Opinion

Prestasi ekonomi negara taruhan terbesar BN pertahan Putrajaya

Sudah begitu jelas kesan kejatuhan harga minyak dunia dan kemerosotan nilai ringgit terhadap ekonomi negara sehingga menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah penstrukturan semula Bajet 2015 Selasa lalu selepas Parlimen meluluskannya November lalu.

Begitu jelas dan ketara sekali betapa penasihat serta pakar ekonomi Putrajaya tidak boleh menunggu lagi mengharapkan harga minyak dunia meningkat semula selepas ia jatuh lebih 50% setong berbanding unjuran Bajet 2015 menganggarkan minyak dunia berada pada harga AS$100 setong.

Kini, pakar ekonomi seantero dunia meramalkan harga minyak dunia akan berada pada paras AS$50 hingga AS$60 dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi berikutan usaha Opec menghentikan pengeluaran minyak 'shale' di Amerika Syarikat.

Pada masa sama, pakar dan penasihat ekonomi Putrajaya yang mengelilingi Najib juga seharusnya sedar mengenai peristiwa 'Swiss Franc' apabila bank pusat Switzerland menamatkan langkah menambat mata wang negara berkenaan ke dolar AS dalam usaha  menghentikan nilai mata wang negara berkenaan daripada terus meningkat.

Ia membuktikan usaha bank pusat Switzerland menghentikan kenaikan mata wangnya yang menjejaskan eksport negara gagal dalam usaha mengelakkan permintaan pelabur asing kepada Swiss Franc sebagai salah satu mata wang 'reserve' utama dunia.

Peristiwa itu mirip keadaan di Malaysia pada 1994 apabila Bank Negara mengenakan kadar faedah negatif dalam istilah perakaunan dikenali sebagai 'vostro account' iaitu memberikan kadar faedah negatif kepada pembelian ringgit ketika arwah ayahanda mentua saya, Tan Sri Jaffar Hussin menjadi gabenor Bank Negara.

Langkah itu diambil bagi menghentikan permintaan kepada mata wang ringgit apabila pelabur berpusu-pusu masuk dan menaikkan pasaran saham Kuala Lumpur ketika itu dengan kadar yang berlebihan.

Saya juga tidak hairan mata wang 'reserve' utama dunia dolar AS selepas ini, meningkat lebih tinggi apabila pelabur mencari tempat selamat untuk pelaburan mereka ia sekali gus menyebabkan nilai ringgit terus merosot berbanding dolar AS dan memberikan impak besar kepada imbangan pembayaran dalam akaun semasa.

Impak negatif ini akan menyebabkan ringgit terus jatuh dengan kadar berlebihan yang tidak sama sekali menggambarkan keadaan asas ekonomi Malaysia kukuh seperti ditegaskan Najib selaku menteri kewangan, Selasa lalu.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa mempertahankan ringgit supaya tidak menjejaskan 'balace of payment' dan campur tangan Bank Negara dalam mengukuhkan nilai ringgit di pasaran dunia boleh mengakibatkan 'reserve' yang dikumpulkan bank pusat itu selama 16 tahun habis dalam tempoh masa singkat.

Memang benar, ekonomi adalah berkaitan dengan keseimbangan dan keadaan seimbang ini akan kembali suatu hari nanti namun perlu diingatkan kepada Putrajaya, kejutan ekonomi beginilah yang menyebabkan banyak kerajaan tersilap langkah dalam unjuran ekonomi serta bajet.

Dan nampaknya, selepas kegagalan pelan penggabungan bank mega diterajui CIMB yang disokong Najib minggu lalu berpunca daripada ekonomi dunia yang tidak mengizinkan, Putrajaya akhirnya juga terpaksa tunduk kepada desakan ekonomi untuk menstrukturkan semula Bajet 2015.

Sesuatu yang jelas berbeza dapat diperhatikan dengan dua pengumuman besar ini yang tidak sampai selang seminggu ialah ukuran tahap keyakinan pasaran saham yang sebenarnya boleh digunakan sebagai kayu pengukur terbaik respons rakyat serta dunia terhadap ekonomi Malaysia.

Ketika saham CIMB dan RHB mendadak naik selepas pengumuman kegagalan pelan penggabungan bank mega itu seakan membuktikan pasaran saham menyambut baik pembatalan pelan berkenaan.

Tetapi senario jelas berbeza disaksikan di Bursa Malaysia tidak menyaksikan kenaikan mendadak pada sebelah petangnya walaupun selepas Najib mengumumkan langkah penstrukturan semula Bajet 2015 selain nilai ringgit terus menyusut.

Inilah tanda dan isyarat paling jelas yang perlu dikaji Putrajaya dan seharusnya menjadi satu bentuk kebimbangan kepada penasihat serta pakar ekonomi Najib selain perlu menjadi topik perbincangan utama ketika berada di bandar peranginan ski di Davos, Switzerland bagi menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Walaupun penstrukturan Bajet 2015 tidak membabitkan pemotongan perbelanjaan pembangunan yang berjumlah kira-kira RM48.5 bilion dengan janji Najib untuk meneruskan projek infrastruktur mega seperti MRT, HSR dan LRT, pemain saham nampaknya seperti masih tidak yakin dengan keadaan ekonomi Malaysia. Kekurangan pendapatan kerajaan akibat penurunan harga minyak yang menyumbang kira-kira 30 peratus daripada hasil keseluruhan kerajaan terus menghantui ekonomi Malaysia yang sebenarnya amat bergantung kepada peningkatan harga minyak.

Harga minyak yang dijangka berada dalam paras AS$50 hingga AS$60 setong dalam tempoh lima tahun akan datang boleh menyebabkan kerajaan terpaksa terus memotong perbelanjaan kerajaan.

Ramai sedar ekonomi Malaysia sebenarnya amat bergantung kepada keupayaan kerajaan untuk terus berbelanja bagi projek infrastruktur bagi menggerakkan permintaan domestik dan sebab itu, saya memahami mengapa Najib dan Putrajaya membuat keputusan untuk tidak membatalkan projek pembangunan mega kerana ia jelas boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara kepada 0.5 hingga 1% daripada unjuran KDNK baru sebanyak 4.5%.

Tetapi sampai bila kerajaan harus terus berbelanja besar bagi menggerakkan enjin ekonomi negara sedangkan pada masa sama harga bahan komoditi seperti petroleum, gas asli, minyak sawit dan getah terus tidak stabil dan berada pada paras rendah.

Sebenarnya, dalam keghairahan kerajaan melaksanakan projek infrastruktur baru tetapi pada waktu sama kemudahan yang dibina pada waktu lepas diabaikan daripada segi penyenggaraan seperti kuarters guru, perumahan rakyat, dan kemudahan awam lain seperti jalan raya, lebuh raya serta sistem tebatan banjir yang memerlukan perbelanjaan besar untuk menyelenggarakannya.

Apa yang boleh dilakukan kerajaan adalah untuk terus meminjam dan dengan hutang negara yang dianggarkan melebihi RM500 bilion ketika ini, dasar untuk terus meminjam akan menjerumuskan negara ke arah keadaan ekonomi lebih kritikal.

Selain itu, jumlah bon kerajaan yang dipegang pelabur asing yang dianggarkan melebihi RM40 bilion juga sesuatu yang tidak sihat untuk ekonomi negara memandangkan jika keadaan ekonomi dunia terus merosot dikhuatiri akan berlaku pengeluaran modal secara besar-besaran keluar negara sekali gus mengundang kepada bahaya apabila ekonomi negara boleh mengalami kegawatan.

Seperti yang dikatakan Najib dalam ucapannya Selasa lalu ekonomi negara tidak berada dalam keadaan gawat seperti krisis 1997 dan 1998 atau 2009 hingga menyebabkan kerajaan melaksanakan pakej rangsangan tetapi senario kini amat jelas berbeza jika dibandingkan dengan sebelumnya.

Penjimatan daripada penstrukturan bajet 2015 berjumlah kira-kira 5 bilion itu sememangnya adalah langkah jangka masa pendek atau boleh dikatakan reaksi 'knee jerk' tanpa ada satu konklusi yang konkrit bagi membawa ekonomi Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Kepelbagaian ekonomi negara dikatakan sebagai penyelamat ketika ini kerana Malaysia tidak bergantung sepenuhnya pada hasil minyak dan antara sektor yang dilihat terus kukuh memberikan sumbangan kepada kerajaan ialah perindustrian, pembuatan dan perkhidmatan.

Perlu diingatkan sektor perindustrian dan pembuatan negara sebenarnya tidak lagi rancak seperti pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar 1990-an yang banyak dipacu industri elektrik dan elektronik.

Kita sendiri dapat lihat betapa banyak kilang multinasional dalam industri elektrik dan elektronik mengalihkan operasi mereka ke negara yang mempunyai harga buruh lebih murah seperti Vietnam, Indonesia malah ke China.

Kerajaan sebenarnya menyedari mengenai perkara ini dan atas sebab itu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge based economy) digerakkan pada awal abad ke-21.

Ketika itu kita dengar mengenai inisiatif Koridor Super Multimedia, Lembah Bio (BioValley) dan pelbagai lagi diwujudkan pada awal 2000 tetapi selepas 15 tahun semua inisiatif yang dikenali sebagai industri kreatif ini terus gagal menjadi penyumbang utama hasil kepada kerajaan.

Ia diburukkan lagi apabila hanya segelintir rakyat yang terbabit dalam industri kreatif ini dan walaupun negara bermula awal, Malaysia terus ketinggalan berbanding Singapura, India serta Korea Selatan dan matlamat mahu menjadikan Malaysia sebagai negara berasaskan pengetahuan terus menjadi satu impian menjelang 2020 yang tinggal hanya lima tahun lagi.

Sebaliknya kerajaan zaman pimpinan Najib terus terpaksa bergantung kepada sektor komoditi, perindustrian, pembuatan serta perkhidmatan seperti yang dimulakan perdana menteri keempat, Dr Mahathir.

Lebih malang, ekonomi negara terus dipacu kerajaan yang perlu terus berbelanja untuk projek infrastruktur mega dan menyebabkan Malaysia begitu terdedah serta terkesan apabila berlaku penurunan harga komoditi seperti dihadapi sekarang.

Memang benar kerajaan boleh meminjam daripada pasaran domestik untuk membiayai perbelanjaannya kerana siling hutang ditetapkan pada kadar 55% daripada KDNK tetapi ia boleh menimbulkan masalah politik baru pada Putrajaya untuk menaikkan siling hutang negara.

Putrajaya kini perlu berterusan meyakinkan rakyat ekonomi negara tidak gawat atau merudum dan kejatuhan harga minyak sebenarnya berita gembira kepada negara.

Namun hakikatnya, rakyat tidak merasai kejatuhan harga minyak itu memberikan manfaat kepada mereka secara keseluruhan kecuali membayar harga petrol lebih murah di pam sedangkan harga barangan dan kos sara hidup terus meningkat.

Pengumuman Najib untuk menggalakkan rakyat berbelanja melalui kempen beli-belah bagi meningkatkan permintaan domestik sebenarnya, tidak akan dapat mencapai matlamat memandangkan rakyat semakin berhati-hati dalam berbelanja.

Golongan kelas menengah kini tidak lagi mahu berbelanja besar dalam kempen beli-belah seperti dimahukan kerajaan memandangkan takut terhadap impak akibat pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April ini.

Sudah pasti kejatuhan ringgit akan meningkatkan harga barangan import dan ia bukan hanya terhad kepada barangan pengguna seperti kenderaan tetapi juga meliputi barangan asas makanan memandangkan Malaysia bukan sebuah negara pengeluar makanan utama.

Kita masih terus bergantung kepada import bahan makanan seperti beras, bawang dan pelbagai lagi bahan asas makanan kerana pengeluaran bahan ini di dalam negara tidak mencukupi bagi menampung permintaan.

Bagi rakyat apa yang dihadapi mereka dan lalui dalam kehidupan seharian dengan berdepan kos sara hidup dan harga barangan tinggi inilah yang akan diingati setiap hari serta lama kelamaan meletakkan kesalahan itu pada Putrajaya.

Lebih teruk jika mereka merasakan kerajaan BN gagal menguruskan ekonomi dengan baik sehingga memberikan kesan negatif sebelum beban itu dipindahkan kepada rakyat sedangkan ada pemimpin politik serta kerajaan dilihat terus hidup dengan kemewahan.

Ketika itu segala angka, statistik serta unjuran yang digunakan Putrajaya bagi meyakinkan rakyat mengenai keadaan ekonomi negara masih stabil dan tidak gawat, tidak akan diambil peduli.

Padahnya, rakyat akan memberikan respons negatif kepada BN dalam PRU14 nanti seperti yang dilihat dalam pasaran saham pada sebelah petang seperti tiada kegembiraan selepas pengumuman Najib ketika penstrukturan semula Bajet 2015.  – 23 Januari, 2014.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments