Opinion

Kehadiran Obama pengiktirafan terhadap inisiatif Datuk Seri Najib?

Hari ini, jadual lawatan kerja ketua negara paling berkuasa di dunia, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, padat selepas memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia apabila tiba petang semalam.

Ketika Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia kelima, berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada dalam bentuk politik, sosial, ekonomi dan keselamatan daripada dalam dan luar negara, lawatan kerja Obama ke rantau ke negara ini sememangnya mengundang rasa cemburu banyak pihak sama ada daripada dalam dan luar negara.

Apa tidaknya, Obama yang menghabiskan masa lapan hari mengadakan lawatan kerja ke rantau Asia hanya memilih empat negara untuk dilawati iaitu Jepun, Korea Selatan, Malaysia serta Filipina, dan Malaysia menjadi negara paling lama dilawatinya dalam jelajah ke Asia.

Kehadiran Obama ke Malaysia itu selepas 48 tahun sejak Presiden Lyndon B Johnson melawat Malaysia pada tahun 1966 menyebabkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti ‘lelaki gila talak’ apabila pentadbiran Obama tidak memasukkan pertemuannya dengan presiden AS.

Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kerajaan, khususnya Datuk Seri Najib Razak sehingga mendakwa bahawa kerajaan AS menerima tekanan daripada Malaysia untuk tidak bertemu dengan Anwar… satu lawak jenaka ciptaan Anwar.

Walau apapun tohmahan, dakyah dan tuduhan yang dilemparkan pembangkang kepada kerajaan Malaysia, Obama tetap berkunjung ke Malaysia, dan sebagai negara yang menjadi ‘juara’ sistem demokrasi dunia, kerajaan paling berkuasa itu, sudah pasti menghormati sistem undang-undang serta pemerintahan kerajaan Malaysia yang dipilih rakyat melalui sistem pilihan raya.

Suatu perkara yang menarik dalam lawatan Obama ini adalah bagaimana seorang lelaki berkulit hitam yang bangsanya pernah menjadi hamba abdi di Amerika Syarikat dan baru menerima kebebasan untuk mengundi dalam pilihan raya negara berkenaan sekitar tahun 60-an, kini menjadi pencatur iklim ekonomi serta politik dunia.

Siapa pun tidak menyangka bahawa suatu hari nanti, AS mendapat seorang presiden daripada bangsa Afrika-Amerika yang dibawa sebagai hamba abdi dan menerima pelbagai bentuk tekanan daripada bangsa kulit putih di negara itu.

Nampaknya, dengan pemilihan Obama sebagai presiden, ia memberikan isyarat serta mesej jelas kepada negara yang mempunyai penduduk daripada berbilang bangsa serta agama bahawa tidak semestinya penduduk asal negara berkenaan akan kekal memerintah.

Segalanya terpulang kepada rakyat negara itu, dan atas sebab itu, ‘people’s power’ yang dicetuskan Obama membawa kepada peralihan kuasa memerintah daripada bangsa kulit putih yang menindas kepada bangsa hamba pendatang ke negara berkenaan.

Dan rakyat AS boleh melupakan dan memadamkan sejarah kulit putih negara mereka untuk menaikkan bangsa hamba yang pernah dianggap jijik sekali.

Sistem dua parti yang diamalkan di negara ‘juara’ demokrasi berkenaan berjaya membawa kepada pemilihan seorang individu kulit hitam untuk menerajui negara kuasa besar dunia.

Dan saya terbayang, adakah ia akhirnya akan menjadi suatu realiti Malaysia, yang pada amnya, polarisasi bangsa dan agama negara ini, lebih kurang sama dengan AS dengan mempunyai kepelbagaian bangsa, agama dan budaya…wallahuallam.

Bilakah agaknya orang Melayu boleh melupakan sejarah negara dengan memilih bangsa pendatang untuk menjadi pemimpin negara kita, sekaligus lari daripada polemik politik ini, walaupun Melayu sendiri adalah bangsa pendatang.

Berbalik kepada lawatan Obama ke Malaysia, tumpuan seluruh dunia sudah pastinya mengakui bahawa kehadiran presiden AS itu seakan memberikan isyarat jelas terhadap pengiktirafan negara kuasa besar dunia kepada pentadbiran Datuk Seri Najib yang kini sudah masuk tahun kelima memimpin negara.

Malah, ada yang membuat tanggapan serta andaian bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak memulakan era baru hubungan diplomatik antara Malaysia dan AS yang sebelum ini berada dalam situasi ‘suam-suam kuku’, terutama sekali ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir, Malaysia menjadi negara paling lantang mengkritik pentadbiran AS, terutama sekali dalam pendirian negara berkenaan terhadap dasar luar yang membabitkan Asia Tengah khususnya, Palestin.

Kini, Datuk Seri Najib Razak cuba membina hubungan baru dengan pentadbiran Obama dan ia terbukti apabila Presiden AS itu diberikan penghormatan untuk melancarkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.

Penubuhan MaGIC yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak sendiri pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) di Kuala Lumpur tahun lalu itu, bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan, daripada mendapatkan pembiayaan daripada bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan.

Ia juga akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menyediakan kemudahan untuk latihan, bimbingan dan mentor.

MaGIC secara tidak langsung menjadi deretan insiatif yang diperkenalkan Datuk Seri Najib untuk Malaysia, antaranya TalentCorp dan InvestKL dalam usaha untuk menjadi negara sebagai sebuah negara maju dan tidak terlalu bergantung kepada sektor perindustrian yang selama ini, menjadi tulang belakang kepada kemajuan Malaysia.

Selera atau ‘nafsu’ Datuk Seri Najib Razak ini dalam mengalih fokus utama ekonomi negara ke arah bidang keusahawanan dan industri kreatif amat tepat dalam arus globalisasi dunia pada masa kini.

Namun pada masa yang sama, jika diteliti, ketiga-tiga inisiatif ini juga bertujuan untuk menarik semula tenaga kerja profesional Malaysia yang dianggarkan lebih 500,000 berada di luar negara kembali semula bekerja dan tinggal di negara ini.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk memberikan markah tinggi kepada semua usaha atau inisiatif berkenaan kerana tidak banyak kejayaan yang dilaporkan sehingga ada yang mengandaikan bahawa kerajaan ‘syok sendiri’ melaksanakannya.

Kita semua sedar bahawa, tenaga kerja profesional Malaysia yang bertaburan di seluruh dunia mencari rezeki, sebab utamanya adalah gaji yang lebih lumayan selain kehidupan lebih baik untuk anak-anak mereka terutama sekali dalam bidang pendidikan.

Di Malaysia pada waktu kini, paras gaji tidak banyak berubah berbanding 10 tahun lalu, tetapi kos sara hidup terus meningkat naik sama ada membabitkan barang keperluan asas atau perumahan.

Selain itu, sistem pendidikan negara terus menjadi fokus utama apabila banyak kajian antarabangsa mendapati pelajar Malaysia ketinggalan dengan negara lain termasuk Vietnam.

Kegagalan kerajaan untuk menetapkan pendirian dalam isu perkauman dan agama juga memberikan kebimbingan kepada rakyat Malaysia di luar negara untuk pulang ke negara, termasuk orang Melayu yang sudah biasa dengan sistem sekular di luar negara yang mementingkan merit dan tidak berlandaskan agama dan kaum.

Untuk pulang, mereka memerlukan jaminan bahawa mereka akan diberikan peluang sama rata dan tidak terbelenggu faktor perkauman dan agama, kerana faktor inilah yang menjadi penghalang utama.

Faktor-faktor inilah yang sebenarnya akan menjadi penghalang utama kepada usaha kerajaan untuk menarik semula tenaga kerja profesional negara pulang semula ke Malaysia.

Segala usaha ini juga sebenarnya, turut berkait rapat sama ada Malaysia akan menandatangani Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) yang diasaskan Obama sendiri ketika terpilih menjadi Presiden AS yang ke-44.

Ramai pemerhati politik antarabangsa dan tempatan menyifatkan bahawa TPPA menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap hubungan Malaysia dan AS pada waktu ini, apabila Malaysia terus menjadi antara negara yang belum menandatangani perjanjian berkenaan.

Kebimbangan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak terhadap kandungan TPPA berkenaan sebenarnya berasas, kerana ia bakal membuka pintu ekonomi Malaysia terutama sekali projek kerajaan yang selama ini, untuk didominasi kaum Bumiputera kepada bangsa lain.

Namun, kesan negatif terhadap keengganan Malaysia menandatangani TPPA juga perlu diperhalusi pentadbiran kerajaan, kerana ia bakal membawa sekatan kepada potensi ekonomi negara yang bergantung kepada pelaburan terus asing (FDI).

Lihat sahaja bagaimana Singapura yang awal-awal lagi menandatangani TPPA kerana mengetahui bahawa ia adalah peluang bagi negara berkenaan untuk masuk ke pasaran negara lain dengan menggunakan kandungan dalam perjanjian berkenaan.

Kerajaan perlu juga mempertimbangkan ego sebagai sebuah negara yang gagah dan boleh hidup sendiri atau hendak menjadi hanya sebagai pelengkap kepada negara besar dunia dan rangkaiannya.

Jadi jika Malaysia mahu memainkan peranan lebih luas dalam arus globalisasi ekonomi dunia, kerajaan perlu memikirkan semasak-masaknya sama ada untuk menandatangani perjanjian TPPA atau ‘menjadi ikan kecil dalam lautan yang besar’.

Tidak ada gunanya Malaysia menjadi sebuah negara yang lantang bersuara di pentas dunia, tetapi tidak mempunyai jaringan ekonomi antarabangsa yang meluas sehingga menyebabkan suatu hari nanti, dunia melupakan kita.

Sebenarnya, hubungan politik yang baik dengan AS tidak menjamin kejayaan terhadap dasar atau inisiatif yang akan dan sedang dilaksanakan kerajaan, kerana kerajaan perlu memperbaiki segala kelemahan yang sedia ada.

Ia bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan dasar atau inisiatif ini, dibuat secara holistik, bukannya secara ‘silo’ dan diteruskan sehingga selesai serta tidak diubah-ubah sehingga akan mengakibatkan ia gagal dan menjadi ‘peluru’ kepada pembangkang membelasah kerajaan.

Pentadbiran Malaysia sememangnya sinonim dengan dasar yang berubah-ubah serta tidak berkekalan apabila berlaku perubahan pada pimpinan negara, sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Memang mudah untuk Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri menerima segala idea dan cadangan, tetapi untuk memastikan kejayaannya bukan perkara mudah, kerana ia memerlukan penilaian dalam menilai segala potensi yang ada.

Yang pasti, kebijaksanaan serta keberanian Datuk Seri Najib Razak bersandarkan pengalaman beliau yang lama dan luas, amat dituntut untuk memastikan segala inisiatif yang diperkenalkan benar-benar memberikan manfaat berterusan kepada Malaysia dan mempunyai kesinambungan untuk generasi akan datang.

Akhirnya, ia tidak menguntungkan Malaysia tetapi menguntungkan pemberi idea dan rakan-rakan kongsi niaga mereka sekaligus menjadi suatu pembaziran wang rakyat. – 27 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments