Opinion

Kuasa wanita, industri kosmetik dalam bola sepak Malaysia

Mari kita lupakan sebentar himpitan ekonomi negara yang menyebabkan kenaikan kos barang meningkat, lupakan sekejap isu 1MDB, derma peribadi perdana menteri RM2.6 bilion atau politik Malaysia yang penuh tipu muslihat dengan menggunakan alasan demi kepentingan rakyat tetapi sebenarnya mahu terus bergayut kekuasaan dan wang.

Januari 2016 membuka lembaran baharu kepada sukan bola sepak Malaysia atau lebih tepat lagi bola sepak tempatan. Walaupun ranking dunia pasukan kebangsaan berada pada tangga 171, jatuh ke tempat paling buruk dalam sejarahnya, ia langsung tidak menjejaskan kepercayaan usahawan wanita, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman untuk menaja pasukan Kelantan atau lebih dikenali sebagai The Red Warriors (TRW) bagi terus merancakkan saingan Liga Super Malaysia.

Dr Hamiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida, pemilik Vida Beauty Sdn Bhd bersetuju menaja pasukan TRW dan sebagai balasannya, bertukarlah nama TRW kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQPTRW) dan berubahlah warna stadium keramat TRW, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru kepada warna merah jambu (pink).

Begitu kuatnya kuasa wang wanita ini, sehingga sukan bola sepak Malaysia yang dimonopoli kaum lelaki dengan ego masing-masing mampu ditundukkan atas nama survival kewangan bagi memastikan skuad negeri Cik Siti Wan Kembang ini, terus menjadi kuasa bola sepak tempatan setanding dengan JDT, Selangor dan Pahang.

Ketika anak Johor berbangga dengan sumbangan RM50 juta daripada Sultan Ibrahim kepada pasukan bola sepak JDT, peminat bola sepak Kelantan juga harus bersyukur dan berbangga kerana pasukan mereka menerima tajaan daripada seorang wanita yang diibaratkan seperti kata pepatah “tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncangkan dunia” bagi memastikan tiada masalah untuk 11 pemain lelaki skuad Kelantan terus bermain bola sepak.

Kesudian Dr Vida menjadi penyelamat kepada pasukan bola sepak Kelantan juga memberikan petanda betapa kaum lelaki tidak boleh lagi memandang ringan permintaan kaum wanita membeli barangan komestik yang selama ini, sentiasa dipandang sinis sebagai pembaziran memandangkan wang jualan berkenaan kini sudah memasuki pasaran bola sepak.

Mungkin ramai tidak mengetahui pengguna seluruh dunia membelanjakan berbilion ringgit untuk tujuan kecantikan diri. Tahun lalu, nilai jualan produk kosmetik dan penjagaan diri global diunjurkan sebanyak euro 126 bilion (lebih RM605 bilion) dengan 55% daripadanya datang dari Eropah.

Kebelakangan ini permintaan terhadap produk kosmetik dan penjagaan diri semakin tinggi lantaran kesedaran meningkat mengenai penjagaan produk kecantikan.  Lambakan produk kecantikan dan penjagaan diri dari luar negara di pasaran tempatan, termasuk dari Indonesia, Filipina dan Thailand juga seperti memberi isyarat sudah tiba masanya anak tempatan turut sama merebut peluang.

Nilai pasaran herba tempatan dianggarkan bernilai lebih RM4.55 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 20%. Sebahagian besar nilai ini disumbangkan industri kosmetik, penjagaan diri dan kesihatan dan tidak hairanlah pemilik Vida Beauty mampu menyumbang RM20juta untuk 4 musim kepada pasukan bola sepak Kelantan.

Malah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin juga menyambut baik langkah Dr Vida menaja pasukan Kelantan dan mahu lebih banyak syarikat tempatan memberikan tajaan sekaligus membolehkan bidang sukan negara dibawa kepada tahap lebih baik terutama sekali daripada segi pengurusannya.

Walaupun, tajaan Dr Vida itu mungkin dipandang sinis sesetengah pihak, tetapi sekurang-kurangnya ia menunjukkan betapa soal pemasaran yang tepat produk kecantikan kini tidak lagi hanya terhad kepada media konvensional semata-mata seperti televisyen, akhbar atau billboard tetapi beralih ke bidang sukan.

Selain itu, ia juga membuktikan betapa usahawan harus berfikiran kreatif serta berinovasi dalam memasarkan produk mereka dan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada kerajaan selain berani meneroka kaedah baharu supaya produk sentiasa mendapat perhatian pelanggan.

Diharapkan penajaan Dr Vida ini akan membuka lembaran baharu kepada syarikat produk tempatan untuk lebih berani meneroka kaedah pemasaran baru kerana sebelum ini, bidang sukan negara lebih banyak mengharapkan tajaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ketika ini, bergelut himpitan ekonomi.

Sebagai balasan penajaan itu, Dr Vida juga dilantik sebagai penasihat kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menjadikan beliau satu-satunya wanita di negara ini yang menduduki kerusi pengurusan persatuan bola sepak dan sudah pasti, sebagai ahli perniagaan beliau mengharapkan pulangan daripada penajaannya.

Pulangan terbaik dalam sukan bola sepak adalah memastikan stadium sentiasa penuh setiap kali perlawanan. Itu hanya boleh dicapai jika pasukan berkenaan mengamalkan gaya permainan menarik serta pemain bertaraf bintang yang sudah pasti dapat menarik penonton membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV yang berwarna merah jambu.

Ketika inilah, produk Vida Beauty akan lebih dikenali bukan saja di kalangan wanita tetapi lelaki juga, dan tidak mustahil jika akan kedengaran slogan Dr Vida yang cukup popular "Qu Putih, Qu Putih, Barulah Putih" di Stadium Sultan Muhammad VI kelak.– 13 Januari, 2016.     

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments