Opinion

Umno terus diketepikan dengan Pakatan terus cuba berubah

Amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 esok pasti dibayangi langkah politik diambil menteri besar Selangor yang baru, Mohamed Azmin Ali apabila memberikan ‘durian runtuh’ kepada 12 ahli pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan peruntukan RM200,000 untuk setiap kawasan DUN selain elaun, kereta rasmi serta setiausaha kerja kepada ketua pembangkang DUN Selangor daripada Umno.

Bajet Selangor yang terbesar di bawah kepimpinan Azmin membuktikan timbalan presiden PKR itu sedang ‘berlatih’ memimpin kerajaan pusat di Putrajaya seperti yang diimpikan Pakatan Rakyat (PR).

Sama ada kerajaan PR Selangor benar-benar ikhlas dalam pemberian itu sebenarnya, tidak penting tetapi ia adalah langkah ‘check’ Azmin seperti dalam permainan catur kepada Umno dan kerajaan BN di Putrajaya.

Rakyat kini melihat politik matang dimainkan PR terutama sekali Azmin selaku timbalan presiden PKR dengan menjadikan Selangor sebagai cermin kepada kerajaan pusat PR dan rakyat sudah pasti akan menilai dan membandingkan dengan kerajaan BN yang dipimpin Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Selepas Datuk Seri Najib yang menerajui sebagai pengerusi BN Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13, ‘membelasah’ Umno Selangor dalam konvensyen parti negeri itu kira-kira sebulan lalu, Umno Selangor terus dilihat tidak mampu menangani asakan bertali arus daripada PR apabila peranan mereka untuk mengembalikan Umno kembali berkuasa di negeri paling kaya di Malaysia semakin tenggelam.

Ketidakupayaan Umno Selangor itu jelas dihidu mantan Presiden Umno ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghantar isyarat jelas kepada kepimpinan parti negeri itu dengan mahu mereka digantikan kerana terus tidak mahu mengakui kelemahan mereka dalam mengatur strategi baru.

Secara tiba-tiba saya berasa PAU 2014 kali ini, dilihat cukup penting di kalangan pemimpin Umno dengan hampir semua negeri mengadakan konvensyen parti dengan menjemput Datuk Seri Najib dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikannya.

Pelbagai bengkel diadakan sempena konvensyen Umno di negeri-negeri bagi mencari formula mengapa Umno dilihat semakin lemah, apa sebenarnya yang menyebabkan rakyat termasuk orang Melayu terutama sekali di kawasan bandar dan separuh bandar dilihat semakin menjauhi parti.

Bagaimanapun, ucapan Datuk Seri Najib ketika merasmikan konvensyen Umno Selangor paling mencuri perhatian kerana jelas mengakui betapa berlakunya percakaran dan pergelutan daripada peringkat negeri ke pusat dalam menentukan calon PRU 13.

Bagi saya, ia sebenarnya sesuatu yang memelikkan juga kerana sebelum PRU 13, pucuk pimpinan parti menyatakan setiap calon sudah disaring daripada segi kesihatan, rekod jenayah atau rasuah dan mereka adalah benar-benar calon ‘winnable’.

Pada masa ketika itu, pucuk pimpinan juga memaklumkan setiap calon yang dipilih adalah hasil cadangan serta pandangan akar umbi iaitu kepimpinan parti di peringkat bahagian tetapi apa yang berlaku selepas pengumuman nama calon amatlah bertentangan dengan segala apa yang dikatakan pucuk pimpinan...

Dimanakah silapnya, siapakah yang bersalah? Ayat yang lazim digunakan bagi menjelaskan situasi ini adalah kita serahkan kepada presiden parti untuk menentukannya.

Mengambil contoh di Parlimen Pulai yang diwakili saya sekali ketua Umno Bahagian dan pengerusi BN bahagian ketika PRU 13 lalu, saya menyedari betapa pentingnya kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN ini dipertahankan daripada asakan pembangkang selepas mereka meletakkan Lim Kit Siang bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah yang bersebelahan dengan Parlimen Pulai dan saya sendiri ditentang Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Saya mengambil inisiatif memaklumkan kepada presiden parti keputusan Jawatankuasa Umno dan BN Bahagian Pulai sebelum PRU 13, calon-calon yang layak untuk bertanding di dua kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Pulai dalam terus memastikan semuanya kekal milik BN.

Namun, atas faktor tertentu atau mungkin campur tangan pihak tertentu pandangan daripada BN dan Umno Bahagian Pulai langsung tidak diendahkan dan akibatnya, satu kerusi DUN dalam Parlimen Pulai jatuh ke tangan DAP buat pertama kalinya.

Inilah kesilapan dilakukan Umno dan BN di peringkat pusat dalam PRU 13 lalu, yang saya percaya bukan hanya berlaku di Pulai tetapi juga di banyak kawasan Parlimen dan DUN apabila pucuk pimpinan tidak mengendahkan kehendak akar umbi di peringkat bahagian yang sebenarnya, mengetahui apa sebenarnya berlaku di kawasan mereka bukannya maklumat daripada pihak tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai ‘think tank’.

Mengambil contoh kekalahan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman kepada Lim Kit Siang di Gelang Patah, saya berkesempatan menyatakan secara peribadi kepada Datuk Seri Najib punca sebenar kekalahan Datuk Ghani.

Antara sebabnya Datuk Ghani bukan orang tempatan iaitu orang Gelang Patah walaupun beliau menteri besar Johor ketika itu yang berulang alik ke pejabatnya ke Nusajaya dalam Parlimen Gelang Patah tetapi beliau nyata tidak mempunyai pengundi setia di kawasan berkenaan.

Tindakan pucuk pimpinan Umno dan BN ketika itu yang menidakkan peranan Umno Bahagian Gelang Patah serta menukar calon MCA yang sepatutnya bertanding untuk kerusi Parlimen berkenaan juga membawa padah besar.

Sudah tentu juga tanggapan jasa Datuk Ghani sebagai menteri besar selama 18 tahun akan dihargai penduduk Gelang Patah dengan memberikan kemenangan kepada beliau adalah tidak tepat sama sekali apabila bekas menteri besar Johor itu kalah dengan majoriti undi lebih 14,000.

Sebenarnya yang menghairankan ramai pemimpin BN pada ketika itu, perubahan sasaran pucuk pimpinan dalam PRU 13 yang pada mulanya hanya mahu memperbaiki kemenangan BN yang dicapai dalam PRU12 ketika dipimpin Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba pucuk pimpinan mendapat petunjuk daripada sumber yang tidak sahih berjaya menyakinkan pimpinan untuk menukar sasaran kepada mahu menang majoriti dua per tiga.

Sikap tamak haloba yang tidak realistik inilah yang menyebabkan pencapaian BN lebih teruk berbanding PRU 12 apabila pucuk pimpinan bertindak menukar calon PRU sesuka hati tanpa asas kukuh seperti umur dan kelayakan.

Ada pengerusi Perhubungan negeri memaklumkan kepada saya mereka sudah diberikan senarai calon daripada pucuk pimpinan sedangkan calon-calon berkenaan bukan terdiri daripada kriteria calon ‘winnable’.

Mungkin dalam menghadapi PRU 14, pucuk pimpinan boleh menimbangkan kaedah pemilihan calon yang lebih telus dengan mengadakan pertandingan bakal calon parti di peringkat bahagian dan mereka yang menang dipilih dan angkat sebagai calon BN dan Umno.

Ini adalah amalan lazim digunakan di United Kingdom dan Amerika Syarikat dengan mengadakan kaukus pemilihan calon dalam parti sekali gus menjadikan proses pemilihan calon parti di peringkat kawasan telus.

Pada masa akan datang saya sama sekali tidak bersetuju pemilihan calon diserahkan kepada pucuk pimpinan parti semata-mata kerana sudah banyak masalah timbul apabila pemilihan calon diserahkan kepada pucuk pimpinan.

Jika pucuk pimpinan mempunyai pilihan lain untuk meletakkan calon muda dan berkelayakan bagi menukar calon seharusnya perlu berunding lebih awal selain mempunyai alasan kukuh.

Amalan pada masa kini dengan hanya mendedahkan nama calon sejurus sebelum hari penamaan calon tidak lagi sesuai dan telus untuk memilih calon yang boleh dipersetujui secara konsensus oleh pucuk pimpinan dan akar umbi.

Daripada segi isu perubahan dan peremajaan parti sebenarnya, perubahan perlu datang daripada pucuk pimpinannya sendiri bukan daripada pemimpin pertengahan (bahagian) atau bawahan (cawangan).

Bak kata arwah ayahanda mentua saya yang juga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Jaffar Hussein ketika menguruskan krisis kewangan perbankan negara sekitar tahun 90-an, ‘the fish rots from the head’ dan atas sebab itu beliau banyak bertindak untuk menukar ketua pegawai eksekutif (CEO) atau ‘kepala’ di institusi perbankan dan kewangan negara yang bermasalah.

Beliau juga berpendapat sama terhadap kepimpinan politik negara pada ketika itu.

Tetapi dalam Umno walaupun pimpinan bertukar daripada tangan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ke Datuk Seri Najib, masalahnya tetap sama, perkara yang diulangkan tetap sama sehingga akhirnya rakyat sendiri mempercayai yang Umno sudah rosak dan tidak mampu berubah.

Peremajaan parti yang dilaungkan sejak hampir sedekad lalu berlaku dengan begitu perlahan dan lebih menyedihkan proses berkenaan berlaku dengan cara tidak betul, sebagai contoh kenyataan peremajaan parti berkali-kali diwar-warkan dalam PAU dan diulang-ulang tetapi tidak nampak sebarang tindakan nyata untuk menaikkan orang muda.

Mengambil contoh di Singapura dan China, pemimpin negara berkenaan sudah menetapkan 10 tahun lebih awal pengganti mereka dengan memilih kroni masing-masing akan tetapi pengganti mereka berjaya menaikkan negara masing-masing ke tahap lebih tinggi tetapi di Malaysia ia tidak berlaku kerana kroni yang dilantik kurang berkelayakan untuk menyambung kejayaan pemimpin terdahulu.

Sebab itu ada ahli Umno yang beranggapan konvensyen parti yang diadakan di peringkat negeri hanya membuang masa dan tidak mempunyai nilai tambah kerana akhirnya, pucuk pimpinan yang akan membuat membuat keputusan kononnya mereka lebih mengetahui apa berlaku di peringkat akar umbi.

Jadi adakah perubahan yang Umno mahu lakukan seperti yang dimahukan rakyat akan berlaku dan sampai bila Umno mahu terus bertahan dengan asakan pembangkang yang berterusan menunjukkan ‘wajah’ politik baru mereka .

Malah dalam PAU yang diadakan setiap tahun ia jua sudah seakan nampak hambar kerana wakil-wakil yang berucap tetap orang sama dan berusia dengan diberikan skrip yang sama. Apa salahnya orang muda yang berbeza diberikan peluang berucap tanpa skrip daripada orang berusia berpengalaman bercakap syok sendiri dengan cerita lama.

Saya tidak mahu rakyat melabelkan Umno dan pucuk pimpinannya sebagai NATO (No Action Talk Only) dan sebagai penglipur lara yang terus mengulang-ulang lagu lama dan dendangan sama saban tahun tanpa sebarang tindakan pantas yang diperlukan bagi menarik semula sokongan rakyat kepada parti.

Walaupun pimpinan Umno cuba memberikan pelbagai label dan persepsi negatif kepada pemimpin pembangkang hakikat perlu terima adalah rakyat yang akan memberikan undi dalam PRU 14 bukannya pemimpin dan ahli Umno sahaja.

Dan bagi pembangkang walaupun berhadapan dengan krisis antara komponen parti dalam PR tetapi kerajaan negeri mereka yang diberikan mandat berusaha memberikan keyakinan kepada rakyat yang pentadbiran mereka lebih telus, cekap serta berhemah daripada kerajaan BN.

Oleh itu, adalah amat penting Umno membuktikan kerajaan BN di Putrajaya benar-benar dapat terus menyakinkan rakyat untuk memilih parti dalam PRU 14 nanti kerana masanya sudah semakin hampir dengan strategi PR berterusan menekan serta menghimpit Umno dan BN.

Sewajibnya, Datuk Seri Najib selaku presiden Umno menggariskan amanat baru kepada ahli Umno dan BN sebagai persediaan menghadapi PRU 14 bukannya terus menggunakan isu-isu lama seperti hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam, Akta Hasutan dan penghapusan sekolah vernakular sebagai teras perjuangan Umno sedangkan ia tidak lagi memberikan kesan nyata kepada rakyat terbesar secara keseluruhan.

Mungkin takdir akhirnya menemukan semula Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah yang sama-sama bersepakat dalam isu perubahan segera Umno selepas berbeza cara kepimpinan masing-masing.

Bagi saya perkataan Melayu yang banyak maknanya bagi Umno adalah ‘pucuk pimpinan’ kerana ia tidak wujud tanpa akarnya tetapi Umno sekarang diibaratkan sebagai pokok tua disokong akar tua dan jika perubahan besar tidak berlaku untuk meremajakan akar ini dengan segera, berat pokok yang tua ini akhirnya akan tumbang mati bersama pucuk pimpinannya. – 26 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments