Opinion

MH370, hilang dengan 1001 persoalan dan kelemahan

Semalam, genap 14 hari atau lebih tepat lagi 336 jam, pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 jenis Boeing 777-200 hilang daripada radar dunia bukan sahaja Malaysia, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China.

Nasib 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu, terus menjadi tanda tanya ketika sanak saudara mereka berkumpul di Kuala Lumpur dan Beijing menunggu dan mengira setiap detik bagi mendapatkan berita sebenar apa yang terjadi dan pengakhiran kisah MH370 yang ghaib sejak 8 Mac lalu.

Tidak dinafikan sepanjang dua minggu ini juga, buat pertama kalinya, Malaysia menjadi tumpuan seluruh dunia dengan berita mengenai kehilangan pesawat MH370 menghiasi dada akhbar serta siaran televisyen utama dunia.

Bukan itu sahaja, kehilangan pesawat ini turut menjadi topik paling utama dalam media sosial dunia sama ada Facebook, Twitter dan sebagainya, selain pelbagai idea, persoalan, teori dan gambaran dilaporkan di blog-blog peribadi.

Namun, semua persoalan dan teori yang dilempar dan diberikan terhadap kehilangan pesawat yang lebarnya kira-kira 200 kaki ini, secara tidak langsung akan menulis sejarah baru dalam industri penerbangan dunia untuk abad ke-21 ini.

Pada masa sama ia juga membuka mata semua pihak sama ada di pihak kerajaan, pembangkang dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengenai dasar pertahanan negara terutama sekali keselamatan ruang udara negara.

Tanpa kita sedari seluruh dunia membuat pelbagai analisis terhadap kehilangan pesawat MH370 ini, termasuk juga analisis terhadap kelemahan pertahanan ruang udara Malaysia.

Timbul juga persoalan terhadap keselamatan lapangan terbang negara terutama sekali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengenai penggunaan pasport curi serta  palsu untuk keluar masuk ke Malaysia yang digunakan dua penumpang yang menaiki pesawat MH370.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia, saya berpendapat tahap keselamatan negara bukan sahaja di KLIA atau klia2 selain semua lapangan terbang dan pintu masuk darat serta laut perlu dipertingkatkan dengan segera.

Mengambil contoh klia2 yang akan beroperasi pada 2 Mei ini, dan dijangka dapat mengendalikan penumpang sehingga 45 juta orang.  Jika ditambah dengan KLIA, sekurang-kurangnya jumlah penumpang yang akan keluar dan masuk di negara ini, hampir 100 juta orang.

Berikutan itu, seharusnya semua pintu masuk dan keluar negara ini, perlu dilengkapi kemudahan pangkalan data penjenayah bukan sahaja yang membabitkan peringkat domestik tetapi juga rantau Asia dan antarabangsa.

Pada zaman teknologi jenayah yang sentiasa cuba mengatasi teknologi pemantauan serta pencegahan pihak keselamatan, kerajaan perlu berbelanja dalam soal keselamatan, dengan memastikan semua pintu masuk negara sama ada udara, darat dan laut mempunyai pangkalan data penjenayah yang dihubungkan ke pangkalan Interpol.

Ketika ini, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang mempunyai kawalan keselamatan yang longgar di pintu masuk dan atas sebab itu, negara sering dilabelkan sebagai pusat transit untuk jenayah pemerdagangan manusia serta penyeludupan dadah.

Mengambil iktibar itu, saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya kerajaan memikirkan satu sistem keselamatan yang menyeluruh dan mengkaji semula semua Standard Operasi Prosedur (SOP) di semua pintu masuk negara bukan sahaja di lapangan terbang.

Semua kakitangan kerajaan yang bertanggungjawab untuk urusan keluar masuk negara selain keselamatan seperti polis, tentera, imigresen, kastam dan APMM perlu menjalani latihan baru serta mempelbagaikan langkah pencegahan bagi mengelakkan berlaku 'kebocoran' dalam soal keselamatan di semua pintu masuk ini. Namun, untuk mengetatkan kawalan keselamatan di semua pintu masuk ini, perlu turut mengambil kira keselesaan penumpang serta pelancong memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang turut bergantung kepada industri pelancongan.

Sepanjang tempoh dua minggu MH370 hilang, Malaysia meletakkan soal pertahanan negara di tempat kedua bagi membolehkan segala data risikan serta analisis radar tentera dikongsi bersama dengan 26 negara yang sama-sama menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Tetapi, ramai turut tertanya-tanya di manakah sebenarnya tahap kesiapsiagaan 'state of readiness' Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama sekali Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Saya memandang serius mengenai isu keselamatan serta pertahanan negara kerana dalam kita cuba berbuat baik dengan mana-mana pihak, ada kumpulan yang sebenarnya, cuba mengeksploitasikan kebaikan ini.

Justeru, dalam tragedi yang berlaku terhadap pesawat malang ini, siapakah yang akan memikul tanggungjawab terhadap apa yang berlaku sehingga mengakibatkan kapal terbang sebesar hampir sekali ganda padang bola boleh hilang daripada radar awam dan tentera negara dalam tempoh beberapa jam.

Seseorang perlu memikul tanggungjawab ini, memandangkan ia membabitkan soal keselamatan serta kedaulatan negara dan sudah pasti, kehilangan pesawat MH370 ini, bukan disebabkan masalah teknikal pesawat tetapi lebih kepada kecuaian manusia.

Mengapa saya katakan ia kecuaian manusia? Ia disebabkan berdasarkan apa yang dimaklumkan dalam sidang akhbar Datu Seri Najib Razak, Sabtu minggu lalu, mengesahkan bahawa pesawat MH370 berpatah balik memasuki ruang udara Malaysia.

Bagi membolehkan pesawat berkenaan menghala ke koridor utara iaitu ke Thailand dan Kazakhstan, ia perlu melalui ruang udara Malaysia.  Begitu juga jika 'seseorang' di dalam pesawat itu membuat keputusan menghala ke koridor selatan iaitu ke Indonesia dan Lautan Hindi, tetap MH370 perlu melalui ruang udara Malaysia. Jadi mengapa TUDM tidak bertindak apabila mengesan sebuah pesawat berpatah balik masuk ke ruang udara negara? Rakyat berhak mengetahui mengapa tiada tindakan segera diambil kerana ia jelas suatu bentuk 'ancaman' terhadap ruang udara negara.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa tempoh masa yang diambil untuk sebuah pesawat dari KLIA untuk menghala ke Seri Perdana, Putrajaya tidak sampai dua minit manakala hanya lima minit ke Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Saya tidak mahu menjadi pakar konspirasi dalam misteri MH370 dengan menimbulkan pelbagai teori tetapi 'seseorang' daripada kerajaan iaitu Kementerian Pertahanan atau Pengangkutan 'berhutang' kepada rakyat mengenai penjelasan ini.

Soal ini, adalah soal kedaulatan negara, dan secara terang-terangan adalah ancaman terhadap keselamatan negara kerana sepatutnya selepas peristiwa 9 September 2011, Malaysia turut mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam soal menjaga pertahanan negara terutama sekali ruang udara.

Daripada pengamatan saya sebagai ahli PAC sejak enam tahun lalu sehingga dilantik sebagai pengerusi Julai tahun lalu, kementerian-kementerian banyak memohon membeli peralatan canggih terutama sekali Kementerian Pertahanan.

Timbul juga keraguan sama ada peralatan ketenteraan dibeli itu benar-benar suatu keperluan atau pembelian yang dibuat semata-mata untuk membeli peralatan sahaja tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota selepas ia dibeli, mungkin berikutan kurang pengetahuan atau kurang latihan.

Ketika negara mencapai kemajuan dalam bidang sains serta teknologi sehingga mampu menghantar rakyat ke ruang angkasa, adakah kita mahu menjelaskan bahawa sistem pertahanan ruang udara tidak mampu mengesan atau mengenal pasti objek asing yang memasuki ruang udara.

Pada masa sama, kerajaan sentiasa memperuntukkan bajet besar untuk sistem pertahanan negara dan diakui bahawa radar yang digunakan Malaysia adalah yang tercanggih di dunia tetapi mengapa ia masih gagal mengesan pesawat berkenaan.

Siapa yang hendak dipersalahkan? Adakah kerajaan iaitu barisan menteri hendak dipersalahkan atas kegagalan membaca data pertahanan? Sebab itu berulang kali saya katakan bahawa perkakasan dan perisian yang 'state of the art' tidak memberikan sebarang makna jika sumber manusia bersikap acuh tidak acuh atau culas.

Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak atau merendah-rendahkan kewibawaan anggota ATM atau pihak berkuasa dalam soal ini, namun perlu ada suatu tindakan tegas diambil.

Lihat sahaja bagaimana kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini, mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang didapati menipu dalam peperiksaan yang perlu diambil bagi megendalikan peralatan nuklear dan ia dihebahkan bagi memberikan pengajaran kepada semua.

Contoh ini, yang perlu diambil kerajaan sebagai contoh kepada kakitangan awam di Malaysia supaya tidak memandang ringan dan mudah kerja mereka dengan tindakan tegas diambil kepada mereka yang gagal menjalankan tugas seperti yang dipertanggungjawabkan.

Melihat kepada pelbagai dakwaan negatif terhadap kerajaan yang dituduh media asing terutama sekali daripada Barat bahawa kita gagal dan tidak serius dalam melaksanakan operasi SAR MH370 adalah sesuatu yang tidak memelikkan.

Namun adalah sesuatu yang pelik apabila pembangkang turut mendendangkan nada sama dengan menghentam kerajaan dan operasi SAR MH370 yang dijalankan selain menuduh nahas berkenaan adalah 'ciptaan' BN.

Sesuatu yang amat menyedihkan apabila isu seperti ini, dipolitikkan sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua umum Pakatan tergamak mendakwa bahawa dia lebih baik dalam menangani isu ini, semata-mata bagi meraih undi dan menarik perhatian dunia terhadapnya.

Sebenarnya, banyak pengajaran yang diambil serta kutip daripada tragedi MH370 ini, dan dapat diperhatikan ada di kalangan pegawai kerajaan sudah lupa cara untuk mengurus sesuatu krisis kerana terlalu biasa dengan kerja rutin iaitu mentadbir.

Mentadbir serta mengurus adalah dua perkara yang berbeza dan kedua-dua keupayaan ini, perlu seiringan bagi memastikan semua kerja yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Walau apa pun yang berlaku pada MH370, saya sentiasa mendoakan yang terbaik kepada semua penumpang dan anak kapal di dalamnya tetapi jangan sekali-kali kita lupa pengajaran yang perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak terus dilemparkan dengan pelbagai tuduhan di peringkat antarabangsa hingga menimbulkan krisis keyakinan dunia kepada negara ini.

Tidak lupa juga saya ingin ucapkan selamat mengundi kepada pengundi DUN Kajang pada hari esok.  Pilihlah wakil rakyat yang benar-benar dapat berkhidmat kepada anda bukan wakil rakyat yang hanya pandai bercakap dan menjanjikan bulan bintang. – 22 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments