Opinion

Sikap ‘political won’t’ penyebab inisiatif baru ekonomi Malaysia gagal

Usaha kerajaan dalam mempelbagaikan sektor ekonomi negara bagi mengelakkan kebergantungan terhadap hasil “emas hitam” iaitu petroleum bermula sejak zaman pemerintahan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjurus kepada industri berat dengan penubuhan Hicom.

Ia kemudian diteruskan pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memperkenalkan satu usaha inovatif apabila membahagikan Malaysia mengikut koridor pertumbuhan ekonomi utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak.

Dari itu lahirlah, Wilayah Ekonomi Johor Selatan yang kemudian dikenali sebagai Iskandar Malaysia, Koridor Ekonomi Pantai Timur, Koridor Pembangunan Ekonomi Utara yang semuanya ditubuhkan pada 2007 dan setahun kemudian lahir pula Koridor Pembangunan Sabah (SDC) serta Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE).

Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah juga dilihat begitu mengambil berat mengenai industri pertanian pada zaman pemerintahannya sebagai salah satu usaha mengalihkan tumpuan ekonomi negara daripada dasar industri berat yang menjadi teras pemerintahan Dr Mahathir.

Idea penubuhan koridor pembangunan ekonomi mengikut wilayah ini, bertujuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diseimbangkan ke semua negeri dan tidak lagi hanya tertumpu di Lembah Klang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula datang dengan cara sendiri apabila memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dengan memberikan lebih tumpuan diberikan kepada Iskandar Malaysia dan Lembah Klang.

Kerajaan menyedari Lembah Klang perlu terus kekal sebagai daerah kewangan dan pelaburan negara serta bagi mengekalkan ia mampu terus menjadi sebuah pusat bandar raya yang kompetitif, satu inisiatif diperkenalkan dikenali sebagai “Greater KL” di bawah Program Transformasi Ekonomi (NKEA).

Bagi merealisasikan inisiatif Greater KL yang bertujuan untuk terus menarik syarikat multinasional (MNC) melabur dan membuka pusat operasi perniagaan mereka di Lembah Klang sebagai satu hab perniagaan global dan destinasi pelaburan, sebuah agensi ditubuhkan dikenali sebagai InvestKL.

Mungkin ramai tidak mengetahui InvestKL adalah agensi kerajaan yang melapur kepada tiga kementerian sekali gus iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar serta Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.

InvestKL yang kini sudah berusia 4 tahun sejak mula ditubuhkan pada Jun 2011, sudah menarik sejumlah 32 MNC melabur di Greater KL dengan pada tahun 2013, ia menarik 15 MNC sekali gus menjadikan jumlah pelaburan bernilai kira-kira RM2 bilion.

Dengan meletakkan sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya 100 MNC melabur dan membuka pusat operasi perniagaan mereka di Greater KL menjelang 2020, InvestKL juga meletakkan sasaran untuk menyumbang RM40 bilion untuk Pendapatan Kasar Negara (GNI) serta membuka sekurang-kurangnya 200,000 peluang pekerajaan.

Tidak dinafikan InvestKL yang diterajui mereka yang benar-benar profesional dalam bidang masing-masing, dan saya sendiri mengenali secara peribadi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Amanshah yang begitu komited menjadi agensi ini benar-benar berjaya merealisasikan sasaran yang diletakkan kerajaan.

Siapa yang dapat menafikan bahawa Kuala Lumpur khususnya, masih ketinggalan dengan Singapura yang jauh ke hadapan dalam menarik syarikat MNC melabur dan ia amat berkait rapat dengan dasar yang diletakkan kerajaan dan sebenarnya kelebihan hanya disebabkan kos hartanah yang rendah.

Kuala Lumpur juga tidak mempunyai infrastruktur yang maju, kemudahan pendidikan terbaik serta k-ekonomi berbanding Singapura menyebabkan ia masih terus gagal bersaing dengan negara jiran itu.

Ketika pimpinan negara terus melaungkan betapa dasar keterbukaan ekonomi serta kestabilan politik menjadi kunci utama terhadap kejayaan menarik pelaburan langsung asing (FDI), ia hanya mungkin terjadi dengan kemahuan politik (political will) yang kuat.

Sudah pasti kejayaan inisiatif yang digariskan kerajaan melalui pelan yang dirangka Pemandu dengan bantuan konsultan asing seperti GTP, Pelan Transformasi Kerajaan serta projek dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) memerlukan sokongan ampuh daripada kira-kira 1.6 juta kakitangan awam.

Kepincangan daripada segi penggunaan teknologi maklumat (IT) yang mengurangkan campur tangan manusia masih menjadi limitasi kerana kelulusan walaupun berada pada tahap mudah dirosakkan akibat lambat dengan campur tangan manusia.

Sudah pasti agensi seperti InvestKL ini, tidak mampu bertindak sendirian dalam menarik pelaburan syarikat MNC ke Greater KL dan sokongan daripada sektor perkhidmatan awam terlalu penting bagi memastikan syarikat MNC benar-benar selesa bukan sahaja daripada segi iklim ekonomi malahan sosial dan politik negara.

Selain itu, jika dasar yang hendak dilaksanakan itu bagus tetapi masih banyak kekurangan di peringkat pelaksanaan kerana sepatutnya permohonan kelulusan Imigresen perlu dilakukan dalam tempoh yang singkat seperti di Singapura yang hanya memerlukan tidak sampai 3 hari untuk mendapatkan kelulusan berkaitan dengan Imigresen.

Di sinilah letaknya peranan yang cukup besar kepada kerajaan dalam memastikan pelaksanaan serta dasar dan inisiatif yang digariskan benar-benar mencapai matlamatnya bukan sahaja di atas kertas tetapi lebih penting untuk keseluruhan rakyat jelata merasai nikmat hasil pelaburan wang mereka yang dikutip melalui cukai yang dibayar.

Tidak ada guna jika pimpinan kerajaan terus melaungkan kejayaan hanya bersandarkan kepada angka-angka selain perangkaan yang komestik di atas kertas semata-mata sedangkan ia gagal diterjemahkan terhadap pertambahan pekerjaan dan kenaikan gaji yang diterima rakyat.

Malah, bukan satu rahsia lagi bahawa siswazah lepasan institut pengajian tinggi negara ini tidak mempunyai kemahiran dan kelulusan yang sesuai diperlukan syarikat MNC terutama sekali membabitkan pengurusan tinggi.

Bagi rakyat jika insiatif kerajaan benar-benar seperti “flying colours” seperti yang dilaungkan kerajaan dengan pertambahan pelaburan asing seperti yang dilakukan InvestKL, mengapa pergerakan gaji diterima begitu perlahan tidak seperti yang dikecapi pekerja di negara jiran seperti Singapura.

Seharusnya, kayu pengukur yang perlu digunakan bagi mengukur kejayaan dasar serta inisiatif kerajaan adalah melalui apa yang dinikmati oleh rakyat dan bukannya melalui peluang baru yang diwujudkan seperti ketika dalam pengumuman kad laporan GTP dan ETP baru-baru ini.

Sebagai contoh, kerajaan seharusnya menunjukkan berapa jumlah sebenar syarikat MNC yang membuka pusat operasi perniagaan terutama sekali dalam Greater KL sebagai ukuran terbaik pelaburan masuk asing ke negara ini.

Pada masa sama, karenah birokrasi sektor perkhidmatan awam sering kali dikatakan menjadi “red tape” paling utama yang boleh menyumbang kepada kegagalan inisiatif baru kerajaan seperti InvestKL ini.

Dalam usaha menarik syarikat MNC beroperasi di negara ini, sudah pasti ia memerlukan kemudahan kelulusan Imigresen yang mudah serta tidak mempunyai banyak karenah birokrasi dalam memastikan pegawai dagang asing yang berkemahiran serta memacu pertumbuhan syarikat MNC di negara ini.

Tahap keselesaan pegawai dagang asing berada di negara ini, sering kali dijadikan petunjuk oleh banyak syarikat MNC untuk melabur di sesebuah negara kerana bagi mereka ia amat penting dalam mewujudkan persekitaran selesa bukan sahaja di tempat kerja malahan untuk keluarga serta sosial mereka.

Justeru di sinilah, apa yang saya katakan mengenai kemahuan politik yang kuat daripada pimpinan kerajaan bukan sahaja dalam memastikan sektor perkhidmatan awam benar-benar seiring dengan kerajaan tetapi juga mengelak untuk tunduk daripada desakan kumpulan masyarakat berhaluan kanan dengan menjadikan alasan agama serta kaum untuk tidak membenarkan proses liberalisasi ekonomi berlaku.

Rakyat Malaysia seharusnya sedar liberalisasi ekonomi negara bukan sahaja membabitkan inisiatif baru ekonomi seperti InvestKL tetapi juga mesti merangkumi sosial masyarakat bagi memperlihatkan betapa negara ini mengamalkan kesederhanaan yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan yang dicapai.

Namun iklim sosial negara terutama sekali di kawasan Greater KL mula berubah dengan kewujudan kumpulan masyarakat yang berhaluan kanan dengan menjadikan agama sebagai alasan untuk menyekat kesederhanaan sehingga menimbulkan imej negatif terhadap kaum majoriti di negara ini.

Kegagalan pimpinan kerajaan menunjukkan kemahuan politik yang kuat sehingga boleh dilabelkan tidak mempunyai kemahuan politik menyebabkan timbul kesangsian terhadap inisiatif dan dasar baru ekonomi yang diperkenalkan benar-benar akan memberikan hasil seperti diharapkan.

Majoriti rakyat sebenarnya, mahu melihat kemahuan politik daripada pimpinan kerajaan bukan sikap tidak mempunyai kemahuan politik dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta pentadbiran kerajaan yang benar-benar boleh berdaya saing dalam arus globalisasi ekonomi dunia.

Jika sikap berdiam diri sehingga dilabelkan tidak mempunyai kemahuan politik terus dijadikan sebagai senjata bagi memperlihatkan sifat kesederhanaan, ia sebenarnya tidak akan mampu menjadikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Sebaliknya, kerajaan akan terus dilihat ‘syok sendiri’ dengan pendedahan angka serta statistik menarik di atas kertas tetapi di peringkat akar umbi rakyat, ia terus diperlekehkan disebabkan hasilnya tidak dinikmati segenap lapisan rakyat.

Saya faham mengapa “political won’t” berlaku dalam pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) disebabkan takut kehilangan undi kakitangan awam yang besar selepas hanya menerima undi popular 47% pada PRU13 dan ia menggambarkan perkhidmatan awam tidak lagi bersama kerajaan.

Walaupun kerajaan BN menjaga kepentingan mereka dengan tidak mengambil tindakan menyusun semula pentadbiran awam dengan mengurangkan campur tangan manusia yang pasti menyaksikan jumlah kakitangan awam dikurangkan bagi menjayakan GTP, ETP dan InvestKL.

Atas sebab itu, inisiatif seperti InvestKL ini memerlukan kemahuan politik yang kuat daripada kerajaan bukan sikap tidak mempunyai kemahuan politik bagi memastikan ia benar-benar mencapai sasaran menjelang 2020 yang tinggal hanya 5 tahun lagi. – 4 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments