Opinion

Langkah Khalid vs Langkah Kajang

Kepala Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua umum Pakatan Rakyat dan calon PKR untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang sudah pasti 'pening', dengan perkembangan terbaru dalam kerajaan Selangor serta partinya.

Apa tidaknya, pelan beliau atau lebih tepat lagi, pelan Rafizi Ramli, ahli Parlimen Pandan yang juga anak didik terbaru beliau terhadap 'Rancangan Kajang' atau 'Langkah Kajang' bagi mendamaikan Timbalan PKR, Azmin Ali dan rakan korporatnya yang kini bergelar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kini boleh runtuh bila-bila masa.

Perkembangan terbaru ini, boleh disifatkan sebagai 'langkah mati' atau 'checkmate' untuk Anwar, Rafizi, Azmin, PKR dan Pakatan secara tidak langsung.

Mana tidaknya, tanpa diduga sesiapa, Khalid yang juga seorang pakar strategi korporat ketika menerajui PNB dan Guthrie sebelum terjun dalam arena politik negara, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai menteri besar Selangor dengan kerajaan pusat bagi memulakan projek Langat 2.

Langkah beliau yang menjadi CEO PNB selama 15 tahun daripada 1979-1994 seakan sama ketika menerajui rancangan pengambilalihan 51% saham sebuah syarikat perladangan British yang kemudian dikenali sebagai Guthrie di Bursa Saham London pada 1981, dikenali sebagai 'dawn raid' atau serangan subuh dalam tempoh tidak sampai 2 jam.

Kesannya? Semua pihak di sebelah Pakatan serta PKR yang selama ini, mengutuk Khalid dan pentadbirannya terpaku, terdiam dan terpempan. Ibarat muka disepak apabila mengetahui majlis berkenaan hanya melalui media massa.

Mereka ini (kumpulan yang menentang Khalid) sedar sebarang tindakan untuk mengutuk rancangan Khalid secara terbuka itu, akan mengundang malapetaka lebih besar iaitu kemarahan rakyat Selangor dan Lembah Klang yang kini, berhadapan dengan masalah ketiadaan bekalan air yang semakin meruncing.

Bagi rakyat, mereka tidak peduli dengan 'Langkah Kajang' atau 'Rancangan Kajang' yang sebenarnya, alat 'sesumpah' Anwar dan pengikutnya, untuk menguasai Selangor secara total, kerana yang lebih penting adalah air untuk kehidupan seharian.

Sehari selepas menandatangani MoU itu, Khalid terus membuat percaturan strateginya dengan dibantu pengikut setia beliau dalam kerajaan Selangor iaitu mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti berkenaan Jun ini.

Pengumuman itu, adalah isyarat 'perang terbuka' dan gendang perang Khalid sudah dipalu untuk kem Azmin yang selama ini, dilihat akan menang mudah dalam pemilihan PKR sebagai timbalan presiden.

Apa komen PAS dan DAP dalam hal ini? Tiada, itu yang pasti.

Hanya penasihat DAP, Lim Kit Siang sahaja yang mengeluarkan kenyataan terbuka selepas MoU Langat 2 dengan memberi amaran bahawa pergaduhan dalaman dalam komponen pembangkang akan mengakibatkan kekalahan dalam PRK Kajang.

Ketika ini, dengan jentera PKR berkampung di Kajang dan pelbagai majlis termasuk kenduri sate diadakan untuk masyarakat Kajang, kekalahan adalah sesuatu yang mustahil tetapi pengurangan majoriti daripada lebih 6,000 undi yang diterima Lee Chin Cheh dalam PRU 13 tahun lalu, adalah 'penampar' buat Anwar dan PKR, sekurang-kurangnya amaran sudah diberi oleh Lim Kit Siang.

Semua perkembangan ini, seharusnya membuka mata, hati dan fikiran rakyat khususnya masyarakat Kajang bahawa ungkapan pemimpin pembangkang iaitu mereka berjuang untuk rakyat adalah kata-kata politik semata-mata.

Strategi Rafizi yang menyalahkan Umno hingga menyebabkan PKR terpaksa mengadakan PRK Kajang juga kini, diketawakan semua pihak dan pengarah strategi PKR itu kini, berdepan satu lawan satu dengan bakal calon bebas PRK Kajang, Datuk Zaid Ibrahim.

Nampaknya, pertembungan Rafizi-Zaid dan Khalid-Azmin dalam pentas PRK Kajang menyebabkan Anwar terkontang-kanting seorang diri, bagi menjawab segala isu yang dibangkitkan empat individu ini, dan bukannya memfokuskan berkempen untuk memberikan perkhidmatan kepada pengundi Kajang.

Kecelaruan dalam PKR juga semakin kelihatan apabila kem Azmin dikatakan tidak senang dengan tulisan Hishammuddin Rais, aktivis pembangkang yang mendakwa Azmin mempunyai DNA Umno hingga mahu akhbar rasmi parti itu, Suara Keadilan memohon maaf atas penyiaran artikel berkenaan.

Walaupun, penafian dibuat bahawa wujudnya rasa tidak puas hati Azmin dan pengikutnya terhadap artikel berkenaan tetapi masakan 'pokok bergoyang jika tiada angin'.

Semua senario yang kini terpaksa dihadapi Rafizi dan Azmin, adalah kemenangan moral buat Khalid untuk beliau mempertahankan jawatannya sebagai menteri besar Selangor dengan sudah pasti populariti beliau di kalangan rakyat meningkat.

Saya berpendapat bahawa badan tinjauan bebas, Merdeka Center yang selama ini, sibuk membuat kajian populariti Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN, menjalankan kajian pula terhadap Anwar, Azmin dan Khalid, siapa yang lebih layak menjadi menteri besar Selangor, jika mereka benar-benar bebas seperti didakwa.

Rakyat Selangor dan Lembah Klang kini, menyanjung kepimpinan Khalid dan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib yang benar-benar serius dalam menyelesaikan masalah air dengan menandatangani MoU Langat 2 yang selama ini, dilihat menjadi 'duri dalam daging' dalam hubungan Shah Alam dan Putrajaya.

Keterbukaan kerajaan pusat BN untuk membenarkan Selangor membeli keempat-empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan nilai lebih RM9 bilion selain menyuntik dana antara RM1 bilion dan RM2 bilion bagi menjayakan Loji Rawatan Langat 2 membuktikan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat.

Jika kerajaan PKR Selangor benar-benar serius dalam membantu rakyat Selangor serta Lembah Klang untuk memastikan bekalan air berterusan, MoU berkenaan tidak akan dibatalkan walaupun Khalid mungkin tidak menjadi MB lagi selepas PRK Kajang.

Ketegasan Khalid dengan menyatakan bahawa MoU Langat 2 tidak boleh dibatalkan sewenang-wenangnya, menunjukkan beliau sedar bahawa ada 'tangan-tangan' ghaib dalam PKR yang mungkin berusaha bersungguh-sungguh membatalkannya dan terus mendakwa serta meletakkan kesalahan pembatalan memorandum kepada Umno serta BN.

Bagi Khalid, beliau sedar bahawa tempoh masanya untuk mengosongkan kerusi MB Selangor semakin hampir tetapi sebagai pakar strategi korporat yang mempunyai 'track record' yang cemerlang ketika menerajui GLC, banyak langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan semua itu.

Kini, Khalid mencuba langkah beliau bagi mempertahankan kerusi MB Selangor dan MoU Langat 2, bukti terbaik bahawa beliau sanggup membelakangkan pemimpin PKR dan pakatan yang begitu gelojoh mahu menawan Putrajaya, semata-mata demi kesejahteraan rakyat Lembah Klang.

Tiada sebarang kerugian di pihak Khalid kerana dalam usianya yang menjangkau 68 tahun, beliau sudah mencapai segala-galanya sama ada dalam bidang korporat dan politik.

Padang politik PKR Selangor beralih kepada Anwar dan pengikut setia beliau, jika memenangi PRK Kajang, adakah beliau akan mengeluarkan Khalid sebagai MB Selangor dan bagaimana pula langkah Azmin untuk mempertahankan kerusi timbalan presiden PKR daripada Khalid.

Adakah kepentingan rakyat akan dapat mengatasi perebutan kuasa dalam PKR? Jika jawapannya, ya, Khalid sudah pasti akan mengekalkan kerusi MB Selangor sekali gus memenangi jawatan timbalan presiden PKR. Sama-sama kita saksikan. – 2 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments