Opinion

‘Team Wawasan’ dan mencuci dosa politik di PRK Kajang

Ketika seluruh dunia masih ternanti-nanti khabar berita mengenai pesawat malang MH370, suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang bermula secara rasmi pada Rabu lalu, berlangsung dengan menyaksikan pertembungan “kuasa wanita” satu lawan satu antara PKR dan Barisan Nasional (BN).

Walaupun kemeriahan dan kegamatan kempen PRK Kajang yang akan tamat pada Sabtu depan, tidak semeriah seperti yang dijangka sebelum ini, tetapi pertembungan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun tetap diikuti seluruh rakyat Malaysia terutama sekali penganalisis dan pemerhati politik.

Percaturan BN untuk terus mengekalkan calon bangsa Cina untuk PRK Kajang walaupun, ramai yang menjangkakan bahawa calon daripada Umno lebih berupaya untuk memberi saingan kepada PKR membuktikan bahawa Umno dan BN masih terus mengekalkan semangat setiakawan antara parti berasaskan kaum di negara ini.

Kini, terpulang kepada pengundi N25 untuk membuktikan adakah mereka masih mengundi berasaskan kaum atau “sekatan” pemikiran berkenaan sudah diatasi dengan mengundi berasaskan parti tanpa memikirkan sama ada calon itu datang daripada kaum mereka atau tidak.

Dengan pecahan pengundi iaitu 48% Melayu, 42% Cina manakala baki terdiri daripada kaum India dan lain-lain kaum, sudah pasti undi daripada kaum Melayu dan Cina akan diburu PKR dan BN tanpa mengabaikan undi daripada kaum India dan lain-lain kaum.

Jadi sudah pasti pakar-pakar strategi daripada BN dan Pakatan akan mencuba pelbagai taktik serta megatur pelbagai strategi bagi menawan hati pengundi DUN Kajang walaupun, kemenangan sama ada untuk BN atau PKR tidak akan memberikan sebarang impak besar kepada kedudukan kerusi di DUN Selangor.

Jentera kempen BN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Umno yang juga timbalan perdana menteri manakala di pihak Pakatan pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua umum PKR memimpin jentera Pakatan.

Kehadiran “Mike Tyson” atau Tan Sri Muhammad Taib, bekas menteri besar Selangor yang kini, “melompat” menyertai PAS ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, menambah lagi kepelbagaian strategi PKR untuk menawan hati pengundi Melayu di DUN Kajang.

Secara tidak langsung, keghairahan kempen untuk PRK Kajang ini, mengimbau semula kenangan saya lebih dua dekad lalu iaitu sekitar 1993, apabila Team Wawasan dalam Umno wujud.

Mungkin ramai generasi muda sekarang tidak lagi mengetahui atau tidak ambil peduli mengenai sejarah Team Wawasan tetapi sebagai anak kepada allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat atau “Mat Bulat” yang ketika itu menteri penerangan dan setiausaha agung Umno, kehebatan dan kemampuan Team Wawasan ini, yang dikatakan sebagai pelapis kepada kepimpinan Umno dan negara pada era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya, menjadi tarikan kuat kepada generasi muda pada waktu itu, untuk menyertai Umno termasuk saya sendiri.

Saya ketika itu baru berusia 27 tahun dan cuba berjinak-jinak dengan politik Umno dan terus terang saya katakan bahawa keputusan untuk bertanding sebagai exco Pemuda Umno Malaysia pada 1996 adalah disebabkan pengaruh kuat gelombang Team Wawasan dalam Umno pada waktu itu.

Boleh saya katakan ketika itu Umno berada di puncak kegemilangannya, dengan Team Wawasan yang diterajui timbalan presiden Umno ketika itu, tidak lain tidak bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin 3 naib presidennya iaitu Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selain Tan Sri Rahim Tamby Chik sebagai ketua Pemuda Umno.

Barisan kepimpinan tertinggi Umno ketika itu, begitu “solid” dan kukuh dengan Anwar baru memenangi jawatan sebagai timbalan presiden Umno selepas Tun Ghaffar Baba meletakkan jawatan apabila digasak hebat Team Wawasan sekali gus mengakhiri “monopoli” pemimpin-pemimpin Umno yang datang daripada zaman pra kemerdekaan kecuali Tun Dr Mahathir.

Gelombang Team Wawasan ini, yang namanya diilhamkan daripada Wawasan 2020, ciptaan Tun Dr Mahathir sendiri amat besar, kuat serta berpengaruh dan ia membuatkan arwah Tok Mat begitu pening kepala.

Apa tidaknya, Tok Mat selaku setiausaha agung Umno ketika itu, terpaksa mengimbangkan pengaruh Team Wawasan yang dikepalai Anwar yang amat begitu bercita-cita besar untuk menggantikan Tun sebagai perdana menteri Malaysia keempat.

Disebabkan terhimpit seperti “kuih lapis” akibat pertembungan Dr Mahathir dengan Team Wawasan, Tok Mat akhirnya “tersingkir” sebagai setiausaha agung Umno pada 1996 tetapi terus mendapat kepercayaan memegang jawatan setiausaha BN sehingga 2004.

Dengan mendapat sokongan daripada ketiga-tiga naib presidennya, Anwar yang mendapat jawatan menteri kewangan daripada Dr Mahathir, mengatur langkah sehingga ketika itu, rakyat melihat Anwar adalah perdana menteri dan lupa terhadap Dr Mahathir…begitu hebat kuasa Team Wawasan.

Namun semua itu kini tinggal dalam lipatan sejarah sama ada dalam politik negara atau politik Umno sendiri, apabila Anwar dipenjarakan atas kesalahan kes liwat 1 tetapi banyak rahsia terpendam yang diceritakan arwah Tok Mat kepada saya mengenai Team Wawasan ini, dan saya tidak mahu mengulasnya di sini…mungkin saya akan ceritakan suatu hari nanti.

Kini di PRK Kajang, Team Wawasan berkumpul semula, tetapi senario serta kedudukan anggota-anggotanya juga sudah berubah, dua di pihak BN manakala dua di pihak pembangkang.

Datuk Seri Najib kini, menjadi pemimpin nombor satu dalam Umno dan BN dibantu dengan Muhyiddin dalam “berperang dan menggempur” Anwar serta Muhammad Taib bukan sahaja di Kajang malah dalam arena politik negara.

Dan “musuh” nombor satu Anwar iaitu Dr Mahathir yang merasai himpitan Anwar ketika menerajui Team Wawasan berterusan mengingatkan rakyat betapa “bahaya” yang mereka akan hadapi jika Anwar diangkat sebagai pemimpin nombor satu negara.

Saya percaya Dr Mahathir kini, memerhatikan ahli-ahli Team Wawasan berkumpul semula serta beraksi di PRK Kajang, dan mungkin turut menimbulkan semula kenangan terhadap kesangsiannya yang “mungkin” pernah wujud dalam diri beliau mengenai kesetiaan mereka kepadanya ketika menjawat jawatan perdana menteri dan presiden Umno.

Bagi Anwar dan Muhammad Taib, mereka yang suatu ketika dulu memakai uniform Umno dan kerajaan BN kini, tanpa segan silu membelasah bekas parti mereka  seakan sudah lupa atau hilang ingatan bahawa Umnolah yang menjadikan mereka pemimpin negara yang disegani.

“Dosa-dosa” yang rakyat tahu mereka lakukan suatu ketika dulu dan pernah menjadi intipati dalam ceramah PAS dan DAP melalui laungan Mat Sabu, Lim Kit Siang, Hadi Awang atau Karpal Singh kepada rakyat seakan terpadam atau terhapus terus…begitu mudah menghapus “dosa politik” di Malaysia ini,

Sebab itu, dalam analogi politik Malaysia, “padang politik mudah berubah tetapi pemain-pemain utamanya tetap sama”.  Anwar yang berkempen untuk isterinya dalam PRK Kajang, kini mempunyai jeneral perang beliau yang lama dalam Umno iaitu Muhammad Taib.

Saya dimaklumkan ada program khas PKR dalam PRK Kajang, di mana Anwar dan Muhammad Taib berkongsi pentas sama membelasah, memburuk dan mencaci Umno serta BN.

Bagi mereka, semua yang buruk, teruk berlaku di Malaysia pada waktu ini, adalah salah Umno dan BN sedangkan hakikatnya, mereka sendiri pernah berada dalam Umno tetapi tidak pernah keluar daripada parti atas sebab mendakwa Umno sebuah parti yang korup serta mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Sebaliknya, mereka “keluar” atau lebih tepat lagi dipecat daripada Umno disebabkan kesalahan peribadi masing-masing ketika berada di puncak kuasa selepas membolot segala-galanya daripada daripada Umno dan BN.

Tetapi apabila sudah keluar daripada Umno dan BN, semua dimaki dan dihamun..begitu mudah mencuci “dosa politik” dengan hanya melompat menyertai pembangkang. – 17 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments