Opinion

NGO Melayu dan perjuangan Umno

Malaysia adalah negara demokrasi, begitu juga dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) baru dan sebab itu, semua pihak bebas untuk menyuarakan pendapat masing-masing asalkan ia tidak menyentuh sensitiviti kaum serta agama.

Mengapa saya kaitkan dengan kebebasan bersuara dalam Umno ? Jawapannya, amat mudah kerana parti ini, perlu dilihat mampu membawa suara dan pendapat ahli akar umbi, itu adalah intipati perjuangan Umno, perjuangan masyarakat akar umbi.

Umno tidak boleh dilihat sebagai sebuah institusi kerana jika ia mula dilabelkan sebagai sebuah institusi, maka hilanglah aura perjuangannya yang mana ahlinya bebas untuk menyuarakan pendapat dengan syarat demi kebaikan serta kelangsungan parti.

Walaupun, perjuangan Umno berkisar kepada perjuangan untuk masyarakat Melayu tetapi ahli-ahlinya tidak boleh sekali-kali lupa bahawa parti serta pemimpinnya membentuk tulang belakang kepada pemerintahan kerajaan ini, sejak 56 tahun lalu.

Jadi, Umno perlu sentiasa sedar bahawa komitmen memastikan keseimbangan kaum dengan tidak mengenepikan agenda Melayu itu, amat penting bukan sahaja kepada negara tetapi untuk survival parti.

Tidak adil untuk menyatakan bahawa Umno selama ini memegang tampuk kuasa disebabkan hanya sokongan orang Melayu semata-mata, sokongan daripada kaum lain sudah terbukti dan sejarah tidak pernah berbohong.

Apabila Umno diharamkan pada 4 Februari 1988 dan ditubuhkan semula sembilan hari selepas itu, adakah orang Melayu pada ketika itu, secara teorinya sedar bahawa kuasa bangsa Melayu dalam kerajaan hilang selama sembilan hari?

Pilihanraya Umum (PRU) ke-10 pada 1999, membuktikan sokongan penuh kaum Cina terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) dan ia dibuktikan sekali lagi pada PRU 11 pada 2004.

Namun sokongan pada Umno turun pada 2008 serta 2013 dan jika dikaji dengan mendalam, ternyata penurunan itu bukan hanya berkisar kepada sokongan masyarakat bukan Melayu kepada Umno dan BN.

Sokongan orang Melayu kepada Umno juga dilihat menurun.  Memang benar bahawa kerusi Umno meningkat daripada 77 pada PRU 12 kepada 88 kerusi pada PRU 13, tetapi bagaimana dengan sokongan bukan Melayu kepada Umno.

Mengapa selepas memberikan sokongan padu kepada Umno pada 1999 dan 2004, masyarakat bukan Melayu mula beralih arah.  Adakah mereka sudah tidak mengenang budi Umno? Atau adakah mereka merasa kedudukan bangsa bukan Melayu terancam walaupun ia dijamin Perlembagaan negara.

Kewujudan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berasaskan kaum sebenarnya, membawa kepada lebih banyak kecelaruan dalam masyarakat.  Jurang perpaduan antara kaum mula membesar.  Semua kaum dilihat lantang memperjuangkan nasib masing sehingga sikap toleransi yang menjadi asas kepada pembentukan negara bangsa ini, semakin kelam.

Jika dilihat ketika ini, semua kaum utama di Malaysia mempunyai NGO yang ditubuhkan untuk menjadi kumpulan pendesak kepada parti serta kerajaan sama ada BN mahu pun Pakatan Rakyat.

NGO ini, dilihat sebagai pengimbang kepada parti politik di Malaysia dengan matlamat supaya nasib kaum-kaum tertentu terus menjadi fokus perjuangan kepada parti politik.

Namun apakah penerimaan masyarakat kepada Umno yang dilihat menyebelahi NGO-NGO yang berhaluan kanan yang agresif bercakap mengenai ketuanan Melayu. Persoalan lain pula, bagaimana penerimaan masyarakat Melayu terhadap NGO-NGO ini? Adakah masyarakat Melayu di kawasan bandar serta luar bandar menerima perjuangan mereka serta akan mendengar 'arahan' mereka ketika PRU atau Pilihanraya Kecil (PRK) supaya memberikan sokongan kepada Umno atau BN ?

Jadi, adakah NGO-NGO ini, benar mewakili suara majoriti dalam masyarakat Melayu dengan mendakwa mempunyai ahli yang mencecah ratusan ribu sehingga mampu untuk mengenepikan asas perjuangan Umno.

Pada masa sama, NGO-NGO ini juga tidak mempunyai pengiktirafan daripada segi kerja amal dan jasa yang diiktiraf oleh masyarakat umum.  Tidak seperti Mercy atau Kelab Putera 1Malaysia yang aktif menjalankan aktiviti kemanusiaan sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Saya sebenarnya, bimbang dengan kelantangan NGO-NGO ini, dalam isu berkaitan dengan ketuanan Melayu sehingga dilihat sering menghiris hati masyarakat bukan Melayu. Lebih membimbangkan, apabila Umno dikaitkan dengan sifat agresif NGO-NGO ini, sehingga mengurangkan sokongan bukan Melayu kepada parti setiap kali berlaku PRU atau PRK.

Bukan hendak menidakkan sokongan NGO ini, kepada Umno tetapi selama ini, jika diimbau semula sejak penubuhan parti keramat ini, 67 tahun lalu, sokongan masyarakat Melayu atau bukan Melayu sentiasa kuat.

Ia disebabkan perjuangan Umno itu sederhana, walaupun perjuangan demi “alif ba dan ta” (agama, bangsa dan tanah air) nasib kaum bukan Melayu turut dipelihara dan dijaga.

Semangat perkongsian kuasa inilah, yang menjadi kekuatan kepada pembentukan Malaysia dan sudah pasti pengimbang serta pengikatnya sejak 1957 adalah Umno.

Atas sebab itu, apabila Umno kehilangan kuasa selama sembilan hari pada 1988, Presiden MCA yang juga seorang kaum Cina menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan tidak timbul sebarang usaha untuk kaum bukan Melayu mahu merebut kuasa politik BN daripada Umno.

Sebagai ahli Umno, pemimpin Umno serta Ahli Parlimen kepada semua kaum, bukan perkara baru kepada saya apabila pandangan serta kenyataan saya dipandang rendah. Saya pernah dituduh dengan pelbagai gelaran dalam usaha untuk menyuarakan suara akar umbi dalam Umno.

Ia sama sekali tidak akan menjejaskan usaha atau melunturkan semangat saya untuk membuktikan bahawa Umno masih relevan bukan sahaja kepada masyarakat Melayu tetapi juga bukan Melayu.

Pada pendapat saya, kekuatan pemimpin dikira dengan berapakah jumlah sokongan di belakangnya, tetapi NGO-NGO yang banyak bersuara sekarang tidak nampak sokongan rakyat terhadap mereka.  Adakah mereka mempunyai agenda peribadi sendiri ?

Sebagai Ketua Umno bahagian dan Ahli Parlimen Pulai yang sudah tiga kali berhadapan dengan PRU serta pemilihan parti  jelas terbukti mempunyai pengikut setia di belakang saya sama ada di peringkat Parlimen dan Umno Pulai.

Setiap kali saya dilemparkan dengan pelbagai tuduhan hingga ada yang menuduh saya rasuah, menggesa supaya meletakkan jawatan, ingatan saya mengimbau kepada perjuangan allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, ayahanda saya.

Beliau berusaha keras menubuhkan semula Umno 25 tahun lalu dengan hati serta rohnya, semata-mata percaya kepada perjuangan parti serta pentingnya kelangsungan survival Umno kepada generasi masa depan orang Melayu.

Saya mengalu-alu usaha NGO-NGO ini, yang bertujuan menguatkan Umno tetapi janganlah sampai usaha ini, merosakkan parti sehingga memberikan imej negatif di kalangan masyarakat terutama sekali pengundi dalam PRU kelak.

Suku abad Umno sudah ditubuhkan semula, namun perjuangan orang Melayu terus berliku dan kini semakin banyak timbul NGO-NGO Melayu berhaluan kanan, adakah ia pelengkap kepada perjuangan Umno atau Umno perlu bergantung kepada mereka untuk kelangsungan survivalnya. - 14 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments