Opinion

Penstrukturan semula Bursa Malaysia dan SC kritikal bagi menarik FDI

Tidak dapat dinafikan ketika ini rakyat Malaysia semakin keliru dengan pelbagai angka dan statistik yang dipamerkan pihak kerajaan dan pembangkang, sama ada ekonomi negara berada dalam keadaan yang benar-benar stabil atau tidak.

Kekeliruan itu jelas berlaku dengan pelbagai pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa memberikan pelbagai pendapat di tengah-tengah kejatuhan mata wang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat serta penurunan berterusan harga minyak dunia.

Di pihak kerajaan pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan barisan menteri Kabinet berterusan memberi jaminan ekonomi negara diramal terus kukuh dan mampan di sebalik kejatuhan mata wang ringgit dan harga minyak dunia.

Saya mengalu-alukan tindakan Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sudah menjalankan kajian menyeluruh terhadap kejatuhan mata wang ringgit.

Pelbagai unjuran, perangkaan dan ramalan dibuat termasuk menggunakan indeks komposit Bursa Malaysia untuk menunjukkan ekonomi negara terus berdaya saing serta pelabur asing berterusan melabur di negara ini.

Pada zaman sebelum globalisasi, pakar ekonomi boleh meramalkan jatuh naik ekonomi dengan mudah, tetapi dengan zaman globalisasi sekarang mereka sukar meramalkan nasib ekonomi kerana ekonomi sesebuah negara mudah dipengaruhi ‘kejutan’ di negara, benua atau pasaran komoditi lain termasuk harga minyak.

Kenaikan indeks komposit yang pernah mencecah paras kira-kira 1,800 mata tahun ini, tetapi kini berada pada paras 1,700 mata sebenarnya tidak banyak mencerminkan sama ada ekonomi negara benar-benar kukuh, berdaya saing serta mampu mengharungi iklim ekonomi dunia yang tidak menentu.

Jika diimbas dua dekad lalu, indeks komposit pernah mencecah pada paras 1,400 mata dan jika mencapai paras tertingginya tahun ini sekitar 1,800 mata ia bermakna peningkatan hanya sekitar 30 peratus selama 20 tahun.

Itu pun sekarang Bursa Malaysia semakin kembali pada paras seperti sekitar pertengahan 1990-an.

Ia membuktikan Bursa Malaysia tidak lagi menjadi ‘barometer’ kepada peningkatan ekonomi kerana ekonomi negara telah meningkat pada kadar purata 4 hingga 5% setiap tahun sejak 20 tahun lalu.

Tambahan pula majoriti saham utama dalam indeks 30 bursa berkenaan dimiliki kerajaan secara tidak langsung melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Bukan satu rahsia lagi majoriti syarikat dalam Indeks Komposit dimiliki dana milik kerajaan seperti Khazanah, Pelaburan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kegagalan Bursa Malaysia menarik pelabur asing melabur juga sebenarnya berkaitan rapat dengan prosedur dan peraturan yang ditetapkan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebagai badan pengawal syarikat senaraian awam di negara ini.

Kawalan ketat ini mungkin disebabkan imej koboi pasaran saham negara sekitar 1990-an yang menyebabkan kerugian kepada pelabur saham runcit yang mendominasi pasaran saham ketika itu.

Saya mendapat maklumat daripada beberapa pelabur asing proses penyenaraian sesebuah syarikat di Bursa Malaysia mengambil masa yang terlalu lama dan tidak memberi ruang kepada unsur spekulasi.

Keputusan Khazanah untuk menyenaraikan syarikat miliknya, Integrated Healthcare Holdings Sdn Bhd (IHH) di Bursa Malaysia dan Bursa Saham Singapura pada 2012 sebenarnya turut memberi pelbagai andaian pelabur asing lebih membanjiri pasaran saham negara jiran itu berbanding di Malaysia.

Kewujudan pelbagai birokrasi dalam pasaran saham di Malaysia dikatakan bukan sahaja membabitkan proses menyenaraikan syarikat mengambil masa yang lama, malah untuk sebuah syarikat menerbitkan saham baru juga memerlukan terlalu banyak proses kelulusan dengan pelbagai karenah birokrasi.

Proses ini sebenarnya membuka ruang untuk unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa kepada badan pengawal, terutamanya Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti selain mengakibatkan pelabur asing menjauhkan diri daripada melabur dalam syarikat di Bursa Malaysia.

Jika dibandingkan dengan pasaran saham di Singapura dan Indonesia, syarikat yang hendak menerbitkan saham baru tidak perlu mendapatkan pelbagai bentuk kelulusan, sebaliknya hanya perlu memaklumkan saja kepada badan pengawal.

Sebenarnya, jika dikaji dengan lebih mendalam kita dapat sendiri dapat lihat berapa banyak syarikat baru yang disenaraikan di Bursa Malaysia, yang bukannya datang daripada kalangan GLC jika dibandingkan dengan bursa saham di rantau ini.

Peraturan sebelum ini, yang mengehadkan elemen spekulasi dalam Bursa Malaysia sebenarnya didorong bagi melindungi pelabur runcit yang cuba membuat keuntungan sekelip mata seperti sekitar 1990-an.

Bagaimanapun, aliran itu sudah berubah apabila pelabur runcit sudah semakin kurang di Bursa Malaysia dan ia digantikan dengan pengurus dana dan unit amanah yang boleh menilai risiko pelaburan berikutan boleh mendapat maklumat saham berkenaan dengan mudah.

Atas sebab itu, saya berpendapat sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula peraturan yang dikenakan Bursa Malaysia dan SC terhadap pelabur bagi menggalakkan semula kerancakan pasaran saham Malaysia supaya setanding dengan pasaran saham di rantau ini.

Pengenalan papan alternatif di Bursa Malaysia selepas papan kedua dimansuhkan pada 2007 juga boleh merancakkan semula penyenaraian awam syarikat-syarikat yang bersaiz kecil dan sederhana.

Ia juga boleh memberikan lebih banyak pilihan kepada pelabur, termasuk menarik semula pelabur runcit memasuki pasaran saham selain menggalakkan pelabur asing yang mula melabur di negara ini untuk menyenaraikan syarikat mereka di papan kedua.

Dalam pasaran ekonomi gobal yang tidak menentu ini, kerajaan perlu kreatif berusaha menarik pelabur asing terus melabur dalam syarikat di pasaran saham kerana ia akan memberikan isyarat jelas kepada pelabur antarabangsa Malaysia mempunyai kepelbagaian dalam kegiatan ekonominya.

Peranan Bursa Malaysia yang mempunyai konflik kepentingan sebagai ‘gatekeeper’ serta sebuah syarikat disenaraikan di bursa sendiri menimbulkan ketidakpastian arah tuju bursa sebenarnya, sama ada ia sebagai badan pengawal atau sebuah syarikat mencari keuntungan dengan mengenakan peraturan dan caj kepada syarikat yang disenaraikan.

Pasaran saham yang menarik adalah salah satu cara terbaik menarik dan mengekalkan pelabur asing supaya terus melabur dalam syarikat di negara ini, dan kejatuhan nilai mata wang ringgit memerlukan kerajaan bertindak segera dan serius bagi mengelakkan pelabur asing meninggalkan pasaran saham.

Ketidaktentuan nilai mata wang ringgit ketika ini yang dikatakan akan jatuh hingga ke paras RM4 berbanding AS$1, menuntut kerajaan mengambil tindakan drastik seperti yang dilakukan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Bagaimanapun, kejatuhan nilai mata wang ringgit dijangka tidak akan menjejaskan ekonomi negara dalam jangka masa pendek disebabkan rizab Bank Negara yang tinggi selain kecairan dana dalam sektor perbankan.

Keadaan sekarang menjejaskan Bursa Malaysia kerana pelabur asing tidak yakin dengan komitmen kerajaan untuk mempertahankan ringgit daripada tidak terus jatuh lagi.

Sehingga kerajaan membuat ketetapan terhadap mata wang ringgit, pelabur dalam Bursa Malaysia dijangka menarik keluar pegangan mereka.

Namun kejatuhan ringgit dalam jangka masa panjang akan memperlahankan ekonomi negara dan menyebabkan harga barang import meningkat.

Seharusnya satu tindakan berani perlu dilakukan, termasuk menstruktur semula pasaran saham Malaysia supaya ia terus mampu berdaya saing dan menarik pelabur asing dan tempatan untuk aktif dalam urusan jual beli saham.

Dalam suasana harga minyak yang dijangka kekal pada kadar yang lebih rendah ini, kerajaan perlu mempelbagaikan cara untuk mendapatkan hasil dan sumber pelaburan bagi menggantikan hasil minyak yang berkurangan dengan mencergaskan semula usaha menarik pelaburan langsung asing bagi menaikkan semula ekonomi dan membiayai bajet mesra rakyat, seterusnya meneruskan rancangan membina infrastruktur awam seperti MRT, HSR dan Lebuh Raya Pan Borneo. – 16 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments