Opinion

OBE: Penyelesaian terhadap persepsi negatif kepada kerajaan

Jumaat ini, Perdana Menteri Malaysia Keenam Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan Bajet 2015 iaitu bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dengan seluruh rakyat daripada segenap lapisan sudah pasti menanti dengan penuh berdebar-debar inisiatif, dasar serta 'goodies' yang diperkenalkan kerajaan.

Pentingnya Bajet 2015 ini, kerana ia juga adalah bajet terakhir sebelum Malaysia memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015 pada kadar 6% selain RMK11 akan pula dibentangkan pada Mei tahun depan.

Najib dan kerajaan pimpinannya sudah pasti juga mengambil kira pelbagai maklum balas serta cadangan rakyat yang dikumpul melalui laman web peribadi beliau termasuk luahan serta keluhan rakyat apabila kerajaan memotong subsidi petrol RON95 dan diesel pada 2 Oktober lalu.

Seperti yang saya terangkan dalam artikel sebelum ini, bertajuk Kos jangka panjang subsidi minyak, PR1MA dan BR1M kepada bajet, kerajaan perlu mengkaji semua subsidi yang disalurkan kepada rakyat bukan sekadar minyak RON95 dan diesel semata-mata.

Dan sudah pasti apa saja tindakan kerajaan dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi ini, perlulah diterima rakyat dengan hati terbuka dalam memastikan kelangsungan ekonomi negara pada masa depan.

Namun ketika ini, segala penerangan serta maklumat yang disampaikan jentera kerajaan malah anggota Kabinet sendiri, tidak dapat diterima bulat-bulat oleh rakyat yang meluahkan pelbagai pandangan, keluhan serta kemarahan melalui media sosial.

Sebab itu, dalam artikel berkenaan saya menerangkan perlunya kerajaan menubuhkan 'Office of Budget Estimate' (OBE) di bawah seliaan Parlimen Malaysia dalam memastikan bajet kerajaan benar-benar mendapat maklum balas daripada sebuah badan yang bebas serta berkecuali.

Sama ada kerajaan BN sedar atau tidak, kepentingan penubuhan OBE ini sebenarnya amat mendesak berikutan rakyat mula mempersoalkan setiap inisiatif serta dasar yang cuba diperkenalkan kerajaan.

Justeru, penubuhan OBE dengan kadar segera pasti dapat memberikan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam mewujudkan pentadbiran yang lebih telus terutama sekali menguruskan wang rakyat.

OBE yang dianggotai kumpulan individu profesional dalam bidang masing-masing sudah pasti dapat memberikan input sebagai 'check and balance' kepada kerajaan untuk melaksanakan pelbagai projek, dasar serta inisiatif.

Sudah pasti pemberian subsidi yang kini terus menjadi satu isu yang menghantui kerajaan dalam meredakan kemarahan rakyat akan boleh dirasionalkan dengan input daripada OBE ini.

Ketika ini, Putrajaya dan pembangkang bertembung dalam satu perang angka mengenai kewangan, ekonomi serta subsidi negara hingga menimbulkan pelbagai kekeliruan mengenai berapakah sebenarnya, jumlah subsidi yang disalurkan kerajaan dan siapa yang benar-benar mendapat manfaat.

Dalam isu BR1M sendiri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar menjelaskan kira-kira 2 juta isi keluarga di bandar berada di bawah pendapatan RM3,000 sebulan tetapi ia tidak menjelaskan mengapa lebih 4 juta orang menerima BR1M sedangkan bantuan BR1M lebih diperlukan penduduk di kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar berikutan kos hidup yang lebih tinggi.

Pada masa sama, rakyat juga terus bertanya sama ada kerajaan benar-benar mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam menguruskan kekayaan negara dengan mengurangkan subsidi bahan api tetapi terus berbelanja untuk projek mega.

Kadar cukai kenderaan yang tinggi dengan harga bahan api yang meningkat seakan ada yang tidak kena pada mata rakyat, ke manakah wang yang diperoleh daripada cukai ini disalurkan?

Timbul paradoks di mana kerajaan mengenakan cukai kepada kenderaan tetapi pada masa sama menyalurkan subsidi minyak. Sepatutnya cukai tinggi tidak dikenakan pada kenderaan yang menjadi pengguna kepada minyak dan seharusnya model terbaik adalah dengan memotong subsidi minyak selari dengan keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan duti eksais kepada kenderaan.

Kali ini pula pengurangan subsidi sekali gus menyaksikan kenaikan harga minyak berlatarbelakangkan situasi harga minyak dunia jatuh hampir 20% sejak Jun dan ia amat bertentangan kerana kerajaan tidak perlu berbuat apa-apa berikutan harga minyak turun akhir-akhir ini.

Tindakan kerajaan yang tidak konsisten serta tidak menyeluruh juga menimbulkan tanda tanya kepada rakyat mengenai objektif kerajaan untuk menstruktur semula subsidi dan ekonomi negara.

Segala persoalan mengenai wang rakyat ini, boleh dileraikan jika kerajaan menubuhkan OBE yang bertindak untuk memeriksa dan merasionalkan bajet kerajaan secara keseluruhan demi kepentingan ekonomi negara secara menyeluruh.

Ia juga boleh menyediakan input kepada ahli Parlimen dalam membahaskan bajet kerajaan dan ekonomi secara keseluruhan dengan mendapat maklumat yang terbukti kesahihannya.

Bukan satu rahsia lagi di kalangan rakyat juga ada agensi berkaitan kerajaan terutama sekali Khazanah yang berada di luar daripada bajet kerajaan Persekutuan terbabit dalam menguruskan wang rakyat dan ia terbukti dalam soal syarikat penerbangan negara, MAS.

MAS yang pada asalnya diswastakan, disenaraikan di Bursa Saham kemudian rugi berbilion ringgit akhirnya terpaksa diselamatkan menggunakan wang rakyat sedangkan pengurusan kewangannya berada di luar daripada bajet dan pengawasan Parlimen.

Penggunaan wang rakyat berjumlah RM6 bilion untuk menyelamatkan MAS sebenarnya, menimbulkan banyak persoalan sama ada perdana menteri mendapat input yang tepat dalam pelan pemulihan syarikat berkenaan atau tidak.

Namun disebabkan Najib adalah pengerusi Khazanah, menteri kewangan dan perdana menteri, maka memudahkan pengurusan Khazanah untuk mendapatkan persetujuan daripada badan eksekutif yang dilihat berlaku begitu pantas, disebabkan kedudukan beliau sebagai 'kepala' kepada ketiga-tiga badan kelulusan ini.

Sedangkan, cadangan penggunaan wang rakyat secara langsung sudah pasti memerlukan 'due diligence' yang teliti serta mendapat pandangan semua pihak demi kepentingan rakyat secara keseluruhan bukan saja untuk hari ini malah untuk masa depan negara.

Agaknya apa yang akan terjadi dan siapa yang bakal dipersalahkan jika pelan pemulihan ini gagal?

Jika jawapannya adalah Najib sendiri dan bukan kepada orang yang memohon restunya sudah pasti sebagai pemimpin tertinggi BN peranannya itu akan membahayakan parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Di sinilah kerajaan boleh menggunakan OBE dengan berkesan bagi memastikan tanggungjawab menguruskan wang rakyat tidak hanya diletakkan kepada eksekutif semata-mata sebaliknya turut diteliti dan disemak badan lain yang berkecuali.

Selama ini, kerajaan sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar dengan melantik konsultan termasuk di kalangan konsultan asing untuk mengiyakan terhadap segala projek, dasar serta inisiatif yang hendak dilaksanakan untuk rakyat.

Apa salahnya, pendekatan itu ditukar dengan menubuhkan OBE di Parlimen, yang boleh juga dianggotai pakar asing dalam meneliti projek dan perbelanjaan yang hendak dilaksanakan kerajaan, saya pasti keperluan untuk menggunakan konsultan asing yang tidak bertanggungjawab dengan belanja berbilion ringgit akan dapat dikurangkan.

Ia juga mengecilkan peluang pembangkang untuk 'membelasah' kerajaan dengan memutarbelitkan maklumat bagi mengelirukan rakyat. Tidak perlu takut dalam penubuhan OBE ini jika kerajaan benar-benar ikhlas dan telus dalam menguruskan wang rakyat dan saya percaya banyak manfaat bakal diperoleh kerajaan dalam memastikan sokongan rakyat kembali berada di pihak BN.

Rakyat kini dlihat tidak yakin dengan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan pusat selepas berlaku kemelut menteri besar Selangor baru-baru ini, dan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dipenjarakan, rakyat boleh bersetuju untuk Najib terus menjadi perdana menteri.

Tetapi janganlah terlalu yakin kerana himpitan daripada kenaikan harga barangan, pelaksanaan GST dan juga keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu disebabkan kedudukan ekonomi yang mendatar bagi negara di Eropah, Amerika Syarikat dan China akan juga menyebabkan ekonomi negara tidak cergas seperti yang diwar-warkan baru-baru ini.

Ini belum lagi ditambah dengan tindakan Bank Negara yang mengetatkan pinjaman kepada rakyat dan ahli perniagaan sekali gus menyukarkan untuk mendapatkan pinjaman

Malah saya difahamkan kadar faedah untuk pinjaman perumahan, kenderaan serta kad kredit akan dinaikkan tidak lama lagi bagi mengimbangi nilai Ringgit yang dilihat akan menyusut berbanding mata wang asing sekali gus memeritkan rakyat dan sudah pasti meningkatkan kadar inflasi negara.

Daripada segi hasil kerajaan pula penurunan harga minyak dunia akan mengurangkan keuntungan Petronas untuk membiayai perbelanjaan kerajaan. Semua ini akan berlaku dalam tempoh 3 tahun sebelum PRU14 dan saya berharap kepimpinan atasan kerajaan tidak akan terperanjat sekali lagi dengan keputusan PRU14 yang tidak memihak kepada BN.

Di sini, saya hendak meminjam kata-kata Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dalam hendak memenangi pillihan raya presiden negara itu pada 1992 yang berkata 'It’s the economy, stupid' seharusnya dijadikan sebagai panduan kepada pemimpin atasan Putrajaya dalam menempuh PRU14. – 9 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments