Opinion

Asingkan segera audit negara daripada kuasa eksekutif

Tuntutan rakyat terhadap ketelusan dan kredibiliti kerajaan membabitkan kementerian, jabatan, agensi serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam menguruskan kewangan serta pentadbiran menjadi isu utama yang amat perlu diberikan perhatian dengan segera oleh Putrajaya.

Tidak dinafikan sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah Malaysia sejak 1957, transformasi terhadap usaha ini sudah berlaku tetapi selaras dengan 'selera' rakyat yang lebih cerdik dalam memantau kerajaan ketika ini, usaha berkenaan dilihat masih belum dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Persepsi dan tuduhan terhadap ahli politik serta parti pemerintah yang dikatakan sering campur tangan dalam pelaksanaan serta keputusan yang dibuat kementerian dan jabatan kerajaan menimbulkan lebih banyak keraguan di kalangan rakyat yang kini boleh tersebar tidak sampai seminit…terima kasih kepada kecanggihan Internet dan media sosial.

Pada masa sama, bagi rakyat ada institusi dalam kerajaan yang seharusnya benar-benar bebas bagi melindungi kepentingan mereka dan negara secara keseluruhan, tidak kira parti mana yang akan menghuni Putrajaya sekali gus menjadi kerajaan pemerintah.

Institusi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Polis Diraja Malaysia dan badan kehakiman, sewajibnya tidak dicapai serta diganggu 'tangan-tangan' ghaib politik yang boleh mengakibatkan kepentingan rakyat tidak diutamakan sebaliknya, lebih mengutamakan kroni politik.

Bagi pendapat saya, satu lagi institusi yang perlu bebas daripada campur tangan kerajaan atau cabang eksekutif adalah Jabatan Audit Negara yang fungsinya kini semakin kritikal dan mencabar sebagai 'auditor' atau juruaudit kepada kerajaan.

Tertakluk kepada Akta Audit 1957, banyak transformasi sudah berlaku dalam Jabatan Audit Negara terutama sekali dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada awal zaman pemerintahannya.

Hasil daripada GTP ini, menyaksikan Jabatan Audit Negara membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebanyak 3 kali setahun bermula pada 2014 berbanding setahun sebelum ni.

Ia sebenarnya bertujuan bagi membuktikan kepada rakyat betapa Putrajaya sememangnya mahu mengotakan janji mereka dalam mengamalkan pentadbiran yang telus, kredibiliti serta berakauntabiliti.

Namun, masih ramai tidak mengetahui Audit Negara hanyalah sebuah jabatan di bawah seliaan dan kawalan Kementerian Kewangan (MoF) dan bukan satu rahsia lagi, jabatan ini hanya boleh bertindak bagi mengaudit kementerian, jabatan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan 'kebenaran' MoF.

Jabatan Audit Negara perlu mendapatkan kebenaran terlebih dulu daripada MoF sebelum mereka boleh mengaudit kementerian, jabatan, agensi, GLC atau projek kerajaan, jika tidak mereka tidak akan dibenarkan melakukan pengauditan.

Di sinilah, letaknya kekangan Jabatan Audit Negara untuk berfungsi sebagai Institusi Audit Tertinggi atau dalam Bahasa Inggerisnya, Supreme Audit Institution (SAI) seperti yang digariskan dalam Deklarasi Mexico.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan sasaran untuk menjadi negara maju dalam tempoh 5 tahun lagi serta negara berpendapatan tinggi, peranan Jabatan Audit Negara amat penting dalam memastikan perbelanjaan kerajaan yang mana wang itu datangnya daripada rakyat sentiasa memberikan manfaat serta pulangan terbaik kepada rakyat.

Ia juga membolehkan kerajaan sentiasa berhati-hati dalam berbelanja bagi mengelakkan pembaziran, penyelewengan dan salah guna kuasa yang membabitkan wang rakyat dengan adanya 'check and balance' secara langsung.

Keseriusan kerajaan bagi memastikan peranan Jabatan Audit Negara ini sentiasa dipandang tinggi oleh rakyat dengan kredibiliti serta kewibawaannya tidak dipertikaikan amat penting kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan Parlimen Malaysia sebagai cabang legislatif sebagai pembuat undang-undang dan dasar tertinggi negara.

Atas sebab itu, setiap kali sebelum LKAN dibentangkan di Dewan Rakyat, ketua audit negara sebagai pegawai pengawal Jabatan Audit Negara akan mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bagi memaklumkan dan memohon untuk laporan berkenaan dibentangkan di Parlimen memberi makna kepada rakyat.

Pada hari sama, LKAN itu dibentangkan di Dewan Rakyat, ketua audit negara akan memberikan taklimat khas kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dianggotai wakil rakyat daripada parti pemerintah dan pembangkang berhubung segala isu serta permasalahan yang dikenal pasti membabitkan kementerian, jabatan, badan berkanun, agensi serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Di sinilah letaknya kekangan dalam kebebasan Jabatan Audit Negara untuk mengaudit kewangan kerajaan, prosedur, tatacara dan tadbir urus kerajaan dalam memastikan wang rakyat benar-benar dibelanjakan secara berhemah.

Seharusnya peranan Jabatan Audit Negara diperluaskan dengan bebas untuk mengaudit semua projek yang membabitkan kepentingan rakyat tidak kira sama ada ia menggunakan wang rakyat atau tidak kerana akhirnya yang paling utama rakyat benar-benar mendapat manfaat.

Contoh paling baik dalam kes pembinaan klia2 apabila Jabatan Audit Negara tidak dibenarkan untuk mengaudit pembinaan lapangan terbang berkenaan dengan alasan projek berkenaan tidak menggunakan wang rakyat.

Namun timbul persoalan kerana projek itu adalah untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan dan dengan kos pembinaan yang meningkat mendadak selain mutu pembinaan kurang memuaskan, ia sudah pasti menimbulkan pelbagai persoalan kepada rakyat.

Apatah lagi jika akhirnya, rakyat yang terpaksa menanggung kenaikan pelbagai kadar caj yang sudah pasti akan dikaitkan dengan kos projek pembinaan lapangan terbang itu yang tinggi.

Atas sebab itu, pelbagai kekangan inilah menyebabkan inisiatif sedia ada Jabatan Audit Negara tidak memenuhi prinsip Institut Audit Tertinggi seperti yang digariskan dalam Deklarasi Mexico.

Lebih menyedihkan, Jabatan Audit Negara hanya mematuhi 2 daripada 8 prinsip SAI seperti digariskan dalam Deklarasi Mexico dan ia menyebabkan kebebasan jabatan ini sebagai sebuah institusi audit terus dipersoalkan kerana kedudukannya berada dalam struktur pentadbiran kerajaan sekali gus wujud konflik kepentingan dalam kawalan tadbir urus jabatan ini.

Berikutan itu, Putrajaya perlu segera bertindak bagi terus memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi audit ini dengan memastikan Jabatan Audit Negara bebas mengaudit mana-mana entiti mengikut skop tanpa ada sekatan selari dengan bidang kuasa serta tugas yang ditetapkan Akta Audit 1957. Dengan pelbagai beban tugas serta pengauditan yang lebih kompleks, Jabatan Audit Negara perlu diperkukuhkan dengan pertambahan sumber manusia profesional yang mampu memberikan laporan audit lebih komprehensif serta tidak dipertikaikan rakyat.

Bidang pengauditan kritikal seperti audit forensik, analisis pelaburan, komunikasi teknologi maklumat (ICT) serta keperluan ketika pelaksanaan projek mega seperti MRT selain pelaksanaan dasar-dasar kerajaan terkini contohnya, GST, perakaunan akruan pasti memerlukan juruaudit profesional dan cekap.

Ia ditambah juga dengan keputusan Kabinet untuk Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan terhadap syarikat 1MDB yang kini menjadi permasalahan utama melanda pentadbiran Putrajaya.

Sehubungan itu sudah sampai masanya, Putrajaya mengasingkan Jabatan Audit Negara daripada struktur pentadbiran kerajaan dan memberikan kuasa autonomi terhadap jabatan ini dengan memperluaskan fungsinya sebagai suruhanjaya.

Sudah pasti apabila menjadi sebuah suruhanjaya, Jabatan Audit Negara mempunyai kuasa dalam hal kewangan, sumber manusia serta skop pengauditan dengan tidak mempunyai campur tangan daripada cabang eksekutif iaitu kerajaan.

Keberanian Putrajaya amat dituntut dalam mentransformasikan Jabatan Audit Negara ini, dan 'memulangkannya' semula kepada rakyat dengan meletakkan jabatan ini di bawah satu jawatankuasa khas Parlimen adalah usaha terbaik yang harus dilakukan dengan segera.

Saya dimaklumkan usaha untuk melaksanakan transformasi Jabatan Audit Negara ini sudah dimulakan dengan arahan Kabinet supaya cadangan dikemukakan tetapi masih wujud pelbagai halangan dan ia sudah pasti memerlukan 'political will' daripada Putrajaya untuk memastikan ia dapat dilaksanakan.

Sebaiknya, usaha ini dapat dilaksanakan dalam tempoh penggal Parlimen ke-13 ini, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 14 berlangsung kerana ia sekurang-kurangnya dapat memberikan keyakinan kepada rakyat kerajaan BN komited terhadap GTP yang diperkenalkan Datuk Seri Najib.

Sekurang-kurangnya, kerajaan BN boleh berbangga dengan kad laporan mereka apabila melangkah masuk ke gelanggang PRU 14 nanti dengan pelbagai transformasi yang sudah dilaksanakan dalam memastikan pentadbiran Putrajaya benar-benar telus, berakauntabiliti serta berkredibiliti. – 8 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments