Opinion

Umno perlu keluar daripada persepsi politik wang II

19 September lalu, sebulan sebelum pemilihan Umno berlangsung, saya menulis satu artikel bertajuk Umno Perlu Keluar daripada Persepsi Politik Wang di portal berita ini.

Pada mulanya, artikel itu, tidak mendapat sebarang reaksi dan tidak diendahkan sesiapa pun, namun kira-kira sebulan selepas pemilihan Umno diadakan pada 19 Oktober, ia mendapat pelbagai kritikan dan hentaman yang mahu saya meminta maaf dan menuduh saya dengan pelbagai andaian.

Malah, ada seorang penulis di sebuah akhbar tempatan memetik artikel berkenaan sebelum mengolahnya sehingga ia disalahertikan, seolah-olah saya menyatakan bahawa perlu ada sejumlah wang untuk memenangi jawatan Majlis Tertinggi.

Mungkin ada agenda tersembunyi mengapa selepas dua bulan artikel berkenaan berkenaan disiarkan ia menjadi kecoh riuh hingga ada pemimpin tertinggi Umno yang terpaksa memberikan komen terhadapnya.

Pada masa sama, melalui artikel itu juga pihak pembangkang di Parlimen turut menggunakannya dengan memutar belitkan fakta di dalamnya untuk menghentam Umno. Tidak cukup dengan itu, saya turut difahamkan ada Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menunjukkan artikel berkenaan kepada Presiden parti dan saya tidak tahu motifnya, namun saya mahu bersangka baik.

Sangka baik, itulah tujuan saya menulis artikel berkenaan kerana mahu membuktikan bahawa persepsi atau sangkaan jahat selama ini, bahawa Umno mengamalkan politik wang perlu dikikis sama sekali dan Umno sudah berubah.

Sebab itu, saya menyatakan bahawa kaedah pemilihan daripada berkonsepkan sistem kuota dengan 2,500 perwakilan kepada sistem 'electoral college' melalui 146, 500 perwakilan tidak akan dapat mengeluarkan Umno daripada persepsi politik wang sekiranya, masyarakat terus mempunyai sangkaan sedemikian rupa.

Ketika saya menulis artikel berkenaan saya tidak menuduh bahawa Umno mengamalkan politik wang cuma saya katakan usaha tranformasi yang hendak dibawa Presiden parti dengan mengubah kaedah pemilihan akan gagal jika Umno terus dilemparkan dengan sangkaan jahat atau persepsi negatif.

Namun, secara tiba-tiba timbul pula dakwaan daripada beberapa ahli Umno di sebuah bahagian di Kuala Lumpur yang mendakwa berlaku rasuah dan politik wang ketika pemilihan berlaku.

Terus terang, saya sedih kerana dakwaan yang dibuat itu dihebahkan kepada media massa dan portal berita ini, sekaligus mengakibatkan persepsi rakyat terhadap Umno akan berterusan negatif apabila membabitkan politik wang.

Namun, timbul juga persoalan mengapa ahli Umno itu bertindak menghebahkannya kepada media massa, walaupun pada masa dikatakan sudah melaporkan kepada pengurusan tertinggi parti.

Adakah ahli parti sudah kurang yakin terhadap pengurusan parti untuk mengendalikan kes membabitkan politik wang? Umno tidak pernah bertolak ansur dalam isu politik wang dan ia terbukti bahawa ramai pemimpin 'besar' dikenakan tindakan kerana didakwa terbabit dalam politik wang.

Tetapi memelikkan apabila ada kenyataan mendakwa bahawa dengan mengubah sistem pemilihan daripada berasaskan kuota kepada 'electoral college', gejala politik wang dapat dihapuskan dalam Umno, dakwaan sedemikian tiba-tiba timbul.

Mungkin tujuan dakwaan itu, untuk memburukkan pemimpin tertentu kerana itu memang mainan politik tetapi Umno juga perlu berlapang dada terutama sekali pemimpinnya untuk tidak takut bercakap mengenai politik wang dalam parti.

Kita tidak boleh berterusan untuk 'menyapu segala sampah ke bawah karpet' dalam isu politik wang ini, kerana Umno sudah pasti memerlukan sokongan rakyat untuk terus mengekalkan kuasa.

Dan rakyat mahu Umno berubah dengan mengikis segala persepsi mengenai politik wang ini, dan mengambil pendirian tegas bahawa parti tidak bertolak ansur terhadap segala bentuk amalan politik wang dalam merebut atau mengekalkan kuasa seseorang pemimpin.

Pada masa sama, saya berharap Umno perlu bersikap terbuka dalam menerima segala kritikan kepada parti.  Saya percaya bahawa segala kritikan terhadap parti membuktikan bahawa ahli parti masih sayangkan Umno.

Mereka mahu Umno berubah sejajar dengan tuntutan masyarakat pada masa kini, yang amat kritikal terhadap segala isu membabitkan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Umno adalah cermin kerajaan, jika Umno dilabelkan sebagai parti yang korup sudah pasti kerajaan juga turut mendapat label yang sama. Justeru, adalah amat penting bahawa persepsi mengenai politik wang dalam Umno ini, dikikis secepat mungkin.

Mengenai individu yang mengkritik saya berhubung penulisan mengenai politik wang, saya tidak kisah dan berlapang dada menerima segala tuduhan itu kerana pemimpin yang berjiwa besar perlu berani menerima dan berhadapan dengan segala kritikan.

Selain itu, ia juga bukti bahawa ahli Umno bebas untuk bersuara demi kebaikan parti sekali gus memastikan nilai demokrasi dalam parti terus subur.

Niat dan tujuan saya adalah untuk membetulkan segala persepsi yang dilemparkan kepada Umno mengenai politik wang adalah tidak betul tetapi jika ada dakwaan mengenai gejala berkenaan, parti perlu berani mengambil tindakan dengan segera dan hebahkannya kepada umum.

Barulah perjuangan saya untuk mengubah persepsi bahawa Umno tidak boleh berubah selama 20 tahun di Pulai dan peringkat nasional tidak disia-siakan. – 23 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments