Opinion

Pastikan Bajet benar-benar sampai kepada rakyat

Bertemakan ‘Ekonomi Keperluan Rakyat’, Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia membentangkan Bajet 2015, bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) sebelum Malaysia memasuki RMK11, empat tahun sebelum tibanya tahun 2020, matlamat menjadi negara maju yang ditetapkan mantan perdana menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Wawasan 2020.

Selepas lebih seminggu, Bajet 2015 yang menyaksikan sejumlah RM273.9 bilion peningkatan sebanyak RM9.8 bilion berbanding 2014, banyak analisis dan huraian dibuat terhadap bajet 2015 yang akan menyaksikan Malaysia memulakan penstrukturan sistem cukai dengan beralih daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Saya tidak mahu menyentuh lagi sama ada bajet berkenaan bersifat populis atau benar-benar memahami apa yang dikehendaki rakyat, terutama sekali golongan pertengahan di bandar serta separa bandar, memandangkan sudah banyak pandangan serta analisis dibuat mengenai bajet berkenaan daripada pihak kerajaan atau pembangkang.

Bagaimanapun sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), adalah menjadi tugas serta tanggungjawab saya memastikan sejumlah RM273.9 bilion wang rakyat yang akan dibelanjakan dalam Bajet 2015, benar-benar sampai ke tangan rakyat... dipulangkan semula kepada rakyat dengan meminimakan sebarang unsur ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ketika perbahasan mengenai Bajet 2015 yang sedang rancak berjalan di Dewan Rakyat kini, ahli Parlimen daripada BN sudah pasti mempertahankan bajet berkenaan, terutama sekali mengenai GST.

Manakala pembangkang melalui bajet mereka sudah pasti berterusan mengkritik, menghentam serta memutarbelitkan bajet kerajaan, terutama sekali GST dan menyatakan sistem percukaian mereka yang ditunjangi Cukai Keuntungan Modal Melalui Ekuiti (CGT) sebagai alternatif kepada GST.

Walau apa yang berlaku, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib sudah pasti akan melaksanakan Bajet 2015 dengan menyaksikan pelbagai habuan dan ‘goodies’ diberikan kepada rakyat dalam mengimbangi kenaikan harga bahan api serta kos sara hidup.

Apa yang pasti, Najib sudah menjelaskan bahawa hasil daripada GST digunakan untuk memulangkan semula kepada rakyat melalui pemberian BR1M yang diperluaskan penerimanya dalam Bajet 2015 hingga menjangkau jumlah sebanyak RM4.9 bilion.

Harus juga diingatkan, Bajet 2015 ini menyaksikan jumlah perbelanjaan mengurus negara adalah sebanyak RM223.4 bilion manakala perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM50.5 bilion.

Ini bermakna kerajaan terpaksa menggunakan wang rakyat untuk menguruskan negara yang sepatutnya, perlu digunakan untuk membangunkan negara dalam merancakkan ekonomi negara.

Bayangkan daripada perbelanjaan mengurus itu, sejumlah RM65.6 bilion digunakan untuk emolumen, iaitu perbelanjaan untuk pentadbiran kerajaan seperti gaji, imbuhan, elaun kakitangan dan pegawai kerajaan. 

Justeru sudah pasti kerajaan perlu memastikan tahap kecekapan sektor perkhidmatan awam perlu sentiasa dipertingkatkan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Untuk kakitangan awam, nasihat saya elakkanlah isu mengenai ketirisan, penyelewengan dan pemborosan kerana merekalah yang menjaga dan bertanggungjawab terhadap wang rakyat dan seharusnya perlu menjunjung tinggi etika kerja amanah, berpengetahuan serta ambil peduli.

Apabila saya menyatakan berpengetahuan dan ambil peduli, ia membawa makna supaya kakitangan kerajaan tidak sewenang-wenangnya menjalankan kerja membuta tuli hanya disebabkan ia arahan semata-mata, sama ada datang daripada pihak tertinggi atau menteri.

Ini kerana dalam setiap prosiding PAC, majoriti isu timbul disebabkan sikap kakitangan kerajaan yang tidak ambil peduli atau lebih senang disebut ‘buat bodoh’ sedangkan, projek atau kerja berkenaan dengan jelas tidak masuk akal, sekaligus menyusahkan rakyat dan membazirkan wang rakyat.

Sebab itu, saya berpendapat kerajaan perlu juga memastikan semua projek pembangunan yang dirancang benar-benar dilaksanakan dan bukan sekadar memberikan janji manis serta lebih penting dilaksanakan dengan telus dan berakauntabiliti.

Mengambil contoh projek pembangunan seperti Lebuhraya Pan Borneo, yang sebenarnya bukan satu perkara baru dalam bajet kerajaan kerana pernah dinyatakan sebelum ini, ia perlu dilaksanakan dengan segera berikutan desakan infrastruktur berkenaan amat kuat.

Desakan berkenaan bukan sahaja daripada sudut sosial tetapi juga politik, kegelisahan rakyat Sarawak dan Sabah yang seringkali mempunyai mentaliti dianggap sebagai rakyat Malaysia kelas kedua perlu segera ditangani dengan segera.

Tidak perlu menunggu lama untuk melaksanakan projek lebuh raya berkenaan, memandangkan Menteri Kerja Raya daripada Sarawak manakala Menteri Luar Bandar pula daripada Sabah.

Dengan ada pihak yang cuba memainkan sentimen untuk Malaysia Timur keluar daripada Malaysia, kerajaan BN tidak boleh lagi menunggu lama, tambahan pula daripada sudut politik, Sabah serta Sarawak kini adalah simpanan tetap BN dan Umno bukan lagi negeri-negeri di Semenanjung kecuali Johor.

‘Political will’ amat dituntut dalam melaksanakan projek dan pembangunan di Sabah dan Sarawak, kerajaan BN tidak boleh lagi menutup sebelah mata dan telinga apa yang dituntut rakyat daripada kedua-dua negeri ini.

Bagi saya, selain projek lebuh raya Pan Borneo berkenaan, kemudahan elektrik dan air di Sabah dan Sarawak juga memerlukan perhatian serius daripada kerajaan yang perlu bertindak drastik dalam mendekatkan semula jurang pembangunan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

Dengan semua angka hasil dalam Bajet 2015 yang bersifat begitu optimistik, kerajaan BN perlu sedar mereka bukan sahaja bertanggungjawab untuk melaksanakannya tanpa sebarang alasan lagi.

Ketika pembangkang terus melaungkan soal ketirisan, penyalahgunaan kuasa, dan rasuah dalam setiap perbelanjaan kerajaan dengan merujuk Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), sudah pasti Putrajaya perlu lebih proaktif dalam menyalur dan memberikan maklumat kepada rakyat.

Rakyat ketika ini jelas mendapat maklumat daripada medium Internet yang jelas gagal dieksploitasi jentera kerajaan dan parti BN sendiri dan lebih gemar bersikap mendiamkan diri dan menganggap rakyat akan lupa.

Barisan anggota pentadbiran kerajaan juga perlu menunjukkan mereka benar-benar prihatin dan sanggup berdepan dengan rakyat dalam menjelaskan segala dasar serta inisiatif yang hendak dan akan dilaksanakan.

Cuma kadang kala jelas dapat dilihat alasan yang digunakan untuk memberikan justifikasi penggunaan wang rakyat, sebagai contoh dalam rasionalisasi subsidi bahan api adalah terlalu ‘lame’ hingga menjejaskan kredibiliti barisan Kabinet Najib yang sudah begitu besar sehingga ada segelintir rakyat membuat bahan lawak jenaka.

Masyarakat bandar dan separa bandar sama ada bukan Melayu atau orang Melayu sendiri, sudah pandai membezakan apa yang betul dan apa yang tidak serta sememangnya tidak akan menelan bulat-bulat apa yang diterangkan kerajaan.

Sebab itu, setiap sen daripada RM273.9 bilion yang bakal dibelanjakan tahun depan perlu dilaksanakan dengan segera dan perlu sampai kepada rakyat bukannya ada pihak yang berkepentingan yang rapat dengan orang tertentu di Putrajaya mendapat manfaat terlebih dahulu.

‘Jurucakap’ kerajaan perlu seorang yang berkredibliti, berpengetahuan dan boleh berdepan dengan rakyat dalam memastikan tiada ruang untuk pembangkang memutarbelitkan persepsi hingga ia akhirnya diterima menjadi satu fakta, sekaligus menidakkan segala usaha yang bakal dilaksanakan kerajaan.

Pada masa sama, perlunya inisiatif yang drastik dan berbeza daripada kerajaan dalam membuktikan tiada sebarang benda yang hendak disembunyikan daripada rakyat dan penubuhan ‘Office Budget of Estimate’ (OBE) di Parlimen Malaysia adalah permulaan paling tepat selepas GTP, ETP, PTP dan segala macam inisiatif sebelum ini.

Menjelang RMK11 nanti, Najib sudah mengumumkan pendekatan baru yang sedang digariskan dikenali sebagai Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) dan ia dikatakan antara formula kepada perancangan dan penyediaan program serta projek dalam RMK11.

Dan saya berharap MyNDS ini juga akan menjadi formula kepada kemenangan BN dalam PRU14 yang hanya tinggal tiga tahun lagi apabila kita menginjak 2015 dalam tempoh tidak sampai tiga bulan lagi dan memulakan RMK11.

Menjadi harapan supaya apa yang dirancang dalam RMK11 masih terus dilaksanakan kerajaan BN walaupun selepas PRU14 nanti, kerana pembangkang kini sudah dan akan mengatur gerak catur bagi merampas Putrajaya.

Jika kerajaan pimpinan Najib terus berkhayal dan memasang mimpi indah bahawa rakyat negara ini dituntut untuk bersyukur dengan segala pemberian BN dalam Bajet 2015, ia pasti akan berakhir menjadi mimpi ngeri dalam PRU14 nanti. – 21 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments