Opinion

Faktor Dr Mahathir jadi penentu survival Umno

Suatu ketika dulu, semua pihak mengakui betapa Umno tidak pernah berdepan serangan bekas pemimpinnya secara terang-terangan atau meluas, sekurang-kurangnya dalam era 4 bekas presidennya, meskipun ada antara bekas presidennya keluar parti kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran ketika itu.

Namun semua itu berubah, ketika zaman pentadbiran presiden Umno ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyaksikan presiden keempat Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan serangan bertali arus sehingga menyaksikan beliau keluar Umno kerana tidak bersetuju dengan cara Pak Lah mentadbir parti dan negara.

Selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih daripada Pak Lah yang berundur secara terhormat dengan langkah seorang negarawan, semua dalam Umno menarik nafas lega dan mengharapkan semuanya, akan kembali "ok" dalam parti pasca merdeka ini.

Namun, "harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari", Dr Mahathir hanya berhenti seketika daripada mengkritik Najib dan bermula dengan serangan menjurus kepada pentadbiran serta parti, ia berubah menjadi serangan peribadi dengan mengheret keluarga orang nombor satu Putrajaya.

Tidak cukup dengan itu, Dr Mahathir disertai dengan jeneral perangnya, seperti Tan Sri Sanusi Junid dan terbaru, "wanita besi" Umno sendiri, Tan Sri Rafidah Aziz turut mengkritik cara pentadbiran Najib dan barisan Kabinetnya yang disifatkan gagal membawa Malaysia ke arah sebuah negara progresif dan maju serta mengekalkan asas pembentukan negara yang disemai sejak dulu.

Ironinya, Najib bukan sekadar dikritik bekas pemimpin Umno malah barisan ahli pentadbiran awam tertinggi yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan 25 (G25) turut secara terbuka menyatakan rasa kurang senang dengan apa berlaku dalam negara apabila pemimpin nombor satu itu dikatakan terbabit dengan skandal 1MDB dan derma peribadi RM2.6 bilion.

Maka bermulalah episod menyerang dan bertahan dengan disaksikan seluruh rakyat Malaysia yang sebenarnya, keliru mengapa dan kenapa ini semua terjadi? Apa sebenarnya yang terjadi? Sejauh manakah kebenaran semua fakta serta maklumat yang dikeluarkan kem bekas pemimpin Umno atau pemimpin Umno.

Terbaru, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil menyerang semula bekas bosnya, Rafidah yang disifatkan masuk perangkap serta menari mengikut gendang pembangkang kerana mengkritik pentadbiran kerajaan sedia ada atau lebih tepat mengkritik Najib.

Bukan rahsia di kalangan sayap utama Umno ini, betapa perebutan kuasa antara kem Rafidah dan Shahrizat berlaku sejak ketika Rafidah mengelapai Wanita Umno lagi tetapi berkat kesabaran dan ketabahan peguam terkenal ini, beliau akhirnya berjaya menundukkan wanita besi ini, yang membawa pengundurannya selepas lebih 2 dekad mengabdikan diri dalam parti dan kerajaan zaman Dr Mahathir.

Shahrizat bermula dengan langkah hebat dengan gaya seorang pemimpin wanita seperti Rafidah tetapi, skandal lembu atau lebih tepat lagi NFC bersama keluarganya membuatkan kredibiliti beliau terhakis di kalangan rakyat sehingga terpaksa meletakkan jawatan sebagai menteri.

Di sinilah, jurang besar yang dilihat rakyat apabila meneliti dan menilai kepimpinan bekas pemimpin Umno dan kerajaan seperti Dr Mahathir dan Rafidah dengan kem Najib, sudah pasti perbandingan dilakukan dan mahu tidak mahu, kem Najib berada dalam keadaan mempertahankan diri apabila dibanding daripada segi pencapaian dan kejayaan yang dicapai kem bekas perdana menteri keempat itu.

Apa yang boleh dilakukan Najib ketika ini, adalah merapatkan safnya dalam Umno dan atas sebab itu, sedikit demi sedikit musuh dalam selimutnya dalam parti dan kerajaan disingkirkan satu demi satu, dengan paling terbaru, anak bongsu Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz daripada kerusi menteri besar Kedah.

Seperti biasa penjelasan diberikan demi menghalalkan semua cara bagi menguatkan kedudukan Najib dan semua menteri Kabinet bersatu hati untuk mempertahankan beliau bukan daripada serangan pembangkang tetapi serangan Dr Mahathir yang sebenarnya, lebih berbisa dan jika tidak dikawal, boleh membawa kepada kejatuhan Najib daripada puncak kuasa di Putrajaya.

Tetapi bukan mudah untuk Najib mengawal serangan Dr Mahathir serta konconya dalam era maklumat di hujung jari dan atas sebab itu, pelbagai cara digunakan bagi membolehkan rakyat dikawal daripada apa yang sepatutnya diketahui melalui pengenalan undang-undang, walaupun sebelum ini, beliau sendiri pernah berjanji di depan rakyat Malaysia untuk menjadikan pentadbiran kerajaan lebih telus.

Ungkapan "zaman kerajaan mengetahui segala yang terbaik untuk rakyat, sudah berakhir" kini tidak lagi dipraktikkan pentadbiran kerajaan masa kini, apa yang lebih penting adalah mengekalkan kuasa dengan bersembunyi di bawah alasan demi kepentingan rakyat dan negara.

Yang pasti, Dr Mahathir tidak akan berhenti, begitu juga jeneral perangnya, dan rakyat terus memerhatikan langkah kem Najib di Putrajaya dan PWTC untuk mempertahankan kuasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti apabila berdepan strategi dan taktik Dr Mahathir.

Jika ditakdirkan Umno dan Barisan Nasional kehilangan kuasa memerintah dalam PRU14 nanti, ia bukanlah disebabkan kekuatan pembangkang yang kini mempunyai pelbagai nama, tetapi disebabkan kritikan Dr Mahathir kepada Najib dan ketika ini, pemimpin yang berusia hampir seabad itu, tekad meneruskan perjuangannya yang belum berakhir.

Maka, survival Umno untuk terus berkuasa sebenarnya terletak kepada formula Dr Mahathir yang lebih fokus terhadap misi dan visinya. – 10 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments