Opinion

Walau hilang undi penjawat awam, Akta Salah Laku perlu jadi pelengkap GTP

Perubahan pemikiran rakyat yang menuntut kepada kerajaan lebih bertanggungjawab, telus dan mempunyai kredibiliti dalam menggunakan wang rakyat menjadi isu utama kepada mana-mana kerajaan di dunia.

Atas sebab itu, apabila perdana menteri ke-6 negara, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan selaku pemimpin utama kerajaan Barisan Nasional (BN), pelbagai inisiatif diperkenalkan terutama Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

Melalui GTP ini, Putrajaya menekankan betapa sektor perkhidmatan awam yang menjadi cermin kepada pentadbiran kerajaan menjalani usaha transformasi dalam memastikan rakyat berpuas hati dalam sistem penyampaiannya.

Pada masa sama, GTP juga bertindak sebagai kad laporan kepada kerajaan BN kepada rakyat dalam usaha meyakinkan perubahan yang hendak dilaksanakan benar-benar berada dalam landasannya.

Antara usaha yang diperkenalkan dalam GTP ini, termasuklah pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebanyak 3 kali setahun berbanding setahun sekali bermula pada 2013.

Saya pernah menulis artikel bertajuk LKAN terus jadi peluru pembangkang belasah Umno dan BN yang disiarkan portal berita ini pada November tahun lalu berikutan setiap kali pembentangan LKAN menyaksikan pelbagai persepsi negatif timbul betapa Putrajaya terus gagal berbelanja secara berhemah.

Selain itu, timbul juga persepsi LKAN digunakan sebagai alat untuk menunjukkan ketelusan tetapi daripada segi tindakan punitif gagal diambil dengan segera menyebabkan saya bimbang rakyat akan hilang kepercayaan kepada Jabatan Audit Negara yang menjalankan audit terhadap kewangan kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Berulang kali juga saya mempertahankan kerajaan dalam forum dianjurkan Badan Bukan Kerajaan (NGO), tidak semua yang dilaporkan dalam LKAN itu membabitkan salah guna kuasa, penyelewengan atau lebih teruk lagi rasuah.

Memang wujud kes sedemikian dalam LKAN tetapi majoriti isu yang dibangkitkan dalam LKAN itu sendiri membabitkan unsur kecuaian, tidak kisah dan tidak ambil peduli di kalangan penjawat awam itu sendiri.

Baru-baru ini Panel Penilaian Operasi (PPO), badan bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengesyorkan satu peruntukan berkaitan salah laku penjawat awam digubal bagi membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara holistik dan menyeluruh.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil dipetik berkata undang-undang berkaitan salah laku perlu bagi membolehkan isu seperti ketirisan dan pembaziran dalam pengendalian kewangan agensi kerajaan, seperti yang sering kali ditegaskan dalam LKAN, diambil tindakan.

Pernah berkhidmat sebagai ketua audit negara selama 6 tahun bermula pada 2000, Dr Hadenan sudah pasti amat arif dalam soal salah laku penjawat awam tetapi tidak dapat diambil tindakan kerana ketiadaan satu undang-undang khusus untuk menyabitkan mereka terhadap unsur salah laku.

PPO mendapati sebahagian besar kes yang dilaporkan dalam LKAN adalah mengenai pembelian barang dengan harga mahal yang menimbulkan persepsi berlaku rasuah dan penyelewengan.

Seperti disebut Dr Hadenan, saya juga melihat peruntukan ini sangat penting bagi mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang tidak amanah dan sambil lewa dalam menjalankan tugas. Dalam kata lain, peruntukan ini wajar disegerakan bagi membolehkan kita menangani isu berkaitan dengan rasuah secara menyeluruh.

Pendirian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam perkara ini adalah jelas dan jawatankuasa ini menyokong supaya kerajaan memperkenalkan Akta Salah Laku dalam kalangan penjawat awam sebagai satu usaha pencegahan bagi menangani masalah ketirisan.

PAC tidak melihat peruntukan ini akan membebankan atau menjadi liabiliti ke atas pegawai sektor awam. Sekurang-kurangnya ia akan menjadi panduan kepada mereka supaya tidak terjebak dalam isu yang ditimbulkan dalam LKAN.

Saya pernah membincangkan perkara ini bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed 2 tahun yang lalu ketika mengadakan kunjungan hormat ke atasnya sejurus selepas dilantik sebagai pengerusi PAC

PAC melihat sudah sampai masanya kerajaan melihat peruntukan mencegah rasuah daripada dimensi berbeza dengan mengambil kira perkembangan semasa terutama sekali tuntutan serta kehendak rakyat.

Ia sudah tentu bermakna perlu ada peruntukan undang-undang baharu bagi menangani masalah dan isu yang dibangkitkan oleh LKAN dan tidak hanya terhad kepada tindakan tatatertib diambil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dilihat gagal memberikan kesedaran kepada penjawat awam.

Jika diteliti, majoriti kes yang dilaporkan dalam LKAN adalah mengenai pembelian barang dalam harga mahal hingga menimbulkan persepsi berlaku rasuah dan penyelewengan tetapi sebenarnya ia tidak membabitkan unsur rasuah.

Cuma ada penjawat awam yang tidak amanah dan sambil lewa dalam menjalankan tugas. Mereka tidak melakukan tugas dengan teliti kerana beranggapan ia bukan duit mereka. Apabila reformasi undang-undang ini dilakukan, saya pasti ia akan menjadi pelengkap kepada Peraturan-peraturan Pegawai Awam Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 dan juga undang-undang yang lain.

Zaman sudah berubah, seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, pengenalan Akta Salah Laku untuk penjawat awam adalah kaedah terbaik untuk terus menangani isu ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

Jika ada kakitangan awam pecah amanah, mereka boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan, kesalahan rasuah boleh ditangkap di bawah Akta SPRM 2009, namun jika mereka cuai, tidak ambil kisah dan sebagainya, tiada undang-undang yang boleh memberikan pengajaran kepada kakitangan awam yang bersikap sedemikian.

Sekali lagi, saya tidak menuduh kesemua kakitangan awam mempunyai sikap negatif itu. Sebaliknya, ada segelintir yang tergolong dalam kumpulan itu hingga mengakibatkan berlaku ketirisan dalam perbelanjaan negara.

Pada masa sama, bukan satu rahsia lagi terdapat mentaliti segelintir penjawat awam yang suka menyalahkan dan menuding jari kepada ahli politik jika wujud sebarang salah laku dalam kerajaan.

Ungkapan yang sering saya dengar adalah 'ahli politik datang dan pergi tetapi kakitangan awam terus kekal malah akan naik pangkat' menyebabkan ada penjawat awam yang bersikap lepas dan sembunyi tangan apabila berlaku kecuaian dan meletakkan kesalahan itu kepada 'boss politik' mereka.

Walaupun, ada kesalahan itu yang berlaku akibat didorong perbuatan penjawat awam itu sendiri yang mungkin secara sengaja atau tidak sengaja memberikan maklumat yang salah kerana mengetahui 'boss politik' mereka bertindak sebagai 'rubber stamp' atas setiap keputusan atau tindakan yang diambil penjawat awam…lebih teruk jika tindakan itu sengaja dilakukan bagi mengenakan 'boss politik' mereka.

Adalah tidak adil kepada kerajaan atau lebih tepat lagi Umno dan Barisan Nasional (BN) yang terus dipersalahkan atas setiap perbelanjaan kerajaan yang dilihat berlaku lemah daripada segi pelaksanaannya, sedangkan ada projek yang gagal disebabkan kelemahan kakitangan awam itu sendiri.

Justeru, saya berpandangan jika kerajaan memperkenalkan undang-undang liabiliti korporat dan peruntukan berkaitan salah laku penjawat awam akan memperkukuhkan usaha mencegah rasuah dengan berkesan di sektor swasta dan awam.

Lebih adil jika undang-undang salah laku yang dicadangkan ini jika diperkenalkan kerajaan tidak hanya terhad kepada kakitangan awam semata-mata, tetapi turut membabitkan syarikat GLC di mana kerajaan mempunyai kepentingan secara langsung terutama sekali syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc). Atas sebab itu, saya menyokong supaya satu akta dikenali sebagai Akta Salah Laku diperkenalkan seperti yang terdapat di Australia dan Hong Kong khusus bagi mendakwa penjawat awam yang tidak menjalankan tugas dengan amanah.

Namun saya turut berpendapat sudah sampai masanya penggunaan sistem teknologi maklumat (IT) dalam urusan pentadbiran kerajaan dipertingkatkan bagi mengelakkan campur tangan manusia sekali gus mengelakkan berlakunya salah guna kuasa atau penyelewengan.

Lihat saja bagaimana kerajaan Singapura menggunakan sistem IT dalam sebarang urusan yang membabitkan manusia dengan dapat mengurangkan interaksi antara manusia dan manusia.

Tetapi keadaan jauh amat berbeza dengan di Malaysia apabila penjawat awam masih terus mahu berpegang kuasa untuk berhadapan dengan rakyat, mungkin ada sebab-sebab yang tidak elok seperti wujudnya unsur rasuah dan sebagainya.

Dan lebih memelikkan apabila pengenalan sistem IT dalam urusan pentadbiran kerajaan sering mendapat bantahan dan ia sebenarnya, disebabkan kelemahan kerajaan yang perlu melaksanakan sistem tender terbuka dalam memastikan penggunaan wang rakyat dalam pelaburan sistem IT ini benar-benar bermanfaat dan mendapat pulangannya.

Perlu diingatkan pelaksanaan sistem IT ini harus selari dengan pengenalan Akta Salah Laku jika ia mahu diperkenalkan kelak, kerana ia akan mewujudkan jejak audit yang berupaya membekalkan maklumat bagi mendakwa penjawat awam yang didapati melakukan salah guna kuasa atau salah laku walaupun sudah bersara daripada perkhidmatan awam.

Keperluan undang-undang ini serta penggunaan sistem IT yang lebih menyeluruh akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat untuk menambah baik sistem penyampaian kerajaan dengan mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk pihak kesatuan kakitangan awam seperti Cuepacs.

Apa yang pasti pengenalan Akta Salah Laku dan pengenalan sistem IT ini, berupaya menjadi pelengkap kepada inisiatif GTP yang diperkenalkan Najib dan walaupun wujud kemungkinan Putrajaya bimbang pengenalan akta ini akan menyebabkan sokongan lebih sejuta kakitangan awam terhadap BN terhakis, tetapi rekod PRU12 dan 13 membuktikan penjawat awam tidak lagi menjadi simpanan tetap parti.

Rakyat mahu melihat sama ada Putrajaya benar-benar mempunyai semangat politik dalam memperkenalkan Akta Salah Laku ini, dan tidak terus menggadaikan wang mereka semata-mata untuk memenangi pilihan raya umum. – 13 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments