Opinion

Pengerusi Asean boleh tambah akauntan profesional sokong BN

Sebagai salah sebuah negara pengasas Asean, tahun 2015 akan menguji kewibawaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusinya selama mengambil alih tanggungjawab berkenaan daripada Myanmar.

Asean yang ditubuhkan pada 1967 oleh lima negara pengasas iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand kemudian disertai Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar serta Kemboja menjadikan ia dianggotai 10 negara.

Sudah pasti tugas paling berat bakal menanti Kuala Lumpur adalah untuk menterjemah aspirasi Komuniti Ekonomi Asean (AEC) menjelang akhir 2015.

Secara kasar matlamat AEC adalah untuk menyatukan Asean di bawah satu bumbung ekonomi melalui pengurangan tarif, liberalisasi dan penghapusan kekangan dalam melaksanakan aktiviti ekonomi di antara negara ahli.

Dan walaupun sebahagian besar dasar untuk melaksanakan AEC sudah dicapai semua negara anggota, tetapi baki keputusan yang belum dimuktamadkan seperti mobiliti pekerja antara negara memerlukan pengerusi yang tegas dan cekal.

Isu ini ditakrifkan sebagai salah satu kayu pengukur kejayaan AEC dan yang paling rumit untuk dipersetujui kerana perbezaan ketara status ekonomi negara ahli.

Apa yang pasti lawatan sulung ke luar negara Presiden Indonesia, Jokowi ke Malaysia minggu lalu juga membawa amanat dari Indonesia yang juga negara terbesar dalam Asean kepada Najib bagi memastikan matlamat AEC benar-benar dapat direalisasikan Malaysia.

Dengan Keluaran Dalam Negara (KDNK) 10 negara Asean berjumlah AS$2.4 trilion atau bersamaan kira-kira RM8.4 trilion, kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat malahan India sudah pasti memandang Asean sebagai rakan kongsi yang amat penting.

Kepentingan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini, juga jelas kelihatan apabila dua pemimpin kuasa besar dunia iaitu Barack Obama dan Xi Jinping memilih melawat Malaysia tahun lalu sebagai satu pengiktirafan selain mahu Malaysia benar-benar memainkan peranannya dalam menjamin kestabilan rantau ini.

Namun memasuki tiga bulan pertama menggalas tugas sebagai Pengerusi Asean, Malaysia masih tercari-cari rentak sebenar dalam merealisasikan AEC, apa yang kedengaran adalah usaha menyeragamkan waktu Asean atau kerjasama menghasilkan kereta Asean melalui Proton.

Dalam memastikan peranan Malaysia sebagai pengasas Asean terus dihormati, pimpinan negara perlu mencari dan mencipta satu legasi dalam ruang lingkup AEC yang bakal ditinggalkan apabila berakhirnya tempoh sebagai pengerusi akhir tahun ini.

Legasi ini jugalah yang akan menjadi satu sejarah kepada kepimpinan Najib yang memimpin Malaysia ketika menjadi pengerusi Asean pada 2015, sekali gus bakal mengharumkan nama beliau dan akan terus diingati sampai bila-bila.

Dalam Malaysia mahu merealisasikan AEC ini, pimpinan negara tidak perlu menoleh jauh kerana bidang akauntan profesional boleh menjadi pencetus kepada permulaan komuniti perniagaan Asean ini.

Sebagai bekas Ahli Majlis Persekutuan Akauntan Asean (AFA), mungkin ramai tidak mengetahui terdapat sejumlah 171,790 akauntan profesional di 10 negara Asean dengan Malaysia mempunyai sejumlah 32,750 akauntan profesional, yang kedua teramai di rantau ini selepas Thailand yang mempunyai sejumlah 57,367 akauntan profesional.

Jika Malaysia benar-benar mahu melihat inisiatif AEC ini menjadi satu realiti, tumpuan utama perlu dibuat dalam menyeragamkan peraturan serta undang-undang membabitkan bidang akauntan profesional di kalangan negara anggota.

Sebenarnya, asas kepada kemakmuran Asean melalui pembangunan infrastruktur di kalangan negara anggota memerlukan pembabitan akauntan profesional secara menyeluruh dengan cara memudahkan mobiliti golongan ini di kalangan negara anggota.

Kita perlu sedar jurang pertumbuhan serta KDNK di kalangan negara anggota Asean amat jauh dan atas sebab itu cara paling mudah dan cepat untuk menggalakkan pertumbuhan di negara anggota yang masih ketinggalan adalah membenarkan mobiliti akauntan secara bebas untuk mereka mengamalkan profesion mereka di mana-mana negara Asean tanpa sebarang sekatan dan kekangan.

Untuk tujuan ini, sudah pasti Malaysia perlu mendapatkan pengiktirafan bersama dengan semua negara anggota sekali gus akan membolehkan pergerakan modal dan projek di kalangan negara Asean dilicinkan.

Di samping itu, globalisasi kini membawa makna pertumbuhan ekonomi ini dijana dengan pengetahuan dan mobiliti akauntan ini juga penting untuk dikembangkan kerana golongan profesional membawa idea baru yang boleh menjadi asas kepada pembentukan perniagaan baru berasaskan ilmu sekali gus ‘k-economy’ yang diilhamkan Malaysia 15 tahun akan dapat direalisasikan.

Ini kerana jumlah akauntan profesional yang mencukupi di sesebuah negara, sudah pasti akan menarik pelaburan langsung asing terutama sekali dari Eropah, Amerika Syarikat dan China.

Pelabur asing dan firma multinasional mahu pelaburan mereka di rantau ini, mendapat pulangan serta kejayaan dan golongan akauntan profesional yang dapat memberikan jangkaan keuntungan terhadap pelaburan mereka di negara anggota Asean.

Peranan Malaysia dalam memastikan negara Asean masih lagi mantap dalam ‘global supply chain’ ini juga akan mampu menjadi pemacu kepada pertumbuhan negara anggota Asean dan memakmurkan rantau ini.

Bagaimanapun, rintangan dalam merealisasikan hasrat ini bukan satu perkara mudah dan ia sebenarnya cabaran utama kepada Najib sebagai pengerusi Asean dalam merealisasikan penubuhan AEC supaya ia tidak terkubur.

Atas sebab itu, persidangan AFA yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini, menggariskan beberapa isu dalam membantu Malaysia merealisasikan AEC dengan menjadikan akauntan profesional sebagai asas kepada inisiatif ini.

Malaysia yang menubuhkan Jawatankuasa Memperkukuhkan Profesion Akauntan (CSAP) di bawah Suruhanjaya Sekuriti hasil penemuan Laporan Pemantauan Standard dan Kod Perakaunan dan Pengauditan yang dikeluarkan Bank Dunia pada 2012,  boleh dijadikan asas serta panduan ke arah memasyarakatkan akauntan profesional Asean.

Sudah pasti kekangan yang perlu dikenal pasti Malaysia adalah untuk berunding dengan negara anggota terutama sekali membabitkan peraturan serta undang-undang yang diguna pakai dalam bidang perakaunan profesional di negara masing-masing.

Buat masa ini, walaupun rundingan itu sudah diadakan tetapi prosesnya dilihat terlalu perlahan kerana ia membabitkan soal dasar kerajaan dan sudah pasti Malaysia sebagai Pengerusi Asean harus segera melihat untuk merungkai permasalahan yang membelenggu undang-undang ini yang mengehadkan pergerakan akauntan Asean di kalangan negara anggota.

Selain itu, masalah imigresen di kalangan negara anggota juga dikenal pasti menjadi halangan utama terhadap pergerakan akauntan Asean ini, sebagai contoh undang-undang Imigresen Malaysia sendiri yang dilihat tidak mesra pekerja mahir seperti akauntan profesional.

Di sinilah, Malaysia perlu mengambil langkah pertama bagi menjadi pencetus kepada negara Asean lain dalam melonggarkan pergerakan pekerja mahir di kalangan negara anggota dalam membuktikan komitmen serta keseriusan negara dalam memastikan AEC menjadi satu kenyataan.

Tindakan mengambil langkah pertama atau ‘first mover’ ini adalah juga tindakan berani yang diambil kerajaan sekitar tahun 70an dan 80an secara unilateral dalam membuka sektor perindustrian di Malaysia dan akhirnya membawa kepada kemakmuran negara sehingga sekarang.

Cuma sekarang ini nampaknya kerajaan semasa dilihat tidak lagi mempunyai keberanian seperti yang diambil pimpinan dahulu untuk membawa Malaysia ke peringkat baru dalam ekonomi nilai tambah yang baharu.

Dalam dunia tanpa sempadan sebenarnya, kekangan yang timbul atas sebab seperti masalah Imigresen ini hanya akan membantutkan pertumbuhan dan perkembangan AEC itu sendiri dalam menarik modal di kalangan pelabur serta pekerja mahir negara anggota.

Kerajaan sebenarnya sudah berada pada landasan tepat dalam mengembang dan memperkukuhkan profesion akauntan profesional di negara ini termasuk dengan menubuhkan pusat kecemerlangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ini sekali gus akan mewujudkan lebih ramai akauntan profesional di negara ini, tetapi pasaran kerja domestik sudah pasti tidak mampu untuk menampung jumlah akauntan profesional yang terlalu ramai pada masa depan.

Sehubungan itu, pasaran Asean adalah pasaran kedua yang perlu diterokai Malaysia dalam memasarkan akauntan profesional negara sekali gus menjadi membawa tahap bidang perakaunan negara ke tahap lebih tinggi.

Jika perkara ini berjaya direalisasikan sudah pasti kerajaan dapat membantu graduan akauntan profesional mencari pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan mereka di negara anggota Asean sekali gus kejayaan utama Malaysia dalam memanfaatkan AEC.

Kejayaan ini juga pasti akan bertukar menjadi sokongan politik kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mewujudkan peluang pasaran pekerjaan baru untuk akauntan profesional terutama  di kalangan masyarakat Bumiputera.

Cara ini paling berkesan untuk melaksanakan dasar Bumiputera daripada dasar memberi, memberi serta terus memberi kepada kaedah memberikan peluang pekerjaan Bumiputera bersaing di peringkat rantau ini dan antarabangsa. – 12 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments