Opinion

‘Mampu’kah Putrajaya eksploitasi penggunaan ‘big data’

Baru-baru ini, saya dikunjungi kumpulan syarikat media sosial antarabangsa antaranya Facebook, Google, Twitter dan Apple yang ingin mengetahui beberapa perkara berhubung dasar serta inisiatif kerajaan mengenai dunia internet terutama sekali berkaitan dengan inisiatif “Big Data” data raya kerajaan.

Sedikit teruja kerana syarikat media sosial antarabangsa ini mengakui betapa besar pasaran perdagangan Internet di negara ini, antara yang berkembang pesat di rantau Asia Pasifik dengan tidak hanya terhad kepada komunikasi semata-mata tetapi turut melangkaui dalam bidang perniagaan dan ekonomi.

Namun sebenarnya, kepesatan penggunaan media sosial di negara ini juga mengundang kepada sisi negatif terutama sekali membabitkan keselamatan rakyat dan negara ini secara keseluruhannya.

Rakyat Malaysia kebanyakannya tidak sedar inisiatif “Big Data” di mana maklumat mereka dikumpul dalam skala besar oleh syarikat seperti Google dan Facebook dan kerajaan yang berminat seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Entiti ini memasang kuasa pengkomputeran besar-besaran pada kos yang besar untuk melombong, merakamkan, menyimpan, menganalisis dan membayangkan lambakan data di Internet dan alam siber untuk mengenal pasti trend perniagaan, trend perlakuan sosial, kesihatan, cuaca dan keselamatan.

Ia sekaligus meningkatkan kualiti penyelidikan, mencegah wabak, memerangi jenayah dan kenal pasti situasi pada masa sebenar dalam banyak aplikasi seperti trafik lalu lintas, meteorologi dan genomik.

Hasil daripada analisis “Big Data” ini pada masa sebenar ‘real time’ memberikan kuasa kepada syarikat dan kerajaan berkenaan untuk meramalkan masa depan dan menghalakan sumber mereka untuk mempengaruhi perniagaan dunia akan datang, politik dan ekonomi.

Hari ini, syarikat-syarikat teknologi maklumat ini mempunyai pangkalan data yang luar biasa mengenai rakyat negara ini sehingga mampu untuk mempengaruhi pemikiran daripada luar negara.

Justeru, sudah pasti “tangan halimunan” mereka untuk masuk campur dalam hal ehwal negara memberikan ancaman keselamatan yang besar terhadap negara dan individu kerana data ini mula dikumpul sejak zaman kanak-kanak lagi.

Dan data ini boleh digunakan untuk tujuan baik dan juga buruk sewaktu penggunannya dewasa nanti.

Persoalannya ialah sama ada kerajaan kita dan rakyat memahami potensi bahaya yang boleh syarikat ini lakukan untuk mempengaruhi masa depan negara kita dengan membina profil peribadi yang boleh digunakan bagi setiap rakyat Malaysia selepas memperolehinya melalui cara paling halus apabila pengguna secara sukarela memberikan butiran peribadi mereka ke alam siber.

Rakyat adalah aset paling bernilai bagi sesebuah negara dan pembangunan sesebuah negara amat bergantung pada rakyatnya dan dengan banyak maklumat peribadi warga negara ini berada di alam siber, kita perlu memastikan ia tidak digunakan untuk menggangu gugat keselamatan dan ekonomi negara sekiranya sasaran mereka pemimpin politik, korporat dan kerajaan pada masa akan datang.

Kerajaan memainkan peranan untuk memperuntukkan prasarana pembelajaran pengetahuan dan fizikal untuk membangunkan sumber manusianya, sebelum adanya Internet, interaksi antara kerajaan dan rakyatnya hanya bersifat sehala tanpa maklum balas yang penting daripada rakyat.

Kerajaan sudah menjadi terbiasa memformulasikan dasar tanpa mencerminkan kehendak sebenar rakyat tetapi dengan Internet dan alat media sosial, rakyat kini berkuasa menyuarakan pendapat mereka dan berinteraksi secara serta-merta dan itu mencabar kerajaan untuk dengan cepat memberi respons kepada keperluan mereka.

Hari ini mana-mana kerajaan yang gagal membaca isyarat data daripada rakyatnya akan gagal, ini kerana rakyat mahu dasar kerajaan dan tindakan yang memberi cerminan kepada kebajikan mereka.

Oleh itu kerajaan hari ini, perlu merancang cara mengumpul dan memahami “Big Data” yang ada dalam alam siber hari ini untuk mengenali rakyatnya secara individu dan bertindak balas kepada keperluan mereka dengan lebih baik.

Putrajaya perlu berfikir dengan gambaran lebih besar dan mempertingkat keupayaan pengurusan “Big Data” yang ada di alam siber.

Pada masa ini, kerajaan mengumpul data rakyatnya menerusi pelbagai punca seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Masalahnya ialah data ini tidak terkini dan tidak bersepadu untuk membolehkan kerajaan menganalisisnya dan bertindak terhadap segala isu terkini yang menjadi keperluan serta kehendak rakyat.

Selain itu, masalah lain ialah pemerolehan sistem teknologi maklumat (IT) untuk kerajaan dilakukan secara tidak berpusat. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) sebagai agensi kerajaan pusat bertanggungjawab terhadap IT menghadapi kesukaran menyeragamkan spesifikasi sistem antara jabatan kerajaan, menyebabkan kesukaran untuk mengumpul data berguna.

Kerajaan patut mengambil tindakan serta-merta untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat rakyatnya dengan mempertingkat dan membuat prasarana ITnya lebih luas merentasi jabatan kerajaan yang ada interaksi dengan orang awam.

Keupayaan IT lebih luas itu juga boleh membantu kerajaan mempertingkat pencapaian kewangan dan operasinya dengan merekodkan setiap transaksi dan mencipta jejak audit sekali gus membina institusi memori bank data untuk kerajaan.

Prasarana IT ini mengurangkan kebergantungan kepada campur tangan manusia dan mempertingkat kebertanggungjawaban, ketelusan dan kredibiliti dalam kerajaan.

Kebajikan dan keselamatan negara ini juga dikompromi dengan keupayaan organisasi asing tertentu dalam mendapatkan maklumat peribadi rakyat kita bagi tujuan yang boleh mengancam keselamatan individu terbabit.

Lihat sahaja bagaimana sindiket yang diterajui rakyat Afrika menggunakan media sosial seperti Facebook untuk memperdayakan rakyat negara ini khususnya kaum wanita dengan melakukan pelbagai jenayah seperti penipuan dan seks.

Data profil setiap rakyat yang menggunakan alam siber dari sejak lahir dengan mudah boleh diperolehi hari ini dan mana-mana maklumat rahsia berkaitan kesihatan dan perilaku dikumpulkan dengan mudah akan menjejaskan integriti seseorang bakal ahli politik, penjawat awam, anggota keselamatan atau pemimpin korporat jika kuasa asing membuat keputusan untuk menggunakan maklumat itu terhadap mereka dan membahayakan keselamatan negara.

Sebagai contoh ialah apabila ketua CIA Amerika Syarikat yang terpaksa meletak jawatan kerana hubungan sulitnya diketahui daripada perbualan menerusi e-melnya dan dianggap menjejaskan kedudukannya.

Risikan siber yang sensasi didedahkan bekas ejen CIA Edward Snowden juga meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan siber negara kita sendiri.

Saya beranggapan perkakasan dan perisian kerajaan akan siap sedia untuk melindungi privasi data rakyatnya... tetapi betulkah kerajaan sudah bersedia?

Ini kerana saya terkejut apabila mendapat tahu fungsi keselamatan siber negara tidak bersepadu di bawah satu arahan berpusat sebaliknya berlaku pertindihan dalam fungsi antara jabatan dan kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan siber.

Beberapa tahun lalu, saya pernah menghadiri mesyuarat keselamatan siber Asean di Tokyo, Jepun dengan Malaysia diwakili Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Dalam mesyuarat itu, saya terkejut apabila mendapati menteri komunikasi negara lain mempunyai kuasa terhadap jabatan keselamatan siber negara masing-masing, tetapi ia tidak berlaku di negara ini, kerana jabatan berkenaan di bawah kawalan Kementerian Sains dan Teknologi.

Saya rasa keadaan itu bukan satu kebiasaan dan ia juga menjadikan usaha keselamatan siber kita tidak efektif kerana keselamatan siber tidak disatukan di bawah satu menteri sedangkan ia berkait rapat dengan komunikasi selain memandangkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) terletak dalam bidang kuasa Kementerian Komunikasi.

Untuk menjadi berkesan dalam melindungi data kerajaan dan rakyat, kerajaan perlu menyusun semua yang berkaitan jabatan keselamatan siber dan pelaksananya, SKMM untuk berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Pada masa sama, kerajaan perlu mengeksploitasikan penggunaan “Big Data” ini, sepenuhnya dengan menganalisis data-data ini bagi digunakan bagi mengintegrasikan prosedur kerajaan sekaligus boleh mengurangkan campur tangan manusia seperti dalam perolehan kerajaan.

Sebenarnya, keupayaan menganalisis “Big Data” ini dapat mengubah cara kerja kerajaan dengan menumpukan terhadap penggunaan sumber manusia secara optimum dan untuk jangka masa panjang dengan keberkesanaan data-data ini, kerajaan boleh membuat keputusan untuk menutup operasi agensi atau jabatan kerajaan yang tidak lagi relevan.

Ia sekaligus dapat mengurangkan kos pentadbiran dan saiz penjawat awam tetapi dapat melicinkan lagi operasi kerajaan dengan lebih efisien, telus dan berakauntabiliti.

Putrajaya perlu sedar dalam dunia teknologi yang sering berubah dengan pesat, belum terlewat untuk mengambil tindakan tetapi ia memerlukan kebijaksanaan serta jangkaan pemikiran tetapi yang lebih penting pelaksanaan berterusan daripada pemimpin atasan untuk melihat mengenai inisiatif “Big Data” dan mengeksploitasikannnya sekaligus dengan cara itu boleh melindungi rakyat kita di alam siber dengan lebih baik.

Dalam wawasan 20 tahun lalu Malaysia pernah berfikir jauh dengan melancarkan Koridor Multimedia (MSC) yang sepatutnya memberikan kelebihan sebagai penggerak pertama “first mover” dalam bidang ini, tetapi selepas kemeriahan majlis pelancarannya dan dua tiga pertemuan dengan gergasi antarabangsa seperti Bill Gates dalam Panel Penasihat MSC sekarang ini, Malaysia kembali ketinggalan jauh dalam perlumbaan IT global.

Jadi bagaimana Malaysia mahu menjadi pemain utama dalam rangkaian pengeluaran global seperti yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – 21 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments