Opinion

Kerajaan, MAS dan industri penerbangan negara ‘sakit’ (Bahagian 1)

Langkah demi langkah penstrukturan semula Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dilakukan sejak 1998 apabila dimulakan Binafikir Sdn Bhd tidak berhasil, walaupun kemudian rakan kongsinya mengetuai pengurusan Khazanah Nasional pada 2004 yang menjadi pemegang saham utama MAS.

Sehingga kini, pengarah urusan MAS datang dan pergi, ada yang menjadi menteri dan ada yang terus hilang daripada arus perdana dunia korporat negara. Dan apabila pengumuman berita mengenai kerugian RM1.17 bilion yang terus ditanggung MAS untuk tahun kewangan 2013, pertengahan bulan lalu, 'bukan sesuatu yang mengejutkan walaupun ia seharusnya menjadi sesuatu yang mengejutkan'.

Mengapa saya katakan bukan sesuatu yang mengejutkan walaupun ia seharusnya menjadi sesuatu yang mengejutkan?

Jawapannya, ia bukan suatu perkara baru, mendengar atau membaca berita MAS menanggung kerugian sehingga saya sendiri sudah lupa bila MAS mencatat keuntungan, jadi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

'Ia seharusnya menjadi sesuatu yang mengejutkan' kerana melalui pelbagai pelan pemulihan, segala konsultan yang diambil dan segala bantuan kewangan yang diberikan, MAS tetap terus mencatatkan kerugian dan jumlah terkini kerugian terkumpul sejak penstrukturan semula korporat MAS dimulakan kira-kira RM4 bilion amat membimbangkan.

'Sesuatu yang mengejutkan' juga apabila tiada sebarang reaksi segera daripada Khazanah Nasional apabila berita syarikat penerbangan ini, terus mencatat kerugian. Selepas berjaya mengurangkan kerugian kepada RM432.59 juta pada 2012, tiba-tiba prestasi kewangan MAS merosot begitu teruk dan prestasi kewangan tahun lalu adalah antara yang terburuk selain kerugian 'mega' RM2.52 bilion pada 2011.

Pada masa sama, timbul juga persoalan mengenai tanggungjawab Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Saham dalam melindungi kepentingan pemegang saham minoriti disebabkan banyak langkah memulihkan semula MAS dilakukan Khazanah Nasional selaku pemegang saham utama syarikat penerbangan ini, walaupun ia berterusan mencatatkan kerugian.

Apa sebenarnya yang berlaku dalam MAS dan apa yang sebenarnya cuba dilakukan Khazanah Nasional bagi mengembalikan semula keuntungan syarikat penerbangan utama negara ini?

Sebagai sebuah syarikat penerbangan utama negara, MAS sebenarnya, dimiliki kerajaan melalui Khazanah Nasional dan atas sebab itu, syarikat penerbangan ini, dilabelkan 'anak emas' negara dalam industri penerbangan Malaysia.

Tiada syarikat penerbangan di negara kita, yang menerima bantuan seperti yang dinikmati MAS sejak ia mula beroperasi sehinggalah pada masa sekarang. Namun di sebalik semua rancangan, pelan pemulihan dan pelbagai lagi ayat bombastik yang digunakan untuk menaikkan semula 'wau' ini, ia terus gagal, gagal dan gagal.

Selepas mengumumkan kerugian 'mega' pada 2012, pemegang saham utama MAS melancarkan pelan pemulihan MAS untuk menghasilkan pembiayaan berjumlah RM9 bilion. Melalui pelan pemulihan ini, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) melanggan terbitan Sukuk Junior Kekal peringkat pertama MAS berjumlah RM1 bilion, sukuk yang pertama kali diwujudkan dalam industri penerbangan negara.

Kemudian, difahamkan pula sukuk peringkat kedua dilanggan antaranya oleh Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Tidak cukup dengan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) pula akan melanggan bon bernilai RM5.3 bilion untuk membiayai pembelian enam pesawat A380 dan dua A330.

Tidak lama selepas itu muncul pula idea untuk menggabungkan MAS dan Air Asia melalui pertukaran saham tetapi ia tetap gagal dan hasilnya, kedua-dua syarikat ini, kemudian didenda Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebanyak RM10 juta.

Persoalannya, mengapa segala pelan, rancangan dan idea untuk menyelamatkan MAS terus menemui kegagalan.

MAS menerima keistimewaan daripada segi hak pendaratan dan sebagainya, kerana ia adalah syarikat penerbangan negara tetapi segala keistimewaan ini, tetap gagal menyelamatkan syarikat ini.

Selain itu, MAS turut mempunyai 'hubungan istimewa' dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), syarikat pengendali lapangan terbang yang memonopoli hampir semua lapangan terbang di Malaysia yang juga dimiliki Khazanah Nasional.

Lebih memburukkan lagi apabila pemegang saham utama MAS, melantik lembaga pengarah MAS dan pengurusan tertinggi syarikat ini, yang tidak mempunyai pengalaman serta kelayakan dalam industri penerbangan antarabangsa.

Berlatarkan dalam bidang kewangan, perakaunan serta perniagaan, bukan penanda aras terbaik untuk seseorang itu memengang jawatan pengarah urusan sebuah syarikat pernerbangan.

Memang mudah membuat keputusan untuk melupuskan aset serta mengawal perbelanjaan tetapi ia adalah langkah jangka masa pendek dan tidak akan memberikan kesan besar kepada kedudukan syarikat dalam hal ini, MAS.

Malah ketika ini, kita dapat lihat di media sosial dimana rakyat Malaysia mula mempertikaikan 'hospitality' penerbangan MAS dengan chef terkenal negara, Chef Wan menempelak nasi lemak yang ditawarkan untuk penumpang MAS kelas ekonomi.

Malah, saya juga pernah terdengar rintihan daripada CEO Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) terkemuka Malaysia, yang mengeluh mengenai kualiti makanan untuk penerbangan kelas pertama ke London.

Semua ini, menggambarkan bahawa syarikat penerbangan ini, bukan sahaja bermasalah daripada pengurusan kewangan malah sikap krew kabin yang menawarkan layanan kepada penumpang dan jika ia tidak diatasi dengan segera, akan memberikan kesan buruk terhadap jenama MAS.

Kerugian yang terus ditanggung MAS ini, sebenarnya, memberikan kesan besar kepada kewangan kerajaan secara tidak langsung memandangkan Khazanah Nasional menggunakan wang rakyat dan juga simpanan hari tua rakyat melalui KWAP dan KWSP dalam usaha menyelamatkan syarikat penerbangan ini. Adakah rakyat membenarkan wang simpanan mereka digunakan khusus untuk menyelamatkan MAS?

Usaha menyelamatkan MAS tetap perlu dilakukan tetapi ia memerlukan idea yang di luar kotak, lebih tepat lagi bukan daripada 'kumpulan orang' yang sama. Dalam industri penerbangan dunia yang begitu kompetitif dengan persaingan daripada syarikat penerbangan utama serta penerbangan murah, MAS perlu mempunyai kelebihan untuk menjadi pilihan kepada penumpang.

Namun jika segala usaha yang cuba dilakukan kerajaan melalui Khazanah didapati gagal, kerajaan perlu mengambil tindakan drastik atau kurang popular sebagai langkah untuk terus mengurangkan kerugian kepada kerajaan.

Kekerapan menukar pelbagai strategi bisnes ini, mengelirukan kakitangan dan pelanggan sekali gus membuatkan ketidakyakinan terhadap pelabur terhadap MAS yang diperlukan sekiranya, kerajaan mahu mengurangkan penyertaannya terhadap MAS.

Tetapi saya juga faham bahawa industri penerbangan bergolak dan menyebabkan keadaan tidak menentu bagi semua syarikat penerbangan. 

Dalam keadaan MAS dilihat amat lemah dan kurang berdaya saing, AirAsia berjaya mengisi ruang berkenaan melalui konsep penerbangan murah.  Strategi ini, berjaya pada peringkat awal tetapi kini, ia menemui kebuntuan apabila syarikat ini, mula mencatatkan penurunan keuntungan manakala Airasia X pula mencatatkan kerugian.

Jika AirAsia berdepan dengan masalah tetapi saya lebih yakin bahawa AirAsia boleh menyesuaikan diri dengan strategi bisnes untuk menghadapi kesukaran yang akan timbul tidak seperti MAS yang gagal dalam penstrukturan syarikat walaupun ia dilakukan berkali-kali.

Walaupun AirAsia menghadapi masalah untuk mengekalkan keuntungan tetapi daripada segi khidmat pelanggan, makanan dengan ketepatan waktu penerbangan, rata-rata diberikan pujian oleh pelanggan.

Pada awal penubuhan syarikat penerbangan murah ini, AirAsia turut  menerima bantuan daripada kerajaan sehingga bermurah hati menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai hab penerbangan murah.

Saya turut dimaklumkan bahawa pembinaan klia2  yang akan menjadi hab penerbangan rendah negara, banyak berkisar kepada tuntutan AirAsia. Walaupun, pengurusan tertinggi AirAsia menafikan bahawa mereka campur tangan dalam pembinaan klia2 tetapi ada juga permintaan daripada syarikat ini, yang kemudian menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan lapangan terbang ini.

Kita juga jangan lupa bahawa kerajaan Malaysia satu-satunya kerajaan di dunia yang membina LCCT bagi membantu AirAsia berkembang pesat sebagai syarikat penerbangan murah dunia.

Kerajaan dianggap memonopoli industri penerbangan negara melalui Khazanah Nasional untuk MAS dan MAHB, suatu ketika dahulu tujuan monopoli adalah untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara tetapi pada masa sekarang, monopoli dalam industri penerbangan tidak lagi sesuai kerana pasaran penerbangan dunia begitu padat serta kompetitif.

Justeru, kerajaan juga perlu memikirkan sama ada monopoli ini, akan bertindak mengurangkan kos penerbangan dengan cukai lapangan terbangan untuk manfaat rakyat ataupun dengan kuasa monopoli ini, kerajaan akan terus menaikkan caj lapangan terbang.

Mungkin sudah sampai masanya, untuk kerajaan mengurangkan pembabitan daripada industri penerbangan ini, dan membiarkan pihak swasta dan pihak yang lebih profesional menguruskannya sekali gus dapat mengurangkan kos kepada rakyat dan mengembalikan semula kegemilangan 'wau' negara ke peringkat lebih tinggi. – 6 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments