Opinion

Setahun berlalu: Adakah strategi BN, Umno masih relevan (Siri 1)

“Zaman di mana kerajaan sudah mengetahui segalanya sudah berakhir dan kita perlu mendengar apa yang dimahukan rakyat”, itu adalah antara ungkapan yang sering kita dengar daripada pimpinan tertinggi negara sejak kebelakangan ini.

Namun, adakah ungkapan itu benar-benar dipraktikkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah menyambut ulang tahun pertama pemerintahan selepas berjaya membentuk kerajaan apabila menang 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pada 5 Mei 2013.

Mahu tidak mahu, kerajaan BN perlu mengakui usaha untuk melaksanakan segala janji atau dasar yang dapat menggembirakan rakyat amat jauh dan ketidaksungguhan itu, sebenarnya akan menjadi kelebihan kepada pembangkang yang berterusan mengimpikan untuk menerajui Putrajaya pada PRU 14 nanti.

Kenaikan kos sara hidup yang tinggi, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta tanggapan kerajaan BN tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah adalah antara isu yang terus menghantui pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun, selepas setahun PRU13, pakatan pembangkang kini, berada dalam ambang perpecahan apabila PAS mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kerajaan BN tidak boleh memeluk tubuh dan tersenyum yakin 'musuh' mereka akan tumpas menjelang PRU 14.

'Musuh' sebenar kerajaan BN ketika ini, adalah rakyat terutama sekali golongan pertengahan yang tinggal di kawasan bandar serta pinggir bandar dan akan membentuk komposisi pengundi paling besar dalam PRU14 nanti.

BN dan Umno perlu segera melihat kepada apa yang berlaku di negara jiran di utara tanah air ketika ini, di mana kerajaan yang dipilih rakyat hancur sama sekali disebabkan campur  tangan daripada golongan yang tidak terbabit secara langsung dalam pilihan raya.

Semangat demokrasi di Thailand hilang, apabila kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi pilihan raya akibat campur tangan daripada NGO, tentera, kakitangan kerajaan dan mahkamah mengakibatkan negara berkenaan terus berada dalam ketidakstabilan.

Senario inilah yang perlu ditakuti BN dan Umno kerana strategi ini sedang dan akan diterapkan golongan tertentu bagi membangkitkan rasa ketidakpuashatian majoriti rakyat terutama sekali di kawasan bandar serta pinggir bandar kepada kerajaan.

Dan ia sudah dibuktikan dalam PRU13 lalu, apabila BN terutama sekali Umno terus gagal menawan hati pengundi kawasan bandar serta pinggir bandar yang dilihat semakin menjauhi parti dan ia bukan hanya terjadi di Kuala Lumpur tetapi di semua bandar besar termasuk Sabah dan Sarawak.

Umno sebagai tulang belakang kepada BN perlu segera sedar strateginya untuk terus mempertahankan kerusi luar bandar akan terjejas berikutan proses migrasi ini, dengan perubahan daripada segi demografi orang Melayu dari luar bandar ke pinggir bandar dan bandar.

Ketika ini, kira-kira 60% rakyat Malaysia mendiami di kawasan pinggir bandar serta bandar dan ramai pemerhati melihat kurangnya penekanan strategi Umno untuk menawan golongan Melayu pertengahan yang tinggal di kawasan ini.

Timbul persoalan apa yang golongan Melayu pertengahan mahukan daripada Umno dan kerajaan BN memandangkan mereka mempunyai kemudahan awam seperti jalan raya, elektrik dan air yang baik, tidak seperti saudara mara mereka yang tinggal di luar bandar.

Sebenarnya, apa yang menghimpit mereka adalah kos sara hidup yang tinggi disebabkan kenaikan harga barangan, sistem pengangkutan awam tidak efisien, kesesakan lalu lintas yang teruk, harga rumah  melambung selain kadar gaji yang tidak selari dengan kenaikan sara hidup.

Mereka juga mahu sebuah kerajaan dan pemimpin politik yang tidak mengamalkan rasuah selain kerajaan yang cekap serta tidak melakukan pembaziran dalam melaksanakan segala dasar yang dirancang.

Mengambil iktibar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, BN terutama sekali Umno terus gagal untuk mencipta kemenangan di kawasan majoriti Melayu sekaligus memberikan 'isyarat' jelas terhadap penolakan orang Melayu terhadap parti.

Persoalan yang perlu Umno dan Najib segera hadapi adalah mengapa 48% orang Melayu tidak mengundi untuk BN yang tulang belakangnya adalah Umno dengan pengerusi BN di peringkat bahagian juga adalah ketua Umno bahagian.

Struktur BN itu sendiri sama ada di peringkat cawangan dan bahagian, ia akan diketuai oleh ketua Umno cawangan serta ketua Umno bahagian yang terdiri daripada orang Melayu, jadi mengapa orang Melayu tidak memilih calon BN walaupun, dia daripada kaum Cina atau India.

Mengambil contoh dalam kawasan saya di Parlimen Pulai, terdapat kira-kira 25,000 ahli Umno dalam Parlimen ini, tetapi jumlah pengundi Melayu lebih 48,000 dan ia menunjukkan tidak semua orang Melayu yang menjadi ahli Umno.

Baki orang Melayu yang tidak menjadi ahli Umno inilah yang begitu kritikal kepada parti dan sebagai pengundi 'atas pagar', mereka sememangnya mempunyai pendirian dan tidak melahirkan sokongan terbuka kepada mana-mana parti.

Apa yang mereka mahukan adalah parti serta wakil rakyat yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan mereka terutama sekali dalam bidang ekonomi, pendidikan serta sosial.

Saya pernah dihujani persoalan daripada orang Melayu kelas pertengahan di kawasan ini, yang menyatakan apakah keistimewaan mereka bergelar Melayu berbanding dengan kaum lain.

Bagi mereka, semua yang diperoleh sama seperti kaum lain. Sebagai contoh, mereka membayar harga minyak yang sama, harga barangan keperluan yang sama, harga rumah yang sama begitu juga dengan dalam soal pendidikan.

Atas sebab itu, golongan Melayu ini, merasakan BN khususnya Umno tidak mampu untuk memperjuangkan nasib mereka kerana selain tidak merasai sebarang keistimewaan bergelar Melayu yang tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Mereka juga turut terpengaruh dengan persepsi negatif terhadap kerajaan BN isu rasuah, penyelewengan kuasa serta ketirisan terus berlaku.

Saya melihat kesungguhan Umno dalam menembusi koloni masyarakat Melayu di kawasan pinggir bandar ini, amat kurang.  Tiada strategi khusus yang digunakan bagi membela dan memperjuangkan mereka.  Jika ada ia hanya terhad kepada dasar-dasar kerajaan yang turut meliputi semua kaum.

Malah senario berkenaan bukan sahaja terhad kepada golongan pertengahan Melayu tetapi juga turut membabitkan kaum lain, kerana mereka mahu sebuah kerajaan dan pemimpin politiknya yang sentiasa mendengar denyut nadi permasalahan dan tidak bercakap retorik dalam membela nasib mereka.

Secara peribadi, saya juga tidak bersetuju jika Umno terus dilihat terlalu berhaluan kanan sehingga mengabaikan pembelaan kepada kaum-kaum lain. Sedangkan daripada segi sejarah, sejak 57 tahun kemerdekaan negara, Umno terus dapat memastikan keseimbangan kaum di Malaysia terpelihara.

Sebenarnya, BN terutama sekali Umno perlu serius melihat kepada pembelaan masyarakat golongan pertengahan di kawasan pinggir bandar tidak kira sama ada mereka adalah Melayu, Cina atau India. Itu yang seharus dan sepatutnya dilakukan pemimpin BN di semua peringkat.

Siapa yang melihat permasalahan golongan ini, daripada segi keselamatan, ekonomi dan pendidikan?

BN perlu membuat kajian terperinci dalam hal ini, dan menghebahkannya kepada umum bukan atas jentera kerajaan tetapi atas jentera parti itu sendiri. 

Kita tidak boleh terus dibuai 'mimpi' kemenangan PRU13, memandangkan pertambahan pengundi untuk kawasan bandar serta pinggir bandar akan terus meningkat, dan padah pasti menimpa jika BN dan Umno dilihat gagal memperjuangkan nasib golongan ini, yang tidak lagi terpengaruh dengan janji pembangunan serta sejarah yang dilakar Umno untuk Malaysia 58 tahun yang lalu.

Apa yang penting bagi mereka adalah 'perut perlu diisi' dan poket sentiasa perlu berisi untuk terus berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang pasti tidak akan dapat diatasi walaupun bertukar kerajaan.

Ketika ini, kepimpinan perdana menteri amat diperlukan dan dalam PRU13, aura Najib yang dipertaruhkan parti untuk memenangi semula hati rakyat, namun strategi itu jelas gagal.

Reformasi ekonomi, pentadbiran serta politik yang cuba dibawa perdana menteri kelima ini, antaranya melalui pengenalan ETP, GTP dan 1Malaysia pada mulanya diyakini 'para penasihatnya' akan dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada BN dan Umno.

Namun selepas lima tahun menerajui kerajaan dan setahun mendapat mandat terus daripada rakyat dalam PRU13, jurang pemahaman serta penerimaan rakyat semakin meluas sekali gus menunjukkan ia bukan apa yang sebenarnya dimahukan mereka.

Kritikan-kritikan ketara terhadap pentadbiran beliau sebenarnya, boleh dijadikan sebagai perkara positif dalam memenangi semula hati rakyat tetapi kegagalan dalam melihat apa yang tersirat terhadap kritikan itu, menjadikan banyak persepsi timbul kerajaan hanya 'syok sendiri'.

Sebenarnya, masih belum terlewat untuk menambat semula hati rakyat terutama sekali di kalangan masyarakat bandar serta pinggir bandar, tetapi usaha ke arah itu, dilihat amat perlahan.

Apa yang dilihat pada masa kini, BN dan Umno mahu mengharapkan kemenangan daripada perpecahan pakatan pembangkang terutama sekali dalam menarik semula sokongan orang Melayu terhadap parti.

Jika itu yang berlaku dan diharapkan, ternyata ia adalah satu strategi yang amat salah dan penolakan terhadap BN dan Umno akan terus dirasai pada PRU14 akan datang. – 8 Mei, 2014.

* Artikel ini diambil daripada blog nurjazlan.net.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments