Opinion

Umno Selangor terpaksa sokong ‘langkah Khalid’

Ketika seluruh dunia berkabung dan memerhatikan jenazah 298 penumpang serta anak kapal pesawat malang MH17 dibawa ke Belanda untuk tujuan pengecaman identiti, fikiran pemimpin atasan Pakatan Rakyat semakin bercelaru dengan apa yang bakal terjadi terhadap kerusi menteri besar Selangor.

Skrip “langkah Kajang” yang mula ditayangkan kepada seluruh negara pada akhir Februari sebelum pilihan raya kecil (PRK) Kajang berlangsung pada 28 Mac lalu, menyaksikan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menyerahkan kerusi DUN berkenaan kepada isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum presiden PKR itu menang.

Jika benar skrip “langkah Kajang” yang diwar-warkan ditulis pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli bagi “membuang” Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, nampaknya ahli parlimen Pandan itu, terpaksalah mengarang lakon layar baru untuk filem cereka terbitan PKR berkenaan.

Walaupun PKR sudah mengumumkan Dr Wan Azizah sebagai calon MB Selangor bagi menggantikan Khalid awal minggu ini, tetapi PAS dan DAP tidak memberikan laluan mudah untuk beliau menjadi MB wanita pertama di negara ini.

Secara tiba-tiba, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersuara Jumaat lalu dan beliau memilih untuk mempertahankan Khalid sebagai MB Selangor selepas solat Jumaat, ayat yang tidak akan mungkin ditelan semula beliau untuk tidak menyokong Khalid selepas ini, bagi seseorang yang bergelar ulama.

Jadi, apa lagi skrip baru akan ditulis PKR dan Rafizi selepas mendengar “amanat Hadi” itu ? Dan Rafizi tidak menunggu lama untuk terus melancarkan serangan terhadap “boss” kerajaan PKR Selangor dengan kenyataan lapuk dan modal lama mengenai penstrukturan industri air di negeri berkenaan.

Adakah kata daripada bekas seorang kakitangan Petronas akan diterima rakyat Selangor yang menyatakan Khalid menyalahgunakan kuasa untuk membeli industri air dan menjadikan ia hartamilik rakyat Selangor?

Atau kata bekas ketua pegawai eksekutif Guthrie dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mempunyai rekod sejarah cemerlang memimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi pilihan rakyat Selangor mempercayai perjanjian penstrukturan industri air Selangor yang terbaik bagi mereka.

Sebulan Aidilftri ini, akan menjadi detik penentu kepada Khalid sama ada beliau terus mampu bertahan sebagai MB Selangor hingga akhir penggal, berundur secara terhormat atau dibuang daripada kerajaan Selangor.

Sudah pasti bagi Khalid, beliau tidak takut berdepan dengan PKR termasuk Anwar atau DAP Selangor kerana MB Selangor ini, dikatakan mendapat sokongan kuat daripada istana dan yang lebih menghairankan beliau turut menerima sokongan kuat daripada Barisan Nasional (BN) Selangor iaitu Umno yang memegang 12 kerusi DUN di negeri itu.

Apa yang sebenarnya sudah berlaku kepada Umno Selangor apabila menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid untuk terus memegang jawatan MB Selangor.

Sedangkan sebagai parti pembangkang, Umno Selangor sudah pasti perlu sedar, filem cereka “langkah Kajang” inilah, modal atau peluru terbaik kepada parti bagi memberikan keyakinan kepada rakyat negeri yang terkaya di Malaysia untuk tidak lagi memilih Pakatan dalam pilihan raya umum (PRU) 14.

Namun pengiktirafan yang diberikan Umno Selangor kepada Khalid untuk terus memegang jawatan MB membuktikan strategi bekas tokoh korporat itu benar hebat hingga mampu “melibas” Datuk Seri Najib Razak dalam PRU 13.

Pertembungan “Najib-Khalid” dalam PRU13 apabila Najib memimpin BN Selangor sebagai pengerusinya manakala Khalid sebagai pengerusi Pakatan jelas memihak kepada MB Selangor itu, yang menang bergaya menewaskan presiden Umno sehingga berjaya mengurangkan jumlah kerusi yang dimenangi BN dalam PRU13 berbanding PRU 12.

Mungkin atas sebab itu agaknya, Khalid dijemput sebagai tetamu kehormat dalam majlis berbuka puasa anjuran Umno Selangor dan mengadakan pertemuan dengan Najib, sebagai satu pengiktirafan terhadap strategi MB Selangor itu yang berjaya menyakinkan rakyat Selangor untuk menolak terus BN daripada kancah politik Selangor dalam PRU 13.

Sebagai ketua Umno bahagian dan ahli parlimen BN, saya menyedari Umno Selangor berdepan dengan laluan yang terlalu sukar untuk menawan semula negeri ini, bak kata orang “hajat di hati hendak memeluk gunung tapi apakan daya tangan tak sampai”.

Ini kerana sebagai negeri termaju di Malaysia, lanskap politik Selangor amat berbeza kerana lokasinya di Lembah Klang menyebabkan 100% rakyatnya celik membaca dan ia ditambah pula dengan kadar penembusan Internet di negeri ini, juga berada dalam tahap 100%.

Ia sekaligus menyebabkan rakyat Selangor bebas mendapat maklumat daripada pelbagai sumber terutama sekali Internet dan tidak bergantung kepada retorik pemimpin atau media arus perdana.

Disebabkan itu juga, wakil rakyat daripada Pakatan yang sepatutnya berlagak sebagai pemerintah dengan menyokong kerajaan PKR terpaksa bertindak sebagai pembangkang dan menyokong badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang projek kerajaan sebagai contoh dalam Projek Pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Jika wakil rakyat Pakatan sendiri sudah bertindak sebagai pembangkang di Selangor, dimana pula letaknya fungsi yang hendak dimainkan Umno Selangor sebagai pembangkang di negeri itu?

Faktor itulah yang mungkin menyebabkan Umno Selangor terpaksa secara terbuka menyatakan sokongan kepada Khalid kerana semua mengetahui musuh sebenar Umno bukannya PKR tetapi Anwar.

Jadi timbul teori di kalangan pemerhati politik yang membuat kesimpulan yang Umno Selangor bukan menentang PKR atau Pakatan di Selangor tetapi menentang Anwar dan konco-konconya.

Apabila Khalid membuat keputusan untuk membelakangkan Anwar dan PKR, dengan pantas pucuk pimpinan Umno Selangor menyokongnya sehingga menimbulkan kecelaruan di kalangan ahli akar umbi parti di negeri itu mengenai strategi yang bakal digunakan bagi menawan semula Selangor.

Sesungguhnya, jika itu strategi yang terpaksa digunakan Umno Selangor untuk menjadi pembangkang, saya tidak merasakan parti ini, akan dapat merampas semula Selangor daripada Pakatan.

Perlu diingatkan majoriti ketua Umno bahagian Selangor terdiri daripada mereka yang sudah veteran dan rakyat di negeri berkenaan mahukan pembaharuan yang jelas iaitu muka baru sebagai wakil rakyat mereka.

Sebab itulah Pakatan menang besar di Selangor, apabila hampir semua muka barunya menumbangkan muka lama daripada BN dan hakikat inilah yang perlu ditelan BN dan Umno sebagai persediaan menghadapi PRU 14.

Khalid berjaya membuktikan beliau mampu menjadi ketua kerajaan tanpa perlu membentuk pasukan dengan memberikan projek kerajaan, sesuatu yang menjadi amalan biasa di Putrajaya.

Bagi Khalid apa yang paling adalah rakyat di belakangnya dan merestui apa yang dilakukan beliau adalah untuk kebaikan mereka pada masa depan bukan memuaskan nafsu serakah orang politik.

Contoh dan iktibar daripada yang dilakukan Khalid inilah, yang wajar diikuti pimpinan BN serta Umno dan tanpa disedari Umno Selangor sudah menunjukkan mereka akur terhadap kepimpinan Khalid sehingga terpaksa menyokong “langkah Khalid” bagi menidakkan “langkah Kajang”.

Pergelutan kuasa dalam PKR Selangor jelas menjejaskan sokongan rakyat negeri berkenaan apabila kajian yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMcedel) jatuh kepada 35%, setahun selepas memenangi PRU 13.

Tetapi, penurunan sokongan terhadap kerajaan Selangor itu pula, tidak menunjukkan rakyat kembali menyokong BN apabila peratus yang menyokong parti pemerintan kerajaan Pusat hanya naik 10% kepada 25%.

Kajian berkenaan jelas membuktikan sejak setahun selepas kalah dalam PRU 13, BN Selangor khususnya, Umno tidak berusaha merancang sebarang strategi khusus untuk menarik semula sokongan rakyat kepada parti.

Secara peribadi, saya bimbang terhadap sikap pengundi Selangor hari ini, kerana walaupun kecewa dengan kerakusan kuasa pemimpin PR tetapi pada masa sama, mereka masih menolak Umno disebabkan pemimpinnya yang kurang kredibiliti ditambah dengan kegagalan kerajaan pusat untuk menepis persepsi ketidaktelusan dalam isu  seperti pinjaman Bank Rakyat dan 1MDB.

Malah isu seperti Kidex dan penstrukturan industri air di Selangor juga mempunyai kaitan dengan kerajaan BN pusat yang terus dibantah penduduk negeri berkenaan.

Pemimpin Umno perlu meyakinkan rakyat yang mereka lebih dipercayai untuk menguruskan negeri terkaya di Malaysia dan mengubah kecenderungan mereka untuk kembali menyokong Pakatan apabila kemelut penggantian menteri besar selesai nanti.

Bagaimanapun, harapan Umno untuk memerintah semula di Selangor tipis kerana pada hakikatnya majoriti pengundi Selangor adalah penduduk bandar dan separa bandar yang secara terang-terangan bersifat anti BN dan Umno seperti yang dibuktikan dalam kajian UMcedel.

Ia menyebabkan ramai pemerhati politik mendapati majoriti pemimpin Umno Selangor mengharapkan Pakatan Rakyat berpecah sekaligus gagal membentuk gandingan bagi membolehkan BN kembali semula menjadi kerajaan pemerintah di Selangor.

Pada masa sama, BN dan Umno Selangor perlu sedar Khalid sudah menyatakan beliau akan berundur selepas penggal ini, dan ia bermakna muka baru akan mengemudi Pakatan Rakyat dalam PRU 14 kelak.

Sepatutnya, tempoh empat  tahun ini, digunakan sepenuhnya Umno Selangor bagi mengetengahkan muka baru di pentas politik negeri berkenaan untuk membolehkan rakyat mengenali siapa mereka.

Kegagalan demi kegagalan untuk mengatur strategi baru bagi menawan semula Selangor seperti membayangkan Umno Selangor lebih selesa menjadi pembangkang dan jika itulah yang sebenarnya berlaku, tidak mustahil Selangor akan terus menjadi kubu kuat pembangkang seperti yang berlaku di Kelantan.

Akhir kata pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir dan batin serta berhati-hati memandu. – 27 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments