dengan Plaza Low Yat.

Tetapi adakah adil untuk Ismail yang dilihat begitu gelojoh mahu mengembangkan konsep Mara Digital Mall ke seluruh negara tanpa mahu melihat dulu pencapaian atau hasil projek perintis di Kuala Lumpur dengan menggunakan wang rakyat.

Di sinilah, letaknya kelemahan kerajaan dalam memperjuangkan agenda Bumiputera terutama dalam bidang perniagaan, konsep beri dan terus memberi kepada orang Melayu tidak akan sama sekali mendatangkan manfaat kepada keseluruhan orang Melayu kecuali, jika konsep itu digunakan untuk orang Umno dengan tujuan mengukuhkan pengaruh pemimpinnya dalam parti supaya terus dapat bergelar YB menteri.

Baru-baru ini, saya berkesempatan mengunjungi Plaza Low Yat dan secara tidak sengaja bertemu dengan seorang pengusaha Melayu yang berniaga komputer sejak lebih 5 tahun lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Eda, pemuda berusia 30 tahun dari Malaysia Timur itu tergelak besar apabila ditanya mengapa beliau tidak mahu berpindah ke Mara Digital Mall di Jalan Raja Laut kerana dakwanya, ia hanya membazir masa, wang dan tenaga kerana ruang perniagaan itu akan lingkup dalam tempoh tidak sampai setahun.

"Sama saja dengan ruang peniagaan IT yang diwujudkan kompleks beli-belah lain, tidak ada bezanya. Jika mahu bersaing dengan Low Yat, lupakan saja. 

“Tambahan pula, tauke besar yang memiliki Mara Digital Mall itu seorang Datuk yang ada kaitan dengan Umno, semua di Low Yat tahu kisah ini," dakwanya.

Saya terdiam mendengar dakwaan itu tetapi itulah persepsi rakyat biasa apabila melihat atau mendengar cerita mengenai agenda Bumiputera kerajaan.

Semuanya pasti berpusing balik kepada mesti ada kaitan dengan pemimpin Umno, barulah akan dapat projek.

Eda berkata, jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu membantu golongan muda Melayu Bumiputera berniaga dalam bidang IT, mereka seharusnya mewujudkan pembekal kerana semua sedia maklum pembekal atau “supplier” dalam bidang IT di Malaysia dimonopoli kaum Cina dan merekalah yang mengawal harga.

"Orang Melayu hanya menjual, tiada yang jadi supplier. Sama saja di Mara Digital Mall. Apa bezanya? Malah harga komputer atau barang IT di sana lebih mahal berbanding di Low Yat. Percayalah lama-lama ia akan jadi gajah putih, sebab itu peniaga Cina di sini, tidak hairan dengan kewujudannya," katanya.

Eda mendakwa, kerajaan perlu lihat apa yang terjadi di Low Yat, kerana orang Melayu hanya memiliki tidak sampai 5 kedai yang benar-benar tidak dikuasai peniaga Cina manakala yang lain “bertaukehkan” peniaga Cina.

Lebih menyedihkan peniaga Pakistan di tangga kedua teramai berniaga di Low Yat selepas peniaga Cina.

Keluhan Eda itu ada benarnya, kerajaan perlu ada strategi berteraskan kajian mendalam berdasarkan situasi sebenar jika mahu membantu orang Melayu dalam bidang keusahawanan.

Jika Ismail benar-benar ikhlas berjuang untuk agenda Bumiputera, jenguk-jenguklah peniaga Melayu di Low Yat dan dengarlah keluhan atau rintihan mereka. – 23 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments