Opinion

Umno, perhimpunan agung dan Malaysia Timur

Selasa ini, bermulalah Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 selama empat hari dengan dijangka lebih 5,000 perwakilan mewakili ketiga-tiga sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Walaupun, PAU mungkin dikatakan kurang meriah disebabkan proses pemilihan parti di peringkat tertinggi sudah dilaksanakan 146,500 perwakilan pada 19 Oktober lalu, namun perhimpunan parti terbesar orang Melayu serta tulang belakang kerajaan ini, amat penting.

Ketika Umno dilihat agak defensif dalam mempertahankan dasar kerajaan selepas memenangi Pilihanraya Umum (PRU) 13 Mei lalu, ramai pemimpin parti terus mempertahankan kedudukan parti yang berjaya mencapai keputusan lebih baik dengan memenangi 88 kerusi  Parlimen di bawah pimpinan Presiden, YAB Dato’ Sri Najib Razak.

Sekali lalu, semua akur bahawa keputusan PRU13 untuk Umno lebih baik berbanding PRU12 di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila parti hanya berjaya memperoleh 78 kerusi Parlimen.

Namun, ramai juga pemimpin Umno perlu sedar dan bermuhasabah diri bahawa sebenarnya, pengekalan kuasa Barisan Nasional (BN) dalam PRU13, adalah disumbang rakan komponen dari Malaysia Timur khususnya, Sarawak.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bumiputera Sarawak (PBB), Tan Sri Taib Mahmud terus memimpin BN Sarawak menjadi “simpanan tetap” untuk BN untuk terus mengekalkan kuasa pemerintahan.

Walaupun, dibelenggu serta dilemparkan dengan pelbagai dakwaan rasuah, pemimpin berpengalaman ini tetap teguh mengemudi partinya sehingga mencapai kejayaan memberikan 14 kerusi kepada BN pada PRU13 sama seperti ketika PRU12.

Malah ketika perasmian Perhimpunan Agung PBB ke-13, Oktober lalu, Tan Sri Taib Mahmud dalam ucapannya menegaskan bahawa Sarawak ditadbir dengan cara Sarawak dan atas sebab itu, sokongan rakyat Bumi Kenyalang itu sentiasa tidak berbelah bahagi kepada BN.

Ketika kedudukan parti komponen BN di Semenanjung boleh diibaratkan seperti “telur di hujung tanduk”, parti komponen BN Malaysia Timur memastikan bahawa Dato’ Sri Najib akan terus dapat melaksanakan janji yang dibuat dalam manifesto ketika pilihan raya.

Jika dianalisa daripada 133 kerusi parlimen BN yang dimenangi dalam PRU13, 32 daripadanya disumbangkan parti komponen daripada Malaysia Timur.  Jika ditolak bilangan berkenaan, adakah Umno dan parti komponen dari Malaysia Barat boleh membentuk kerajaan?

Apa akan terjadi sekiranya, parti-parti komponen Malaysia Timur ini, pada satu hari bertindak untuk “tidak” mempedulikan BN, apa yang Umno akan lakukan terutama sekali Umno Malaysia Barat. 

Walaupun, persoalan itu tidak seharusnya menjadi “bayang-bayang” kepada semangat setiakawan komponen parti BN tetapi cabaran untuk mengekalkan ukhuwah itu dilihat begitu mencabar.

Sama ada pemimpin Umno sedar atau tidak, pembangkang sudah mula agresif merencanakan apa yang mereka mahu lakukan  dalam usaha untuk mendapat kuasa menawan Putrajaya pada PRU14 nanti.

Beberapa hari lalu, DAP melalui Penasihatnya, Lim Kit Siang tanpa segan silu mendedahkan pelan tindakan pembangkang untuk berkuasa menewaskan BN terutama sekali Umno apabila melancarkan strategi Impian Sarawak dan Impian Sabah.

Mereka (pembangkang) sedar bahawa kedudukan Malaysia Barat bukanlah lagi satu masalah kerana ia terbukti apabila berjaya mempertahankan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan selain merobek masuk ke negeri tiang seri Umno di Selatan Semenanjung.

Impian mereka adalah Sarawak serta Sabah dan jika kawasan pendalaman di Malaysia Timur ini, berjaya dikuasai, tidak mustahil kuasa pemerintahan akan beralih…ia seakan sudah mula menjadi satu realiti dengan pelbagai isu yang membelenggu fikiran rakyat penduduk Sarawak serta Sabah.

Isu-isu berkaitan penduduk Malaysia Timur terutama sekali penggunaan kalimah Allah digunakan sebaik mungkin dalam menimbulkan persepsi serta keraguan rakyat Sarawak serta Sabah bahawa Putrajaya seakan mengabaikan hak keistimewaan mereka.

Dalam isu penggunaan kalimah Allah, Putrajaya seakan-akan bersendirian mempertahankan keistimewaan itu kepada umat Islam di negara ini, sedangkan tiada satu komen konkrit dikeluarkan pemimpin BN termasuk Umno daripada Malaysia Timur yang menyokong keputusan Putrajaya.

Pelbagai sangkaan serta dakwaan dilemparkan kepada Umno dalam isu pengunaan kalimah Allah ini, terutama sekali di Malaysia Timur dengan ada yang menuduh bahawa parti terus mempermainkan isu agaman serta kaum dalam menarik sokongan orang Melayu.

Sebenarnya, bagi pemimpin BN Malaysia Timur, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja di negeri berkenaan bukan satu masalah dan tidak pernah menjadi masalah kepada penduduk Islam di sana.

Sebab itu, mereka mendiamkan diri kerana sebarang kenyataan yang menyokong larangan penggunaan kalimah Allah di gereja di Malaysia Timur seperti yang dikeluarkan Putrajaya akan menyebabkan pengundi bukan Islam di kawasan masing-masing tersinggung sekaligus bakal berdepan dengan kehilangan sokongan.

Risiko berkenaan sudah pasti tidak mahu diambil oleh mana-mana pemimpin BN Malaysia Timur ketika ini, kerana silap cakap pasti akan membawa padah dan pembangkang akan memggunakannya sebagai senjata.

Atas sebab itu juga, Putrajaya turut diingatkan supaya mematuhi Perjanjian “20-Point” antara Sabah dan Kuala Lumpur yang dimeterai pada 1963 sekaligus membuktikan bahawa pemimpin dari Negeri Di Bawah Bayu itu mahu suara mereka didengar.

13 Ahli Parlimen Umno Sabah walaupun, tidak lantang menyuarakan pandangan mengenai perjanjian berkenaan tetapi juga sedar lama kelamaan masyarakat di kawasan mereka akan menyuarakan mengenai ketidakpatuhan terhadap perjanjian yang penting kepada negeri itu.

Jika selama ini, pengagihan pembangunan setiap kali pembentangan Bajet negara seringkali menyaksikan bahawa anggaran pembangunan kira-kira 70% kepada Malaysia Barat manakala bakinya kepada Sabah serta Sarawak.

Dengan kekuatan yang ada kepada parti komponen Malaysia Timur termasuk kepada Umno Sabah, penduduk di Sarawak serta Sabah sudah merasakan sudah sampai masanya, pengagihan bajet pembangunan dilakukan dengan lebih seimbang iaitu 40% untuk Malaysia Barat dan bakinya, masing-masing 30% bagi Sarawak serta Sabah.

Sebenarnya, Umno mungkin tidak pernah membayangkan bahawa situasi atau keadaan seperti ini, akan terjadi disebabkan sebelum ini, parti keramat ini, sentiasa mendapat sokongan padu daripada penduduk di Malaysia Barat.

Setiap kali Pilihanraya Umum kecuali PRU13 dan 12, Umno sentiasa berjaya mendapat jumlah kerusi melebihi 100 sekaligus tidak perlu bergantung penuh kepada mana-mana parti komponen BN untuk membentuk kerajaan.

Kini, Umno perlu bermuhasabah diri bahawa kegemilangan parti keramat ini, yang menjadi wadah perjuangan orang Melayu di tanah air ini, perlu bergantung kepada rakan komponen dari Malaysia Timur untuk terus berkuasa.

Seharusnya, PAU 2013 selama empat hari ini, perlu dijadikan medan, pentas serta platform terbaik untuk melakar satu pelan tindakan bersepadu dalam menarik semula sokongan rakyat terutama sekali orang Melayu dari Malaysia Barat kepada Umno.

Umno tidak boleh terus terawang-awang dan memuji diri sendiri atas pencapaian mendapat kerusi lebih baik ketika PRU 13 berbanding PRU 12, kerana jika itu berlaku, perubahan yang diharapkan tidak akan berlaku.

Perubahan itu juga tidak boleh hanya tertakluk kepada penduduk di Malaysia Barat sahaja, pemikiran unilateral pemimpin Umno di Semenanjung tidak lagi sesuai, mereka juga perlu serius memikir cara terbaik untuk memastikan sokongan rakyat Sarawak serta Sabah terus bersama dengan Umno serta BN.

Kegagalan untuk berubah secara holistik ini, akan membawa kepada kesan buruk apabila sokongan rakyat kepada Umno akan terus merosot dan pelbagai persepsi negatif  terus dilemparkan kepada parti. – 1 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments