Opinion

Mampukah MAS catat untung dengan pelan Khazanah?

Tanpa sebarang liputan media meluas, ketua pegawai eksekutif (CEO) MAS yang baharu atau kini dikenali sebagai MASNewCo, Christoph R. Mueller sudah memulakan tugasnya bagi melaksanakan pelan penstrukturan syarikat penerbangan nasional itu sejak 1 Mac 2015 lalu.

Mueller sudah pasti sedar tugasnya amat mencabar dan amat berbeza dengan apa yang pernah dilaluinya ketika memimpin syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus Plc memandangkan MAS melalui dua nahas tragedi membabitkan MH370 dan MH17 tahun lalu sehingga menyebabkan timbul pelbagai spekulasi mengenai tahap keupayaan syarikat berkenaan.

Pada masa sama, pengumuman 12 langkah pelan penstrukturan MAS yang diumumkan pemiliknya, Khazanah Nasional 29 Ogos tahun lalu, sebelum Mueller memasuki pejabatnya juga pasti akan menambahkan lagi beban warga Jerman itu.

Apa yang pasti pelan penstrukturan yang dilakukan tanpa mengambil kira pandangan dan pendapat Mueller dan juga kakitangan MAS untuk beliau mengubah prestasi kewangan MAS daripada rugi kepada untung dalam tempoh tiga tahun berhadapan dengan pelbagai risiko.

Ia bertambah berat memandangkan wang yang disuntik Khazanah berjumlah RM6 bilion datangnya daripada kerajaan yang sudah pasti milik rakyat Malaysia walaupun 30 tahun lalu MAS diswastakan.

Seperti yang pernah saya huraikan dalam artikel saya bertajuk “Pemulihan MAS perlu faktor wau bukan ‘déjà vu” yang disiarkan portal berita ini pada 4 Januari lalu, semua yang digariskan dalam 12 langkah pelan berkenaan lebih menjurus kepada membersihkan “balance sheet” semata-mata dengan harapan untuk diapungkan semual di Bursa Saham bagi kepentingan permainan Saham Khazanah.

Semua mengetahui apa yang diperlukan MAS ketika ini, adalah pengukuhan operasinya dalam memastikan ia benar-benar dapat mencatatkan keuntungan berkekalan bukan sekadar dalam tempoh tiga tahun akan datang sahaja.

Dan apabila kita memperkatakan mengenai operasi sudah pasti tidak dapat lari daripada sumber manusia yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan sesebuah syarikat dan ia termasuk juga dengan MAS.

MAS mempunyai sejumlah kira-kira 16,000 kakitangan dan daripada jumlah itu, 2,000 adalah juruterbang; 3,500 krew penerbangan iaitu pramugara dan pramugari manakala bakinya adalah kakitangan pentadbiran serta kejuruteraan.

Justeru apabila melihat semula 12 langkah pelan penstrukturan MAS yang tentunya lahir daripada penasihat “pandai memandai” Khazanah, kita terus dapat melihat rancangan membuang sebanyak 6,000 pekerja syarikat penerbangan nasional itu menjadi agenda paling utama.

Angka 6,000 itu bukan kecil dan MAS mempunyai sejumlah lapan kesatuan sekerja yang ditubuhkan bagi melindungi pelbagai jenis pekerja dengan sehingga kini, walaupun tidak dilaporkan media arus perdana, kesatuan sekerja terus menuntut dan mendesak supaya Khazanah yang pemiliknya adalah Putrajaya supaya “berhati perut” dalam usaha untuk menstrukturkan semula MAS terutama membabitkan pemberhentian pekerja.

Saya dimaklumkan kesatuan pekerja untuk juruterbang sudah pun bersedia dengan kemungkinan ini dan memohon dan mendapatkan pekerjaan dengan syarikat penerbangan timur tengah yang mengembangkan destinasi jarak jauh mereka.

Ini belum lagi kita lihat mengenai staf kejuruteraan yang berhasrat meninggalkan MAS dan semua tenaga kerja mahir ini kecewa dengan kelambatan pengurusan MAS membuat keputusan melepaskan mereka.

Bagi mereka, adakah kelambatan ini disengajakan atau pengurusan MAS betul-betul tidak pasti hala tuju mereka.

MAS sebenarnya, tidak mampu untuk kehilangan begitu ramai pekerja terutama pekerja mahir terdiri daripada kalangan juruterbang, krew penerbangan atau kakitangan kejuruteraan.

Golongan inilah, yang menjadi asas kepada kekuatan MAS dalam menempuhi gelora yang berterusan melanda sejak 1998 sehinggalah kerajaan melaksanakan pelan penstrukturan WAU (Widespread Asset Unbundling) pada 2002.

Namun MAS terus dilanda masalah hingga dianggarkan kerugian terkumpul sejak kerajaan melalui Khazanah mengambil alih daripada Tan Sri Tajuddin Ramli mencecah hampir RM16 bilion mengikut anggaran Khazanah sendiri dan pelbagai kaedah serta individu digunakan bagi memulihkan syarikat berkenaan.

Apa yang pasti pengurusan Khazanah tidak pernah melihat kepada kekuatan sebenar MAS sebaliknya, lebih sibuk membetulkan penyata kira-kira syarikat penerbangan berkenaan bagi memastikan ia mencatat keuntungan jangka pendek sekali gus memastikan rakyat terus mempunyai sentimen nasional terhadap Wau negara itu.

Kehilangan pekerja mahir dalam MAS terutama membabitkan juruterbang, krew penerbangan serta krew penyenggaraan akan menimbulkan seribu satu masalah kepada pengurusan MAS yang baru.

Ini kerana ia pasti akan menimbulkan krisis ketidakyakinan penumpang kepada syarikat penerbangan negara yang selama ini, terbukti memberikan perkhidmatan serta layanan terbaik kepada penumpang.

Jika pemilik dan pengurusan MAS berpendapat kehilangan tenaga kerja mahir dalam tiga sektor ini, mampu diatasi dengan mudah, ia adalah satu penilaian yang ternyata meleset sama sekali.

MAS diketahui mempunyai armada pesawat Boeing 777 yang terbesar, dan untuk menyenggara serta mengendalikan pesawat-pesawat ini, memerlukan mereka yang benar-benar berkemahiran.

Sememangnya banyak kriteria yang sudah digunakan Khazanah dalam memilih CEO MAS dan difahamkan, CEO MAS pada ketika ini, Ahmad Jauhari Yahya dipilih menerajui syarikat penerbangan pada 2011 kerana menepati kriteria yang ditetapkan.

Antaranya, Ahmad Jauhari atau lebih dikenali sebagai AJ mempunyai lesen memandu kapal terbang dan mampu menerbangkan kapal terbang, namun ternyata beliau tidak mampu untuk menerbangkan MAS kembali menjadi satu ikon kebanggaan negara.

Bukan menidakkan keupayaan dan kewibawaan AJ tetapi MAS sebenarnya memerlukan lebih daripada sentuhan ajaib seorang CEO dalam usaha memulihkannya kerana apa yang amat diperlukan ketika ini adalah pelan perniagaan yang komprehensif.

Di mana sebenarnya kerajaan dan Khazanah mahu meletakkan MAS? Syarikat ini berkembang sebagai sebuah syarikat penerbangan premium tetapi mempunyai struktur kos syarikat penerbangan rendah menyebabkan ia terus gagal mencatatkan keuntungan.

Juga wujud cadangan menjadikan MAS sebagai syarikat penerbangan hibrid selain pelbagai lagi cadangan-cadangan aneh yang digunakan Khazanah dan penasihat “pandai memandainya” langsung tidak berteraskan kepada logik perniagaan tetapi lebih kepada menghalalkan matlamat persendirian.

Inilah yang dilakukan MAHB yang juga anak syarikat Khazanah kepada klia2 dengan memberikan label lapangan terbang khusus untuk syarikat tambang murah sebagai lapangan terbang hibrid pertama di dunia hanya disebabkan tidak mahu mengakui kos pembinaan lapangan terbang itu yang meningkat begitu mendadak serta kurang sesuai digunakan sebagai lapangan terbang penerbangan tambang rendah.

Persaingan melalui Dasar Langit Terbuka Asean sudah pasti akan menghimpit MAS yang sudah pasti bersaing bagi mendapatkan penumpang untuk laluan pendek dalam negara atau sederhana di rantau Asia Tenggara dengan AirAsia Bhd.

Bagi penerbangan jarak jauh pula, MAS sudah kehilangan saingan dengan “big boys” seperti Singapore Airlines, Emirates atau Qatar Airways yang jelas menjadi pilihan utama penumpang di rantau ini.

Hakikat ini disahkan dengan pengumuman terbaru bulan ini, apabila MAS dikatakan akan menutup laluannya ke Frankfurt, Jerman yang sebenarnya pintu utama masuk ke Eropah selain London.

Sebagai contoh, keputusan memberhentikan laluan penerbangan antarabangsa jarak jauh memberikan kesan kepada model perniagaan MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan premium.

Tidak guna mengekalkan London sebagai destinasi penerbangan jarak jauh tetapi membatalkan laluan ke kota utama Eropah dan pastinya keputusan tersebut pasti akan memberikan kesan kepada armada Boeing 777 yang digunakan untuk penerbangan jarak jauh.

Jika MAS membuat keputusan untuk mengurangkan kekerapan penerbangan jarak jauh ke Eropah ini bermakna pesawat Boeing 777 yang ada sekarang patut dihapuskan sekali gus menyaksikan juruterbang, krew kabin dan kakitangan kejuruteraan berkaitan pesawat ini akan diberhentikan.

Pada waktu sama jika MAS memutuskan untuk menggunakan penerbangan jarak pendek atau sederhana yang banyak guna pesawat Airbus seperti AirAsia, syarikat penerbangan nasional ini juga akan berdepan dengan masalah untuk mengambil juruterbang bagi armada ini memandangkan mereka kekurangan juruterbang untuk pesawat ini.

Juruterbang yang berhenti dan berpindah tidak mudah digantikan dan mengambil juruterbang baharu yang mempunyai pengalaman kurang, pasti berkemungkinan menyebabkan penumpang kurang yakin terhadap keupayaan armada MAS.

Di sinilah letaknya cabaran Mueller dalam memulihkan semula MAS bukan sahaja mencatatkan keuntungan dalam tempoh 3 tahun memandangkan pelan pemulihan syarikat penerbangan ini menggunakan wang rakyat berjumlah RM6 bilion.

Timbul juga persoalan di kalangan pemerhati industri penerbangan mengapa Khazanah tidak menyiasat kerugian yang dicatatkan MAS selama ini, di manakah sebenarnya silap sehingga mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.

Usaha untuk membuang pekerja MAS bukan semudah yang disangka Khazanah kerana ia membabitkan soal politik yang perlu dihadapi Putrajaya dan atas sebab itu, Datuk Seri Najib Razak melantik Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Datuk Seri Idris Jala menjadi orang tengah antara kesatuan pekerja MAS dengan Khazanah.

Pelantikan dua menteri Kabinet ini sebenarnya memberikan tamparan kepada Khazanah yang jelas bertindak bersendirian dalam mengemukakan pelan penstrukturan dan memberikan langkah untuk membuang sehingga 6,000 pekerja MAS tanpa mengadakan rundingan bersama pihak berkepentingan terutama sekali kesatuan pekerja.

Ada juga “ground staff” MAS menemui saya meminta membawa isu mengenai pampasan adil untuk mereka terutamanya yang akan bersara kerana tidak mudah bagi mereka mendapatkan pekerjaan lain seperti juruterbang dan kakitangan kejuruteraan.

Bagi  yang muda pula terus tertanya-tanya mengenai nasib mereka yang sudah pasti perlu mencongak mencari pekerjaan lain.

Saya mengakui kepada mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengkaji semula pelan penstrukturan berkenaan tetapi hanya boleh bertindak sebagai  “posmen” dengan menyampaikan rintihan pekerja MAS yang mahukan pembelaan sewajarnya daripada Khazanah.

Segalanya terpulang pada pengurusan Khazanah yang sebenarnya berpengalaman dan dibayar gaji tinggi melaksanakan pemulihan MAS, adakah kali ini pelan ini boleh berjaya dengan mengambil kira kepentingan negara, rakyat dan pekerja bukan kepentingan saham Khazanah serta memastikan pengurusan tertinggi Khazanah berjaya mengekalkan jawatan dan gaji mereka yang tinggi. – 27 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments