Opinion

Kekalutan pentadbiran Najib punca BN tewas, bukan deklarasi

Drama politik Malaysia terus berwarna-warni dengan wujudnya deklarasi anti Najib yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu, menyaksikan bekas perdana menteri ke-4 dan presiden Umno ke-5 kini sekapal dengan majoriti pemimpin pembangkang serta ketua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang anti Putrajaya.

Pelbagai cacian diterima Dr Mahathir daripada pemimpin bekas partinya dan pada masa yang sama pelbagai pujian juga diterima daripada pemimpin pembangkang yang pernah dimaki hamun Dr Mahathir.

Namun persoalan paling utama adalah perlukah Datuk Seri Najib Razak berundur daripada menerajui negara disebabkan deklarasi anti beliau yang dinaungi anak didik almarhum ayahandanya.

Persoalan juga harus ditanya sama ada rakyat marhaen benar-benar kisah dengan deklarasi anti Najib itu, walaupun ia dilaungkan sebagai deklarasi daripada rakyat, untuk rakyat, demi rakyat.

Rakyat marhaen atau masyarakat biasa kini semakin matang dengan pemerhatian politik masing-masing dan mereka menyedari tiada apa yang mampu menumbangkan Najib daripada kerusi perdana menteri selain daripada pilihan raya umum (PRU).

Negara sudah menyaksikan kebangkitan rakyat pada 1998 apabila bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan Umno tetapi adakah kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang, adakah Anwar dapat menjadi perdana menteri? Jawapannya, tidak sama sekali.

Bagi rakyat biasa apa yang berlaku ketika ini dalam arus politik negara adalah mainan, asam garam politik semata-mata bagi memastikan pemimpin itu terus dapat bergayut di koridor kekuasaan.

Rakyat sedar hanya PRU yang membolehkan kerajaan dan perdana menteri ditukar kerana ia saluran demokrasi paling berkesan dan paling stabil bagi memastikan Malaysia terus mampu mengharungi keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Rakyat sedar apa yang penting bagi mereka adalah poket terus berisi bagi memastikan kelangsungan hidup di saat kos sara hidup semakin meningkat dengan harga barangan tidak menunjukkan langsung penurunan.

Walaupun, seharusnya rakyat mendapat manfaat atas penurunan harga minyak dunia yang membawa turunnya harga barang, teori itu langsung tidak dapat diterjemahkan kecuali dengan turun harga minyak di stesen minyak.

Memang kerajaan tidak harus dipersalahkan dengan kenaikan kos sara hidup namun persepsi negatif terhadap pentadbiran dan politik kerajaan BN dengan skandal yang terus melingkari Najib membuatkan krisis kepercayaan di kalangan rakyat marhaen semakin menebal.

Namun itu tidak bermakna rakyat marhaen sanggup turun semula mengadakan demonstrasi jalanan seperti yang berlaku pada zaman reformasi semata-mata untuk menegakkan deklarasi anti Najib yang kelihatan amat terlalu peribadi.

Walaupun menghormati negarawan Dr Mahathir atas sumbangannya kepada negara sepanjang pemerintahan selama 22 tahun tetapi itu tidak bermakna mereka sanggup berdiri di belakang deklarasi anti Najib bagi menjatuhkan perdana menteri melalui proses bukan demokrasi.

Dr Mahathir dan "pemberontak" Umno tersalah congak dalam merangka dan membentangkan deklarasi anti Najib yang mengandungi 36 perkara kerana "timing"nya amat tidak tepat dalam membangkitkan sentimen rakyat untuk menurunkan Najib.

Namun, Umno dan BN tidak boleh bersenang-lenang dengan deklarasi anti Najib ini, kerana ia pasti meninggalkan kesan di kalangan rakyat marhaen tambahan pula ada di kalangan ahli pentadbiran Najib yang berterusan mempersendakan pemikiran rakyat.

Malah, tiada satu tindakan konkrit yang diambil pentadbiran Najib dalam mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat khususnya pengundi kawasan bandar dan separa bandar dalam meyakini semula BN dan Umno.

Di sinilah, pemimpin yang menandatangani deklarasi anti Najib mengintai peluang mengekalkan momentum dengan mengaitkan segala kelemahan dan skandal peribadi dan pentadbiran Najib bagi memastikan amarah rakyat diterjemahkan dalam bentuk undi ketika PRU nanti.

Pelbagai teori konspirasi mengelilingi pentadbiran Najib sebenarnya, sesuatu yang amat sukar dirungkai dan dilihat tiada satu jalan penyelesaian khusus bagi membawa pentadbiran Putrajaya ini ke tahap lebih cemerlang.

Najib yang pada awal pemerintahannya pernah melaungkan slogan "zaman kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir" bagi menarik sokongan rakyat kepada beliau, tidak lagi dipercayai rakyat.

Lihat saja kepada keluhan dan gesaan keluarga mangsa MH370 selepas 2 tahun kehilangan misteri pesawat itu, mereka nampaknya terus mempercayai wujud teori konspirasi yang gagal ditangani dengan berkesan pentadbiran Najib.

Tragedi MH370 adalah antara ratusan, mungkin ribuan, isu yang terus gagal ditangani pentadbiran Najib sehingga amarah rakyat terhadap BN dan Umno memuncak ketika PRU14.

Hakikat inilah yang perlu disedari pemimpin Umno bukannya berterusan membodohkan rakyat dengan drama serta sandiwara politik yang kesudahannya tidak akan membawa kepada sebarang perubahan seperti dikehendaki rakyat. – 9 Mac, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments