Opinion

Ke mana haluan Umno menjelang PRU14?

Berakhir sudah Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013, menandakan lengkap kalendar politik negara yang amat sibuk tahun ini, untuk ahli-ahli Umno bermula dengan Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) pada Mei, diikuti pemilihan parti pada 19 Oktober dan PAU yang bermula pada 3 Disember 2013.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai ucapan Presiden, YAB Datuk Seri Najib Razak sama ada ucapan dasar atau ucapan penggulungannya kerana terlalu banyak interpretasinya.

Apa yang mahu saya perkatakan betapa PAU 2013 berlangsung tidak sampai dua minggu selepas Muktamar PAS, dua parti terbesar orang Melayu di negara ini, dan kedua-duanya jelas memberikan isyarat betapa “gendang perang” PRU 14 sudah dibunyikan.

Dengan kedua-dua parti merencana strategi untuk menawan hati pengundi Melayu dalam PRU14, saya sebagai ahli Umno, Ketua bahagian Umno serta ahli Parlimen daripada parti ini, seakan bimbang dengan rentak strategi yang diambil Umno berdasarkan ucapan perbahasan daripada wakil-wakil negeri.

Adakah Umno sudah mengalihkan landasannya daripada sebuah parti yang berhaluan “tengah” dalam perjuangannya kepada berhaluan kanan dengan memfokuskan pembelaan khusus kepada kaum Melayu.

Memang benar, dalam PRU13, Umno menang hasil daripada undi Melayu dan memang benar lebih 60% rakyat negara ini adalah orang Melayu tetapi kajian perlu dilakukan dengan terperinci terhadap sokongan orang Melayu terhadap parti menjelang PRU14 kelak.

Orang Melayu kini sudah mula meninggalkan kawasan luar bandar dan menetap di kawasan pinggir bandar serta bandar.  Ia bermakna keutamaan Umno juga perlu beralih daripada perjuangan orang Melayu di kawasan luar bandar kepada di pinggir bandar dan bandar.

Apa yang dimahukan orang Melayu di kawasan-kawasan ini.  Jawapan yang jelas mereka mahu Umno iaitu kerajaan serius membasmi rasuah, elakkan penyelewengan serta memahami isu asas yang utama iaitu kenaikan harga barang, keselamatan serta perumahan mampu milik.

Ketika pembangkang giat memberikan pelbagai alternatif kepada rakyat termasuk orang Melayu, Umno bersifat defensif dalam hal ini, dan jika perkara ini, tidak ditangani segera, saya bimbang keputusan dalam PRU14 nanti.

Pada masa sama, ahli Umno terutama sekali pemimpin tertinggi perlu memandang serius sama ada parti ini, masih relevan kepada pengundi Melayu selepas berakhirnya pemilihan pemimpin PAS baru-baru ini. PAS kelihatan bertambah yakin terhadap kerjasamanya dalam Pakatan Rakyat akan membuahkan hasil pada pilihan raya umum akan datang.

Kemenangan pemimpin-pemimpin sederhana seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub dan Husam Musa dalam meneruskan kepimpinan parti merupakan isyarat kesediaan ahli-ahli PAS untuk mengorbankan prinsip idealogi mereka dan menggerakkan parti ke persada politik negara untuk mengukuhkan sokongan majoriti Melayu kelas pertengahan.

Ini tidak menghairankan kerana “bau” kuasa akan memabukkan sesiapa yang menggapainya. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan dan menggunakan kuasa. Umno pula telah menjadi terlalu “mabuk” kuasa selama beberapa dekad dan tidak menyedari persekitaran politik sudah jauh berubah sekaligus parti dilihat lesu dan tidak mempunyai motivasi untuk merubah keadaan.

Strategi pembangkang menggunakan PKR untuk menarik rakan-rakan berideologi berbeza iaitu DAP dan PAS berjaya meyakinkan masyarakat bahawa mereka sebenarnya boleh menjadi alternatif yang baik kepada Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan di negara ini.

Keputusan dua PRU lalu membuktikan bahawa strategi pembangkang untuk menarik pengundi di kawasan-kawasan pinggir bandar bagi menambah kekuatan di kawasan bandar telah berjaya. Peningkatan kecil dalam jumlah kerusi yang dimenangi pembangkang dalam PRU13 tidak menampakkan momentum sebenar, disebabkan BN berjaya menahan kemaraan pembangkang hasil populariti Dato’ Sri Najib Razak yang menjadi penghalang utama.

Bagaimanapun, populariti Perdana Menteri dan Presiden Umno tidak lagi akan menjadi kelebihan kepada BN dan Umno berdasarkan keputusan PRU13 atas pelbagai faktor yang dimanupulasi oleh pembangkang.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi turut melalui keadaan kritikal yang sama ketika menjadi Perdana Menteri sehingga terpaksa meletak jawatan secara sukarela pada tahun 2009 untuk memberi laluan kepada peralihan kuasa yang teratur kepada Dato’ Sri Najib Razak.

Sejak Mei lalu, saya didatangi perasaan “déjà vu” mengenai keadaan Barisan dan Umno pada masa ini. Tetapi kali ini, saya tidak berniat untuk mengambil tindakan seperti yang saya lakukan selepas pilihan raya umum 2008.

Ketika itu, saya didorong perasaan marah kerana keputusan pilihan raya yang mengecewakan dan proses peremajaan Umno bagi menonjolkan bakat muda yang perlahan, sehingga saya mendapat keberanian yang luar biasa untuk memberitahu Tun Abdullah untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dalam Mesyuarat Perhubungan Umno Johor Umno, di mana saya menjadi ahli sejak tahun 2003 dengan menjadi Ketua Umno Bahagian Pulai.

Alasan saya ketika itu adalah mudah. Umno berada dalam zaman kemerosotan dan peremajaan kepimpinan dalam parti perlu berlaku segera, sebelum menghadapi PRU akan datang. Umno bernasib baik ketika itu kerana mempunyai Dato’ Sri Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara dan meremajakan dan menyediakan parti untuk jangka masa panjang.

Namun demikian, beliau akan menghadapi keadaan yang lebih sukar berbanding Tun Abdullah disebabkan keputusan dalam PRU13, ketika ramai yang menjangkakan keputusannya lebih baik berbanding 2008.

Malangnya, harapan saya untuk melihat kebangkitan dan peremajaan Umno punah selepas PRU13 apabila undi popular Barisan menurun lagi kepada 47% daripada 51% pada PRU12. Para pengundi tidak percaya Umno mahu melakukan perubahan dengan pantas dan menolaknya lagi.

Keadaan Umno kini sebenarnya, amat lemah dan keputusan PRU13 mengukuhkan lagi pendapat pengundi bahawa parti telah menjadi lemah dan boleh dikalahkan pada PRU akan datang, sesuatu yang seolah-olah mustahil satu ketika dulu.

Jika sebelum ini, kaedah yang digunakan bagi menentukan jawatan Perdana Menteri adalah individu yang memegang jawatan Presiden Umno dan perubahan kepimpinan negara hanya boleh berlaku dalam Umno tetapi amalan itu berkemungkinan tidak akan lagi dapat digunakan.

Strategi pembangkang untuk menguasai kawasan bandar dan pinggir bandar memaksa Umno sebagai tulang belakang BN berada dalam “mode” bertahan. Dalam kebimbangan bagi terus mengekalkan undi Melayu luar bandar, Umno mengatur strateginya untuk menarik perhatian pengundi luar bandar kepada isu berkisarkan agama dan bangsa.

Sebenarnya, strategi ini bukanlah sesuatu yang baru kerana kedua-dua isu-isu ini merupakan kekuatan utama idealogi PAS dan DAP sejak dahulu lagi. Namun amat berbahaya kepada Umno sekiranya terlalu bergantung kepada isu-isu ini untuk memenangi sokongan.

Ia kerana BN adalah kerajaan yang memerintah dan mesti melakukan apa yang baik untuk negara berbeza dengan pembangkang kerana pengundi tidak menjangka mereka akan menjalankan tanggungjawab tersebut.

Penggunaan isu-isu bangsa dan agama boleh memberi kesan negatif kepada kawasan bandar seperti di kawasan saya di Parlimen Pulai dan juga di luar bandar Sabah dan Sarawak, seperti dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan yang akhirnya mengakibatkan BN hilang lebih banyak undi.

Pembangkang menunggu peluang keemasan untuk menembusi kawasan luar bandar dengan hanya perlu mengembangkan capaiannya ke kawasan luar bandar dengan menggunakan “tentera-tentera” yang berdedikasi dan dilengkapi dengan internet untuk menawan kawasan luar bandar terutamanya Melayu dan Malaysia Timur dalam PRU14.

Sebaliknya, BN menghadapi tugas yang sukar untuk menarik orang muda di kawasan bandar dan separa bandar kerana proses peremajaan yang lambat untuk mewujudkan pemimpin lebih muda dan menarik seperti Khairy Jamaluddin. BN akan gagal untuk mendapatkan sokongan di kawasan-kawasan tersebut dan akhirnya menderita dalam pilihan raya.

Sebagai Ahli Parlimen, saya sudah memenangi tiga PRU dengan majoriti yang menurun pada setiap pilhan raya, dan ianya tidak menghairankan saya kerana Pulai, yang berada di tengah-tengah bandaraya Johor Baru, merupakan kawasan yang berkembang pesat sebagai pusat bandar utama disebabkan oleh kepesatan pembangunan wilayah Iskandar.

Selepas PRU13, ramai ahli-ahli Umno di kawasan saya cepat untuk menyalahkan tsunami pengundi Cina yang menjadi punca keputusan buruk tersebut. Tetapi, sebagai ketua parti mereka, saya sentiasa mengingatkan mereka bahawa Umno masih berjaya memenangi kerusi Parlimen Pulai yang walaupun jumlah penduduk pengundi Cina yang besar iaitu 42% daripada 100,000 pengundi.

Saya mengingatkan mereka bahawa 48% pengundi Melayu dalam Parlimen Pulai tidak lagi boleh memastikan kemenangan untuk BN dalam PRU akan datang. Dan saya juga mengingatkan mereka bahawa kita hanya mempunyai 80% sokongan Melayu dalam PRU lepas, yang jauh lebih baik daripada purata 50% sokongan Melayu di bandar-bandar utama di sekitar Lembah Klang.

Kemenangan Umno di Parlimen Pulai adalah satu pencapaian yang besar memandangkan lawan saya dalam PRU13 tidak lain adalah Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS yang dipilih semula dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Apa yang saya cuba jelaskan kepada mereka ialah Umno boleh kehilangan banyak lagi kawasan dan akhirnya, kerajaan, jika sokongan Melayu kita merosot lagi dan hakikat bahawa orang Cina tidak boleh mengambil kuasa tanpa sokongan orang Melayu. Kita perlu bertindak balas terhadap iklim politik baru, yang menuntut prestasi dari parti dalam kerajaan dan kurangkan retorik dalam kerajaan.

Umno tidak boleh terus bergantung kepada strategi mewujudkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan akar umbi sebagai suara Melayu. Walaupun mereka mempunyai daya tarikan tersendiri kepada orang Melayu, pemimpin-pemimpin yang mewakili NGO ini mungkin tidak menarik kepada pengundi Melayu umumnya dan boleh menyebabkan Umno kehilangan lebih banyak undi Melayu.

Saya tidak terkejut dengan hasil penyelidikan Merdeka Centre diterbitkan beberapa bulan lalu yang menunjukkan BN hanya berjaya mendapatkan hanya 61% undi Melayu dalam PRU13, walaupun mempunyai sokongan daripada NGO ini.

Akhir kata, masalah sebenar Umno ialah kerana berada di tampuk kuasa terlalu lama. Kuasa telah mengakibatkan Umno tidak berupaya untuk bertindak balas, sukar menerima perubahan dan meremajakan dirinya.

Saya percaya ramai orang Melayu di negara ini, masih cintakan Umno dan menghargai sejarah perjuangannya terhadap masyarakat Melayu sejak ia ditubuhkan. Tetapi mereka mula berasa kurang yakin Umno boleh terus berbuat demikian dalam keadaannya sekarang. Mungkin orang Melayu akan menolak Umno pada PRU14 bagi memaksa Umno berubah kepada parti yang pernah mereka cintai dahulu. Kita perlu tunggu dan lihat. – 8 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments