Opinion

Pelan Transformasi Ekonomi PM dalam bahaya

Kegusaran terhadap ekonomi negara berikutan aliran penurunan mata wang ringgit berbanding mata wang Amerika Syarikat, selain penurunan harga minyak dunia, mencetuskan pelbagai perdebatan sehingga ia menjadi modal politik paling utama, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

Ditambah lagi dengan pengenalan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April tahun depan yang akan menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi walaupun kerajaan terus mempertahankan yang kutipan cukai GST akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Apa yang penting bagi kerajaan pada masa ini adalah untuk mempelbagaikan pendapatan yang diperoleh selepas menyedari tidak boleh terus bergantung kepada royalti dan cukai yang dibayar Petronas.

Sesiapa pun tidak boleh menyangkal betapa Petronas berperanan besar terhadap pembangunan negara sejak ia mula diperkenalkan sehingga unjuran perbelanjaan kerajaan bergantung kepada jangkaan jumlah royalti dan cukai yang dbayar syarikat minyak negara itu.

Ia terbukti apabila kerajaan menganggarkan perbelanjaan negara dengan mengunjurkan harga minyak jenis Tapis keluaran Petronas di pasaran dunia kini pada paras USD105 setong dan ketika ini, harga minyak dunia sudah turun daripada paras berkenaan.

Sudah pasti ‘pakar-pakar’ ekonomi kerajaan perlu membuat semula semakan terhadap jumlah hasil yang diperoleh negara dalam memastikan perbelanjaan pembangunan serta mengurus negara tidak terjejas teruk atau terbantut.

Struktur ekonomi negara sebenarnya masih banyak bergantung kepada sektor perindustrian yang masih memberikan tambah nilai yang kecil kerana bagi setiap barang yang dieksport, kita perlu mengimport komponen untuk pembuatan.

Hasil kerajaan juga boleh diperoleh daripada cukai yang diperkenalkan kepada syarikat dan pekerja asing yang melabur serta bekerja di negara ini, namun dalam usaha menarik pelabur asing sejak sekian lama ini,  kerajaan banyak memberikan pelepasan serta insentif cukai bagi merancakkan ekonomi negara.

Sebenarnya, pelbagai insentif serta pelepasan cukai yang diberikan itu adalah satu bentuk kerugian hasil kepada negara dan sudah sampai masanya kajian dilakukan bagi mengenalpasti jumlah kerugian yang perlu ditanggung negara kerana amalan ‘transfer pricing’ dan pengambilan pekerja asing yang menyebabkan pengaliran wang keluar negara yang tidak dapat dicukai.

Dengan Malaysia terus menjadi sasaran kedatangan pekerja asing tanpa izin yang tidak memberi sumbangan secara langsung kepada negara dalam bentuk hasil cukai, insentif cukai yang diberikan kepada syarikat serta pelabur asing juga membolehkan golongan ini menikmati pelbagai manfaat.

Sememangnya dengan adanya syarikat asing ini akan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, tetapi perlu juga diingat, sudah pasti ada juga pelaburan asing yang membuat keputusan memindahkan operasi mereka ke negara lain sebaik insentif cukai yang diberikan tamat tempohnya.

Dan rakyat Malaysia juga tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada pasaran kerja sektor perindustrian yang banyak menggaji pekerja asing di peringkat bawahan dan dalam keadaan dunia tanpa sempadan di mana syarikat mengamalkan ‘transfer pricing’ dengan tidak mengisytiharkan keuntungan di negara ini.

Lihat sahaja di Pulau Pinang yang suatu ketika dulu menjadi syurga kepada pelaburan asing dengan wujudnya kilang-kilang elektronik yang majoritinya bergantung kepada sumber tenaga Malaysia yang murah selain insentif cukai yang menarik.

Kini saban tahun banyak kilang-kilang ini yang terdiri daripada pelabur multinasional ini membuat keputusan menutup operasi mereka dan memindahkannnya ke negara yang mempunyai sumber manusia lebih murah seperti Vietnam dan Indonesia.

Atas sebab itu, sebarang pelepasan dan insentif cukai yang diberikan akan tidak memberi sumbangan hasil kepada negara dan dengan selama ini kerajaan bergantung kepada hasil daripada petroleum serta kredit mudah bank daripada perbelanjaan pengguna seperti perumahan dan kenderaan.

Berikutan itu, kerajaan perlu memikirkan semula perbelanjaan yang dilakukan dan sejumlah besar peruntukan hasil diagihkan kepada infrastruktur mega seperti pembinaan MRT, HSR serta lebuh raya, yang memang boleh memberikan manfaat ekonomi pada jangka masa panjang, tetapi tidak akan memberikan aliran wang tunai kepada kerajaan untuk membiayai projek ini tanpa berhutang.

Kerajaan boleh terus meminjam untuk membiayai projek-projek pembangunan serta projek mega ini dan tidak terjejas dengan kejatuhan ringgit kerana meminjam daripada sektor perbankan dalam negara.

Selain itu, harga minyak Malaysia iaitu Tapis masih tinggi berbanding minyak Brent yang membolehkan kerajaan terus mendapat hasil yang lebih tinggi namun penjadualan semula perbelanjaan besar kerajaan amat perlu dan kritikal.

Namun, perlu diingatkan juga hasil daripada penjualan minyak Tapis juga di ‘offset’ untuk pembelian pengimportan minyak kualiti lebih rendah untuk pasaran tempatan.

Disebabkan mata wang ringgit terus jatuh di pasaran dunia, harga barang import akan meningkat dan ia membawa kepada kenaikan inflasi yang kemudiannya mengakibatkan Bank Negara perlu menaikkan kadar faedah bagi mengukuhkan ringgit.

Sebenarnya, kenaikan kadar faedah Malaysia juga akan selari dengan keputusan Federal Reserve Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah yang terus mengukuhkan ekonomi negara kuasa besar dunia itu dan ia juga perlu dilakukan Bank Negara Malaysia dalam konteks mengukuhkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara bukan satu berita baik kepada rakyat yang terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan bagi pembayaran faedah untuk pinjaman mereka seperti kenderaan, rumah, pinjaman peribadi selain kad kredit.

Di sinilah kerajaan perlu berhati-hati dalam mengimbangi keperluan dan kehendak rakyat dengan tuntutan ekonomi berikutan ia sudah pasti menjadi modal politik terbaik buat pembangkang dengan mendakwa kerajaan Barisan Nasional gagal menguruskan ekonomi negara dengan berkesan sehingga rakyat mendapat kesan negatif daripadanya.

Walaupun dalam jangka masa pendek, Bank Negara berkemungkinan besar tidak akan menaikkan kadar faedah dengan mendadak kerana rizab negara yang berada sekitar RM400 bilion mampu untuk membayar import negara dan mengukuhkan mata wang ringgit. 

Erti kata lain, rizab berkenaan mampu menampung defisit dalam imbangan wang keluar masuk ke negara ini, iaitu ‘balance of payment’.

Namun pada masa sama, kejatuhan mata wang ringgit akan mempunyai kesan terjadap bon kerajaan yang diterbitkan bagi membiayai pinjaman kerana dianggarkan kira-kira 42% daripadanya dipegang pelabur asing.

Sekiranya agensi penarafan asing menurunkan rating ekonomi negara berikutan kelemahan ringgit, ia boleh menyebabkan pelabur asing menjual semula bon terbabit dan kerajaan perlu membelinya semula, sekaligus satu perbelanjaan tambahan buat kerajaan.

Bagi pendapat saya, adalah amat penting kerajaan menyemak semula semua perbelanjaan yang sudah dianggarkan sesuai dengan hasil yang bakal diperoleh memandangkan sudah ada petunjuk di peringkat antarabangsa yang ekonomi negara bakal menerima kesan.

Apa yang paling penting adalah kesejahteraan rakyat dan perbelanjaan besar terhadap infrastruktur awam yang belum dilaksanakan perlu ditangguhkan buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada keperluan mendesak rakyat yang dibebani kenaikan harga barang dan kos sara hidup tinggi, terutama di kawasan bandar serta separuh bandar.

Atas sebab itu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak ketika menjawat jawatan perdana menteri lima tahun lalu, berdepan dengan pelaksanaan sukar dengan iklim ekonomi dunia dan negara pada masa kini terutama sekali dengan penyusutan mata wang ringgit.

ETP yang mensasarkan pelaburan asing ke Malaysia selain pembabitan syarikat tempatan terutama sekali Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi merancakkan ekonomi negara perlu diseimbangkan dengan keperluan serta kehendak rakyat.

Kepada mana-mana kerajaan di dunia, kegagalan menguruskan ekonomi yang berkesan untuk rakyat akan membawa kesan buruk dan ini sudah pasti disedari kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib.

Menjejakkan kaki ke tahun 2015 ini kerajaan BN perlu memastikan rakyat benar-benar memahami keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar dan kemungkinannya berlaku kegawatan ekonomi.

Perlu diingatkan, keputusan menyediakan rakyat untuk melalui iklim ekonomi yang mencabar menjadi tuntutan dan tanggungjawab kerajaan dengan syarat kerajaan perlu turut sama mengawal perbelanjaan dengan lebih berhemah.

Tiada isu lain yang mampu mencengkam hati nurani rakyat selain daripada ekonomi yang menjadi indeks petunjuk prestasi (KPI) paling utama kepada kerajaan BN dan rakyat sudah pasti membandingkan dengan langkah ekonomi yang diambil kerajaan PR di Selangor serta Pulau Pinang.

Rakyat mahu merasai apa yang diperkatakan Putrajaya mengenai tahap ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh serta mampan hasil daripada inisiatif kerajaan dan pemimpin BN seperti ETP apabila menjalani kehidupan seharian.

Ketika ini, sebarang usaha menyakinkan rakyat mengenai ekonomi negara yang kukuh melalui angka, unjuran serta statistik sentiasa dipertikaikan sehingga menimbulkan persepsi kepada rakyat yang Putrajaya berbohong dan cuba menyembunyikan fakta sebenar.

Sebab itulah jika langkah yang sewajarnya diambil tidak dilakukan, tempoh tiga tahun lagi menjelang PRU14, pasti memberikan detik sukar kepada BN dan Umno untuk mempertahankan kuasa memerintah Malaysia. – 19 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments