Opinion

Meminjam daripada generasi masa depan bukan model sebenar PFI

Akhirnya pada 16 Jun 2015, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia berjaya membentangkan Laporan Berhubung Prosedur Kawalan Pengurusan Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd yang sebelum ini digembar-gemburkan pembangkang menanggung hutang sehingga RM27.862 bilion.

Malah lebih buruk lagi, persepsi terhadap syarikat ini digambarkan menanggung hutang sehingga boleh menjadi seperti syarikat 1MDB yang kini sedang berhadapan dengan prosiding PAC berhubung kawalan tadbir urusnya.

Syarikat Pembinaan PFI ini sebenarnya, mencuri perhatian apabila ia dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 (siri 3) sebagai sebuah syarikat kerajaan yang mempunyai liabiliti tinggi sedangkan, tidak banyak diketahui mengenai peranan dan fungsinya selama ini.

Berikutan itu, PAC Parlimen Malaysia membuat keputusan untuk memanggil Kementerian Kewangan yang diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah pada 18 Mac 2015.

Pertimbangan yang saya bersama 12 ahli jawatankuasa diambil bagi memulakan prosiding Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd adalah bagi memberikan maklumat sebenar kepada rakyat, apa sebenarnya yang dilakukan syarikat milik 100% Kementerian Kewangan dan mengapa ia boleh menanggung hutang sehingga hampir RM30 bilion apabila ia mula beroperasi sejak 2006.

Pada masa sama, PAC berpendapat kerajaan perlu lebih telus kepada rakyat mengenai wang yang digunakan syarikat ini kerana ia membabitkan wang rakyat selain mengelakkan persepsi negatif terus dilemparkan pembangkang kepada rakyat.

Dalam prosiding selama lebih dua jam itu di hadapan  12 ahli PAC Parlimen Malaysia, Irwan menerangkan fungsi Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd yang secara rasmi ditubuhkan pada 28 September 2006 sebagai Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik Kementerian Kewangan.

Dalam penerangan itu, PAC Parlimen Malaysia diterangkan mengenai objektif penubuhan syarikat ini adalah untuk memperoleh dana bagi membiayai projek/aktiviti yang dikenal pasti kerajaan.

Sebenarnya, Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd mempunyai struktur penjanaan dana yang terbahagi kepada dua iaitu PFI 1 dengan dana berjumlah RM20 bilion melalui perjanjian pinjaman yang ditandatangani dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2007 dengan kadar faedah 0.5% di atas kadar faedah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dengan bayaran balik perlu dibuat secara “bullet payment” dalam tempoh lima tahun.

Pinjaman ini sudah dijadualkan semula dengan tempoh bayaran balik 15 tahun mulai 2013 hingga 2027.

Manakala struktur penjanaan dana PFI II pula berjumlah RM10 bilion diperoleh daripada KWSP dengan tempoh bayaran balik selama 10 tahun dan Irwan memberi jaminan semua dana ini diuruskan Kementerian Kewangan mengikut tatacara kewangan semasa.

Melalui pinjaman daripada kedua-dua dana ini iaitu PFI I dan PFI II, kerajaan memperoleh dana sebanyak RM30 bilion daripada KWSP serta KWAP dan sebab mengapa kerajaan memilih kedua-dua agensi ini adalah disebabkan kedua-duanya menawarkan kadar pembiayaan lebih rendah berbanding bank komersil.

Selain itu, kedua-dua agensi ini pasti akan menikmati keuntungan jangka panjang melalui faedah pinjaman yang dibayar kerajaan berikutan pinjaman dana untuk Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd ini sekali gus dinikmati pencarum kedua-dua agensi ini yang terdiri daripada pegawai awam dan swasta.

Kerajaan melalui Kementerian Kewangan juga menjelaskan kepada PAC Parlimen Malaysia hasil daripada dana berjumlah RM20 bilion untuk PFI I, sudah digunakan bagi membiayai sejumlah 547 projek seperti pembinaan sekolah, hospital dan sebagainya melalui Syarikat Pembinaan dengan melaksanakan projek yang tidak dapat dilaksanakan melalui peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Ia sekali gus membolehkan projek-projek ini dapat dilaksanakan lebih awal dan tidak perlu menunggu antara 10 dan 20 tahun lagi yang mana kos pembinaannya sudah pasti lebih tinggi.

Sebagai seorang akauntan bertauliah, saya perlu akui kerajaan menggunakan kaedah perakaunan unik untuk Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd ini, tetapi ia juga memberikan impak kepada kedudukan kewangan kerajaan.

Ini kerana di bawah kaedah perakaunan tunai, hutang selama 20 tahun ini, diakaunkan setiap tahun dan  tidak direkodkan pada masa kini sedangkan di bawah kaedah perakaunan akruan yang akan dilaksanakan kerajaan tidak lama lagi, hutang ini direkodkan sekarang dan sudah pasti cara ini, boleh mengelirukan pengiraan hutang kerajaan yang sebenar.

Ia memandangkan pinjaman untuk Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd ini, dilakukan secara “off budget” kerana tidak dimasukkan dalam bajet tahunan yang dibentangkan kerajaan setiap tahun.

Perbelanjaan “off budget” ini boleh menimbulkan keraguan angka-angka yang diterbitkan dalam bajet dan tidak mencerminkan kedudukan kewangan kerajaan sebenar termasuk angka “contingent liability”, pengiraan defisit dan hutang kerajaan.

Kerajaan sebenarnya, mencagarkan tanahnya kepada KWSP dan KWAP sebelum membayar balik pinjaman kepada kedua-dua agensi berkenaan sekali gus membolehkan tanah berkenaan kekal milik kerajaan.

Di sinilah yang saya maksudkan sebagai kaedah perakaunan unik digunakan dan Syarikat Pembinaan PFI ini, juga tidak mempunyai sebarang pengurusan syarikat atau aset memandangkan semua urus niaga dikawal selia Bahagian Menteri Kewangan Diperbadankan milik Kementerian Kewangan.

Walaupun, niat kerajaan baik iaitu mempercepatkan pembinaan infrastruktur awam dengan mendapatkan dana secara terus melalui KWSP dan KWAP tanpa perlu melalui kelulusan Parlimen dalam bajet tahunannya, tetapi secara logiknya kerajaan pada hari ini sudah meminjam daripada generasi masa depan bagi membina terlebih dahulu kemudahan awam berkenaan.

Ia juga memberi makna generasi masa depan hanya perlu menyenggara infrastruktur awam yang dibina pada masa kini, namun sehingga kini komitmen kerajaan bagi menyenggara kemudahan awam terus dipersoalkan.

Kita tidak boleh menafikan betapa mentaliti penyenggaraan di negara ini termasuk di pihak kerajaan sendiri amat rendah dan pelbagai contoh dapat dilihat apabila banyak berlaku kegagalan dalam menyenggara bangunan-bangunan milik kerajaan.

Dapat disaksikan betapa kemudahan awam milik kerajaan seperti kuarters kerajaan berada dalam keadaan daif selepas berusia lebih 10 tahun disebabkan kurangnya penekanan terhadap aspek penyenggaraan.

Mengambil contoh kuarters milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang majoritinya kini berusia lebih 10 tahun, saya dimaklumkan pihak berkuasa keselamatan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM250 setahun juta untuk menyenggara kuarters di seluruh Malaysia.

Namun, peruntukan penyenggaraan yang diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mempunyai lebih 5 jabatan di bawahnya termasuk PDRM hanya berjumlah RM500 juta setahun.

Di sinilah, kelemahan utama kerajaan dalam memastikan semua aset miliknya terutama sekali membabitkan hak milik awam sentiasa terpelihara dan boleh digunakan serta dinaiktarafkan jika keadaan memerlukan.

Apa yang berlaku kini, adalah pemandangan yang menyakitkan mata apabila kita pergi ke kuarters kerajaan dengan ada unit yang langsung tidak boleh didiami sehingga menyebabkan berlaku pembaziran dalam pengurusan kewangan kerajaan itu sendiri.

Atas sebab itu, saya menyarankan supaya setiap kementerian mempunyai Unit Aset sendiri bagi memantau semua aset kerajaan terutama membabitkan kepentingan awam seperti kuarters kerajaan.

Tidak ada gunanya kerajaan terus meminjam seperti yang digunakan dalam Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd apabila meminjam sehingga tempoh 15 tahun seperti mengambil hak daripada generasi masa depan untuk menguruskan negara.

Walaupun niat kerajaan itu baik tetapi ia kaedah pelaksanaan serta perancangan menggunakan Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd ini, boleh dipertikaikan kerana ia dibuat di luar bajet tahunan yang diluluskan Parlimen.

Disebabkan itu, isu seperti ini terus mudah dipolitikkan dan tanpa penjelasan yang teliti serta bijak daripada kerajaan terutama menteri Kabinet, rakyat terus berprasangka buruk terhadap Putrajaya kerana gagal menguruskan kewangan negara dengan baik.

Mengambil iktibar berkenaan serta tidak mahu isu hutang Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd ini terus dipolitikkan, PAC membuat syor supaya peruntukan dan perbelanjaan bagi projek di bawah PFI perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen. 

Selain itu juga segala bentuk perbelanjaan “off-budget” yang serupa seperti PFI ini juga perlu dilaporkan secara telus.

Contoh perbelanjaan luar bajet ini mungkin perlu untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) sekarang tetapi ia sesungguhnya tidak adil kepada pemimpin dan generasi masa depan negara.

Terpulanglah kepada kerajaan untuk mengambil tindakannya kerana yang pasti rakyat terus memantau tindak tanduk Putrajaya dengan teliti dan akan membuat keputusan sama ada BN dan Umno terus diberikan peluang memerintah dalam tempoh tiga tahun lagi. – 27 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments