Opinion

Padah menanti Umno jika sokong hudud PAS

Semua mata kini tertumpu di Putrajaya dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi pembuat keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti tulang belakang BN, iaitu Umno, yang dijangka hari ini membuat pendirian secara rasmi mengenai hukum hudud ciptaan PAS.

Selepas kerajaan PAS Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) Khamis lalu, apabila semua 44 Adun negeri pimpinan PAS menyokong pindaan enakmen berkenaan termasuk 12 daripada Umno dan 1 daripada PKR, Putrajaya dan PWTC terus mengambil tindakan "tunggu dan lihat" akibat tindakan PAS itu.

Walaupun Pakatan Rakyat (PR) kini di ambang perpecahan akibat tindakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS yang sudah memohon kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang juga dikenali sebagai Akta 355 bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan, sikap berdiam diri Umno sebenarnya tidak membawa sebarang keuntungan dalam strategi politik.

Ini kerana, lebih lama Umno berdiam diri tanpa pendirian rasmi, lebih banyak tekanan akan dirasai pemimpin parti sama ada di peringkat bahagian, Adun atau ahli Parlimen, sekaligus mengundang pelbagai spekulasi bukan sahaja di kalangan ahli tetapi juga rakyat.

Sebagai parti terbesar yang menguasai 88 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13, pimpinan Umno perlu berani membuat keputusan dengan mengambil semangat roh perjuangan parti yang diasaskan pemimpin terdahulu seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein.

Perlu diingatkan juga, PAS adalah serpihan Umno apabila sebahagian besar golongan ulama meninggalkan parti pada pertengahan tahun 50-an kerana tidak bersetuju dengan pendirian tegas presiden kedua Umno, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang tidak mahu penubuhan negara Islam menjadi perjuangan utama Umno.

Lebih penting pada Bapa Kemerdekaan itu adalah memastikan masyarakat majmuk terdiri daripada berbilang kaum dan agama menjadi teras kemajuan negara seperti dikecapi seperti yang ada sekarang.

Sejak itu bermulalah perjuangan PAS dalam menubuhkan negara Islam, walaupun parti itu sedar ia adalah impian yang tidak mungkin menjadi kenyataan kerana perlu mengubah Perlembagaan Persekutuan, dan hukum hudud terus menjadi titik perbezaaan antara Umno dan PAS dalam memenangi undi orang Melayu setiap kali PRU diadakan.

PAS dengan mudah mengkafirkan Umno melalui "Amanat Hadi" apabila berterusan menuduh pemimpin dan ahli parti menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam, dan soal pahala serta dosa terus menjadi modal politik PAS setiap kali dalam ceramahnya.

Selama itulah, Umno terus dicap dengan pelbagai gelaran di kalangan pemimpin dan ahli PAS sehingga melabelkan parti sebagai ajaran sesat, malah PAS pernah mengadakan solat khusus di Stadium Kelantan mendoakan kehancuran Umno.

Umno yang menyedari PAS terus memperalatkan hukum hudud dengan bertindak menghulurkan tangan tahun lalu, bagi membincangkan mengenainya secara rasmi, sehingga sanggup menubuhkan Jawatankuasa Teknikal antara kedua parti terbesar orang Melayu ini.

Namun keikhlasan Umno dalam soal ini terus diperalatkan PAS apabila saya difahamkan, PAS terus membentangkan pindaan hukum hudud di Kelantan walaupun Jawatankuasa Teknikal masih belum membuat sebarang keputusan berhubung beberapa isu besar.

Antaranya berhubung isu pertindihan kuasa dengan Perlembagaan Negara, keadilan terhadap masyarat bukan Islam, selain penerangan lebih lanjut dan terbuka mengenai hukum hudud terhadap rakyat Malaysia secara keseluruhan yang terdiri daripada berbilang kaum. 

Semua bukti ini menunjukkan betapa PAS sebenarnya tidak ikhlas dalam mendapatkan sokongan mengenai politik dan itulah yang terjadi kini terhadap gabungan pakatan pembangkang dikenali Pakatan Rakyat yang memasuki gelanggang PRU pada 2008 dengan Pas menggunakan tahaluf siyasi menghalalkan kerjasama dengan DAP selepas gagal kali pertama dengan kerjasama Barisan Alternatif pada 2001.

Pada masa sama, gabungan PAS-PKR-DAP menggunakan nama Pakatan Rakyat ini turut menggunakan dasar "bersetuju untuk tidak bersetuju" terhadap segala pendirian atau dasar yang diperjuangkan PAS dan DAP, semata-mata untuk menakluki Putrajaya.

Dan terbukti dasar inilah yang menjadi racun dan duri dalam daging terhadap kerjasama antara PAS dan DAP ketika ini, apabila kerajaan PAS Kelantan meluluskan pindaan hukum hudud.

Berlakulah tuduh menuduh antara parti dalam gabungan pakatan pembangkang sehingga ia boleh diibaratkan sebagai retak menanti belah semata-mata.

Di sinilah mungkin strategi politik yang ditunggu-tunggu Umno dengan harapan memenangi PRU dalam tempoh tiga tahun lagi apabila pakatan pembangkang berpecah sekaligus meranapkan bayangan sistem dua parti dalam sistem politik negara.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa hukum hudud ala PAS ini, semata-matanya dipergunakan sebagai senjata politik parti ini, apabila tiada di kalangan pemimpinnya yang mengeluarkan kenyataan terbuka mengkafirkan pemimpin pembangkang beragama Islam yang terang-terangan menolak hudud ciptaan mereka.

Bagaimanapun, semua dalam PAS daripada pemimpin hingga ahli senyap "seribu bahasa" apabila pimpinan Islam PKR mengeluarkan kenyataan tidak akan memberi sokongan terhadap pembentangan hudud di Parlimen serta pelaksanaannya di Kelantan.

Sifat talam dua muka PAS ini cukup kelihatan apabila ada pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan menolak hudud ciptaan PAS, mereka diserang dengan menggunakan segala ayat Al-Quran dan dicap sebagai "kafir" oleh pemimpin PAS serta pengikut mereka di media sosial, dan lebih teruk, kenyataan itu diputarbelitkan sehingga ke tahap mempertikaikan keimanan pemimpin terbabit.

Saya sendiri mengalami situasi itu walaupun berulang kali saya tegaskan bahawa saya tidak menolak hukum hudud seperti diterangkan dalam Al-Quran, sebaliknya menolak hukum hudud ciptaan PAS yang jelas digunakan untuk mendapatkan sokongan politik daripada orang Melayu.

Dengan mengharapkan sokongan ahli Parlimen Umno untuk menyokong pindaan rang undang-undang berkenaan, Pas sebenarnya boleh dianggap mengaburi mata dan penyokong mereka apabila mengetahui bahawa mereka tidak akan mendapat sokongan daripada ahli Parlimen beragama Islam daripada PKR dan DAP.

Malah, difahamkan kerajaan PAS Kelantan menggunakan sentimen kenegerian dalam mendapatkan sokongan daripada Adun Umno dan PKR dalam meluluskan pindaan enakmen berkenaan.

Di sinilah Umno perlu sedar dan tidak terperangkap dengan strategi politik PAS yang sudah tentu berterusan "mengkafirkan" pemimpin dan ahlinya apabila tidak menyokong rang undang-undang ini di Parlimen.

Tidak pasti sama ada pemimpin Umno sedar bahawa ada ahli parti ini terutama di Sabah, bukannya daripada kalangan orang Islam termasuk sahabat saya sendiri, Ahli Parlimen Beluran yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Namun, saya tidak menafikan, ada juga di kalangan pemimpin dan ahli Umno yang mahu parti menyokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan mungkin untuk memenangi undi orang Melayu dalam PRU 14 nanti.

Selain itu juga, terbit harapan di kalangan kumpulan ini yang mahu menyaksikan penyatuan Umno-PAS bagi memastikan perjuangan orang Melayu dan Islam menjadi agenda utama negara, sekali gus menukar wajah sosial politik negara ke arah politik perkauman yang dalam jangka masa panjang langsung tidak akan menguntungkan negara.

Jika ini yang sebenarnya sedang berlaku dalam Umno, tidak mustahil kita boleh memberi tanggapan bahawa PAS sebenarnya, sedang menjalankan fungsi sebagai biro agama Umno dalam usaha melaksanakan hukum hudud di negara ini, sekali gus membelakangkan Perlembagaan Negara serta roh penubuhan parti ini.

Jangan sekali-kali pemimpin Umno pada masa kini lupa bahawa parti inilah yang banyak memperjuangkan syiar Islam tanpa membelakangkan hak kaum dan agama lain seperti yang dijamin Perlembagaan Negara.

Putrajaya yang ditunjangi Umno sepatutnya sama sekali tidak melayan dan mengeluarkan kenyataan terbuka menolak hukum hudud ciptaan PAS apabila parti berkenaan jelas tidak ikhlas dalam melaksanakan hukum berkenaan apabila membelakangkan jawatankuasa teknikal yang dibentuk.

Pemimpin Umno perlu mengambil contoh kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang jelas secara berani dan tegas menolak hukum hudud ala PAS tetapi pada masa sama disanjung pemimpin daripada Timur Tengah sebagai seorang pemimpin Islam yang terkemuka dan disegani walaupun menolak hudud PAS.

Umno juga perlu segera sedar sokongan terhadap hudud PAS ini, tidak akan dapat mengembalikan sokongan rakyat terutama sekali golongan bandar dan separuh bandar terhadap parti ini.

Isu berkaitan kenaikan kos sara hidup, pembaziran wang rakyat, penyelewengan dan salah guna kuasa perlu menjadi fokus utama dan strategi politik perlu dirangka dengan segera bagi memastikan rakyat benar-benar sedar kerajaan BN prihatin terhadap segala permasalahan yang mereka hadapi.

Jika mengharapkan sokongan hudud PAS akan mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan BN untuk memenangi PRU 14, sudah pasti ia akan menjadi kesalahan paling besar dilakukan pimpinan Umno yang ada sekarang.

Tambahan pula, semua parti komponen BN sudah menyatakan pendirian menolak hudud PAS dan sudah pasti Datuk Seri Najib Razak tidak mahu memasuki gelanggang PRU dengan kehilangan sokongan daripada komponen BN terutama sekali daripada Sabah dan Sarawak.

Biarkan sahaja PAS dengan hudud ciptaan mereka kerana paling penting adalah membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat. Itulah keadilan yang paling dituntut Islam daripada pemerintahnya.

Sudah pasti apa sahaja keputusan Putrajaya dan PWTC terhadap hukum hudud ciptaan PAS ini perlu mengambil kira konteks rakyat berbilang kaum secara keseluruhan, bukan hanya segelintir orang Islam yang bertopengkan agama bagi meraih sokongan politik. – 24 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments