Opinion

Jangan harap ‘Hu Hu Ha Ha’ istimewa 2016

Banyak andaian dan jangkaan dibuat terhadap 2016, dan rata-ratanya mengenai betapa rakyat akan terus dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup tinggi berikutan kejatuhan harga minyak serta matawang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat, selain pelan rasionalisasi subsidi kerajaan yang menyaksikan tarif lektrik juga naik, serta tambang pengangkutan awam.

Walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak terus bertahan dan mahu rakyat menyedari betapa kenaikan kos sara hidup bukan kerana kesalahan kerajaan dengan memberikan penawar sementara seperti BR1M atau pembinaan rumah milik PR1MA bagi memperbanyakkan rumah mampu milik, ia sebenarnya bukan penyelesaian jangka panjang kepada rakyat.

Kebanyakan rakyat yang berbelanja di pasar terus mengeluh dengan kenaikan harga makanan dan ibu bapa menyiapkan anak masuk sekolah Isnin depan, terpaksa menelan air liur apabila melihat bil barang sekolah terus meningkat sedangkan, hakikatnya gaji masih berada pada takuk lama.

Dan lagu lama terus didendangkan Putrajaya apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengeluarkan kenyataan mengenai penubuhan jawatankuasa tertinggi bagi melihat kesan kenaikan kos sara hidup.

Timbul persoalan apa berlaku kepada Jawatankuasa Ekonomi yang ditubuhkan Najib? Bagaimana pula dengan peranan Pemandu yang menjalankan pelbagai makmal bagi mengkaji dan mencari jalan penyelesaian kepada kenaikan kos sara hidup dan ditambah lagi dengan Institut Kajian Khazanah (Kris).

Bagaimana kerajaan mahu menyatukan semua hasil kajian ini dengan memberikan penyelesaian dan jawapan terbaik kepada rakyat, khususnya golongan menengah di kawasan bandar serta separa bandar yang amat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

Ataupun seperti biasa, ia hanyalah kajian atas kertas, jawapan yang menjadi modal politik sedang rakyat terus terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

Para menteri yang  menjadi hulubalang Najib terus mengeluarkan kenyataan mengguris hati rakyat seperti kenyataan Datuk Ahmad Maslan mahu rakyat melakukan 2 kerja, tanpa mahu menginsafi kerajaan banyak melakukan pembaziran demi pembaziran seperti berlaku kepada skandal 1MDB tanpa mahu berfikir bagaimana mengurangkan perbelanjaan kerajaan secara langsung.

Soal agenda Bumiputera terus dilaungkan kononnya bagi membantu orang Melayu khususnya menghadapi kenaikan kos sara hidup dengan membantu mereka berniaga seperti dilakukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan penubuhan Mara Digital Mall yang secara langsung menggunakan wang rakyat.

Sesuatu memelikkan juga apabila kerajaan beria-ia mahu membantu orang Melayu berniaga dalam bidang IT tetapi apa pula terjadi kepada peniaga Bumiputera yang menguasai industri vape. Tiada pembelaan kepada mereka. Cuma ada 1 organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berjuang membela nasib peniaga vape Bumiputera.

Bukan niat mahu membela nasib peniaga vape, tetapi kerajaan juga perlu dipersalahkan kerana lambat bertindak dalam soal ini, hingga ia menjadi satu industri yang dilihat dimonopoli satu kaum dan secara tidak langsung ada pihak menjadikannya sebagai isu perkauman kononnya kerajaan tidak membantu peniaga Bumiputera.

Mengapa agensi kerajaan seperti Mara atau Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tidak menawarkan penyelesaian bagi membantu peniaga vape kerana mereka terbukti mempunyai semangat keusahawanan serta modal apabila sanggup melabur puluhan dan ratusan ribu ringgit bagi menjalankan perniagaan vape.

Inilah antara persoalan yang perlu difikirkan kerajaan terutamanya agensi dan jabatan bertanggungjawab membantu peniaga Bumiputera kerana Putrajaya seharusnya menyedari majoriti peniaga dalam industri vape adalah golongan muda dan akan menjadi kumpulan pengundi terbesar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Najib seharusnya sedar perkara ini dalam soal mengembalikan semula keyakinan pengundi muda kepadanya yang kini dibayangi isu derma peribadi RM2.6 bilion dengan majoriti golongan muda begitu terdedah dengan berita daripada media sosial serta portal berita tanpa mempedulikan penjelasan kerajaan dalam soal ini di media arus perdana.

Jadi, 2016 seharusnya dimanfaatkan Najib sepenuhnya bagi memperbaiki semula imej dan reputasinya selaku perdana menteri, presiden Umno dan bakal nakhoda mengemudi BN memasuki gelanggang PRU14 yang dijangka diadakan pada 2018 nanti.

Ini kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara akan melengkapkan siasatan terhadap derma peribadi RM2.6 bilion ini dan kebanyakan pemerhati politik menjangkakan kes berkenaan akan diklasifikasikan sebagai "No Further Action" (NFA), sekali gus tidak menjadi kesalahan kepada perdana menteri menerima derma peribadi berkenaan. Ia kemungkinan.

Bagi skandal 1MDB pula, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporannya selewat-lewat Mac depan dan jika segala “hu ha ha”, riuh rendah mengenai syarikat milik penuh kerajaan ini menjurus kepada kesilapan dalam keputusan perniagaan, tiadalah siapa yang harus dipersalahkan, biasalah adat meniaga ada untung serta rugi.

Dan dalam isu 1MDB, ia hanya satu kesilapan yang menyebabkan syarikat mempunyai hutang RM42 bilion dan kemudian berjaya ditutup dengan menjual harta milik rakyat khususnya tanah di Sungai Besi dan Jalan Tun Razak.

Sesungguhnya, jika dilihat mata kasar dan diduga akal manusia, tiada apa yang “hu hu ha ha” riuh rendah dalam 2016. Bagaimanapun manusia hanya merancang, Tuhan mempunyai kuasa dan hanya Dia sebaik-baik perancang. Selamat menempuh kedatangan 2016. – 30 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments